Oleh Awang Sariyan
27 Februari 2024, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sultan Ibrahim, Sultan Johor Darul Takzim mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024. Tugas rasmi terawal baginda ialah penyempurnaan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 tahun 2024 di bangunan Parlimen pada 26 Februari 2024.

Titah ucapan baginda disampaikan dengan penuh tenang dan berhati-hati, namun tetap menguja semua ahli Parlimen dan tetamu. Khalayak ternanti-nanti akan isu-isu pokok yang akan dititahkan oleh baginda kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai institusi penggubal undang-undang negara.

Dengan wajah serius tetapi sesekali menguntumkan senyuman dan lirikan mata yang tajam, khalayak terpegun mengikuti titah ucapan baginda dan beberapa kali meja ditepuk dengan kuat dan berpanjangan oleh khalayak, sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada titah baginda tentang isu-isu tertentu di negara ini.

Titah ucapan baginda menggarap semua sudut kehidupan di negara ini yang meliputi soal ekonomi, sosial, bahasa, budaya, pendidikan dan politik. Keseluruhan titah ucapan baginda berfokus pada kesejahteraan lebih 33 juta orang rakyat di negara ini yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Sebelum itu, dalam titah lain di Johor, baginda pernah menegaskan bahawa keprihatinan baginda bukan hanya kepada 222 orang wakil rakyat (ahli Dewan Rakyat di Parlimen) tetapi lebih kepada 33 juta rakyat jelata. Penegasan hal itu memberikan sinar harapan bahawa di bawah kepemimpinan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan baginda dan semestinya direalisasikan oleh kerajaan sebagai pihak eksekutif yang melaksanakan pentadbiran negara.

Sehubungan dengan itu, baginda menegaskan pentingnya kerjasama antara kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan pembangkang untuk bersama-sama membangunkan negara dengan ikhlas, dan mengetepikan kepentingan politik kepartian. Baginda, dengan bantuan bahasa badan, merujuk pihak di sebelah kanan baginda (wakil rakyat yang menganggotai parti pendukung kerajaan) dan pihak di sebelah kiri baginda (wakil rakyat yang mewakili parti pembangkang) sambil menegaskan pentingnya permainan politik dihentikan oleh kedua-dua pihak demi kepentingan rakyat dan negara. Baginda menyeru kedua-dua pihak agar menghormati sistem demokrasi yang menjadi amalan sistem politik negara.

Titah baginda yang cukup bererti di Dewan Undangan Negeri Johor pada tahun lalu ialah pentingnya istilah “pembangkang” ditukar menjadi “pengimbang” agar sentimen “permusuhan” antara kedua-dua pihak dapat diredakan dan dineutralkan. Sayangnya cadangan baginda yang cukup berhikmah itu tidak mendapat liputan media di negara ini tetapi dilaporkan oleh sebuah akhbar negara jiran, iaitu Singapura.

Berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, baginda menekankan pentingnya perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara berteraskan integriti dan kecekapan. Dengan itu, ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan segala bentuk penyelewengan amat wajar dielakkan oleh semua yang diberi amanah, bermula dengan para pemimpin negara, pemimpin institusi dan semua penjawat awam pada semua peringkat. Titah ucapan baginda sebelum ini banyak menyentuh isu integriti dan keperluan tindakan tegas diambil. Dalam titah ucapan, baginda akan melihat sendiri perbelanjaan kerajaan untuk memastikan perbelanjaan yang berhemat, terancang dan berkesan untuk pembangunan negara. Baginda turut menegaskan pentingnya bekalan sumber makanan yang mencukupi dan menjanakan peluang pekerjaan yang cukup, khasnya bagi mengatasi masalah siswazah menganggur.

Isu lain yang turut dititahkan oleh baginda ialah perpaduan. Baginda menzahirkan rasa tidak puas hati tentang tahap perpaduan yang belum mampan di negara ini meskipun telah merdeka lebih enam dekad. Baginda memetik peribahasa Melayu “Melentur biarlah waktu rebung” sebagai kaedah memupuk perpaduan yang berkesan. Dapat ditafsirkan daripada petikan baginda itu bahawa institusi pendidikan, khasnya peringkat persekolahan perlu merancang dan melaksanakan program perpaduan dalam kalangan generasi muda dengan lebih rapi.

Menjadi tanggungjawab Kementerian Perpaduan Negara agar usaha memupuk perpaduan benar-benar dirancang dengan kemas dan rapi untuk pelaksanaan program yang  memberikan impak berkesan. Penerbitan buku Dasar Perpaduan Negara, 2021, hanya bererti apabila ada susulan program yang merata dan berkesan. Setakat ini, program seperti Kembara Perpaduan yang diwara-warakan oleh Kementerian Perpaduan Negara belum jelas kelihatan di mata masyarakat. Liputan media tentang pogram itu pun tidak ketara.

Sebagai tambahan, program perpaduan mestilah berterusan dan tidak wajar bersifat musiman dan mesti juga merentas semua kementerian, jabatan dan agensi agar perpaduan dapat dipupuk secara bersepadu dan menyeluruh. Penting juga dirancang libat urus dengan badan bukan kerajaan, khasnya yang merentas pelbagai kaum. Kementerian Perpaduan Negara perlu menjadi penyelaras dan pemudah cara serta pemantau yang aktif untuk memastikan bahawa program pemupukan perpaduan berlangsung sepanjang masa dan merentas sektor, kawasan, etnik dan kelompok.

Amat menarik dan penting