Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIstilah tanggungjawab sosial korporat atau lebih dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR) tidak asing lagi dengan masyarakat pada hari ini. Kebanyakan pendapat menyatakan bahawa CSR merupakan sebuah program berbentuk kemasyarakatan yang memberikan manfaat kepada masyarakat dari pelbagai aspek. Walau bagaimanapun, World Business Council for Social Development (WBCSD) telah mentakrifkan bahawa CSR merupakan komitmen institusi perniagaan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan, berusaha bersama-sama dengan para pekerja, keluarga, komuniti tempatan serta masyarakat secara umum bagi meningkatkan kualiti kehidupan. Oleh sebab itulah CSR dilaksanakan secara meluas di sektor swasta mahupun korporat dan masing-masing berlumba-lumba untuk memastikan pelaksanaan CSR yang direncana mampu memberikan impak kepada masyarakat.
Bahkan, CSR dilihat sebagai satu agenda signifikan bagi pengurusan sesebuah organisasi dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang akan membantu ke arah kebajikan dan kebaikan masyarakat serta organisasi. Agenda tersebut merupakan satu bentuk penyertaan atau sumbangan kepada komuniti bertujuan untuk menambah baik kesejahteraan masyarakat. Malah, CSR bukan sahaja diukur daripada wang ringgit yang dibelanjakan tanpa faedah yang menguntungkan, tetapi juga merupakan satu strategi bijak yang bersifat serampang dua mata, iaitu membela kebajikan masyarakat, meningkatkan reputasi dan imej organisasi, seterusnya memberikan nilai tambah dalam menjadikan sesebuah organisasi itu berdaya saing dan mengikut aspirasi pembangunan mampan. Secara pragmatiknya, perkara tersebut mampu memberikan pulangan dan keuntungan kepada organisasi sekiranya mereka bijak merebut peluang.
Tanggungjawab Sosial Korporat dalam Gerakan Koperasi
Dalam konteks gerakan koperasi, CSR telah wujud tanpa kita sedari. Hal ini disebabkan oleh konsep koperasi itu sendiri telah menerapkan nilai berasaskan semangat kerjasama dan tolong-menolong sesama anggota. Oleh itu, tidak hairanlah apabila segelintir koperasi telah mula menterjemahkan idea untuk melaksanakan CSR melalui beberapa pendekatan yang lebih sistematik untuk membantu masyarakat amnya dan anggota khususnya. Oleh itu, konsep daripada anggota untuk anggota sangat sinonim dalam merealisasikan program CSR yang dijalankan oleh koperasi.
Pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan yang dijalankan mampu membantu masyarakat dari pelbagai aspek seperti kewangan, kebajikan, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya. Sebagai contoh, antara beberapa inisiatif yang dijalankan oleh koperasi adalah dengan menawarkan kursus atau program latihan kepada masyarakat secara percuma atau mengenakan kadar bayaran yang rendah. Akademi Profesional KOSAS yang juga merupakan anak syarikat kepada Koperasi Serbaguna Anak-anak Selangor (KOSAS) misalnya merupakan salah sebuah pusat bertauliah yang diwujudkan untuk menjalankan kursus kemahiran bagi melahirkan pekerja mahir di Malaysia. Kursus tersebut merupakan satu daripada inisiatif koperasi dalam melahirkan modal insan dan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpengetahuan.
Selain itu, pelbagai bentuk program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh koperasi mampu menyumbang kepada masyarakat terutamanya apabila berlakunya musibah. ANGKASA merupakan sebuah badan apex koperasi yang dilihat sangat agresif dalam membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan. Melalui Projek Barang Asas 100 (BA100), sebanyak RM5 juta diperuntukkan dalam bentuk barangan keperluan asas bagi membantu anggota koperasi yang terjejas dalam musibah banjir dan golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Hal ini selaras dengan prinsip koperasi yang ketujuh, iaitu prihatin terhadap masyarakat.
Malah, terdapat juga sebahagian koperasi yang memperuntukkan dana kepada anggotanya melalui program pembudayaan dan sastera masyarakat seperti koperasi NLFCS. Hal ini sebenarnya terpulang kepada sesebuah koperasi untuk mencorakkan bentuk program kemasyarakatan mereka sendiri asalkan hasrat dan niat dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat tercapai.
Pada hakikatnya, kini banyak koperasi telah menyumbang dalam CSR dari segi wang ringgit ataupun tenaga. Bahkan, agensi di bawah KUSKOP turut menyokong penuh aktiviti kemasyarakatan tersebut. Buktinya, selepas berlakunya penularan pandemik COVID-19, pelbagai jenis bantuan dihulurkan sama ada tenaga, wang ringgit atau pelbagai program seperti latihan dan bimbingan turut diberikan secara percuma kepada ahli koperasi.
Manfaat Tanggungjawab Sosial Korporat dalam Koperasi
Acap kali masyarakat sering digembar-gemburkan dengan program CSR yang memberikan manfaat kepada sesebuah organisasi yang bertindak sebagai penganjur. Walau bagaimanapun, dalam menjawab persoalan tentang sejauh manakah CSR memanfaatkan gerakan koperasi perlu dilihat dari pelbagai perspektif. Sebagai contoh, koperasi yang melaksanakan CSR secara tidak langsung dapat memperkenalkan jenama mereka kepada masyarakat dan meningkatkan imej koperasi. Pendek kata, pelaksanaan CSR yang berkesan mampu mewujudkan sebuah laluan yang kondusif dan efektif kepada koperasi dalam mempromosikan produk atau jenama sesebuah koperasi.
Kaedah mudah yang sering kali digunakan untuk mempromosikan jenama sesebuah koperasi pada masa ini adalah dengan meletakkan logo dan jenama pada kain rentang, pembungkus produk, buletin dan sebagainya yang memaparkan nama dan logo koperasi kepada masyarakat secara tidak langsung dalam program amal yang dijalankan. Bahkan, liputan yang meluas dengan bantuan media sosial pada hari ini juga dapat membantu menaikkan nama koperasi dalam program berbentuk kebajikan kepada masyarakat dalam sekelip mata. Strategi ini dilihat sangat mudah tanpa perlu mengeluarkan wang dan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk mendapatkan publisiti dari stesen televisyen atau syarikat akhbar.
Oleh sebab CSR dianggap sebagai satu keperluan dan seolah-olah kewajipan yang harus dilunaskan, maka Anugerah Sustainability & CSR Malaysia anjuran CSR Malaysia diadakan pada setiap tahun. Anugerah tersebut merupakan inisiatif di bawah naungan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia. Acara tahunan ini memberikan peluang kepada syarikat di Malaysia untuk meraikan pencapaian cemerlang mereka yang telah banyak memberikan inspirasi atas usaha kemapanan dan tanggungjawab sosial korporat dalam menjadikan Malaysia lebih baik, terutamanya melalui inisiatif dalam usaha menentang COVID-19 yang mencabar di negara ini.
Pada tahun 2022, sebanyak 50 buah syarikat swasta yang tersenarai di Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi kerajaan serta yayasan korporat telah diberikan penghormatan, pengiktirafan dan anugerah kerana bangkit untuk mendekati komuniti yang memerlukan dan melibatkan diri dalam usaha kemapanan untuk kebaikan semua.
Kriteria penjurian untuk Anugerah Sustainability & CSR Malaysia dinilai berdasarkan matlamat syarikat yang jelas untuk inisiatif CSR, impak yang dicipta atau kepentingan inisiatif CSR, kekerapan acara CSR diadakan, jumlah sumbangan yang diberikan, ketelusan dalam melaporkan inisiatif CSR, pelaksanaan kreatif aktiviti CSR, kekuatan pasukan CSR dan keikhlasan serta keberkesanan setiap inisiatif.
Penganjuran anugerah ini bukan sahaja dapat menyuntik semangat untuk bergiat aktif dalam melaksanakan program kebajikan, malah turut membuka ruang untuk organisasi menjalinkan kerjasama untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan idea bagi membantu komuniti terpinggir selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Cabaran dalam Merealisasikan Tanggungjawab Sosial Korporat
Di sebalik perkara enak tentang CSR, terdapat cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan agenda CSR terhadap syarikat serta organisasi. Masih ramai yang beranggapan bahawa program berbentuk kebajikan yang dijalankan oleh sesetengah organisasi ini hanya berlandaskan satu matlamat untuk kepentingan sendiri kerana pada zaman kini, kebanyakan program yang dianjurkan dikatakan bersifat keuntungan atau “all about business”. Semuanya melibatkan kos dan wang ringgit walau sekecil-kecil projek yang dijalankan. Oleh itu, banyak organisasi kecil tidak mampu untuk bersaing dengan organisasi yang besar apabila melibatkan aspek CSR. Hal tersebut secara tidak langsung memberikan cabaran dalam merealisasikan CSR kepada masyarakat. Cabaran yang dihadapi antaranya termasuklah kekurangan dana, pengurusan sumber manusia, masa yang terhad, kekurangan maklumat dan publisiti.
Kekurangan sumber kewangan yang khusus untuk melaksanakan program CSR terutamanya organisasi kecil merupakan antara cabaran terbesar dalam menjayakan sesuatu program. Dalam konteks ini, kos perbelanjaan perlu diteliti khususnya dalam aspek penyelenggaraan, kos logistik dan kos sampingan yang perlu diambil kira. Sebagai contoh, kos jamuan makan, minyak dan tol perlu diperhalusi walaupun program tersebut berbentuk sukarelawan.
Selain itu, faktor pengurusan sumber manusia juga penjadi penghalang sesebuah organisasi meneruskan aktiviti CSR. Perkara tersebut disebabkan oleh bilangan tenaga kerja yang terhad dan kesukaran mendapatkan kebenaran pelepasan sekiranya melibatkan waktu kerja dan kakitangan yang ramai bagi sesuatu program. Hal ini perlu ditekankan kerana pada masa yang sama, organisasi tidak mahu menjejaskan perjalanan operasi mereka.
Beberapa cabaran lain yang turut menjadi faktor CSR tidak dapat dilaksanakan termasuklah seperti kekurangan masa dan maklumat serta publisiti. Dari sudut masa, sudah pasti perkara tersebut merupakan antara kekangan utama sesuatu CSR tidak dapat berjalan dengan lancar. Masyarakat sedia maklum bahawa sesuatu program perlu dirancang dengan baik terutamanya dari segi tentatif dan jadual perjalanan program tersebut. Pendek kata, perkara tersebut melibatkan masa yang panjang dan agak lama dari segi persiapan sama ada sebelum, semasa dan juga selepas program berlangsung, lebih-lebih lagi sekiranya program tersebut melibatkan tetamu kenamaan dan tetamu khas. Tegasnya, protokol dan masa perlu dititikberatkan agar program dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Bahkan, publisiti yang kurang juga kadang kala menyebabkan CSR tidak mendapat liputan dan sambutan kerana masyarakat tidak mendapat hebahan tentang program tersebut. Akhirnya, matlamat CSR yang asalnya untuk hebahan kepada masyarakat gagal kerana kurangnya publisiti.
Tidak dinafikan bahawa pengaruh CSR mampu memberikan kesan yang agak besar terhadap reputasi dan jenama sesebuah organisasi pada hari ini. Oleh sebab itu juga, kebanyakan syarikat kecil mencari peluang dengan berkolaborasi atau menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain melalui penganjuran acara atau program. Melalui kaedah ini, kos dapat dijimatkan kerana dikongsi secara bersama-sama kerana bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah syarikat tersebut dapat memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak.
Dalam konteks koperasi, sebenarnya pelbagai manfaat dapat diperoleh sekiranya koperasi menjadikan CSR sebagai acara tahunan. Selain membantu meningkatkan imej dan jenama koperasi, program CSR dilihat dapat membantu mendidik masyarakat tentang tujuan dan kepentingan berkoperasi khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat. Pendedahan kepada masyarakat tentang koperasi sangat penting lebih-lebih lagi dalam usaha merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional menjelang 2030.
Dalam konteks ini, sumbangan koperasi terhadap KDNK negara masih lagi kecil, iaitu sekitar dua hingga tiga peratus sahaja setahun. Peratusan ini menggambarkan bahawa betapa kerdilnya sektor koperasi jika dibandingkan dengan sektor lain di Malaysia. Malah, stigma masyarakat terhadap koperasi juga masih di takuk yang lama. Oleh itu, adalah penting untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan sektor koperasi di Malaysia kerana CSR secara tidak langsung dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan koperasi selain dapat memperkenalkan jenama koperasi kepada masyarakat.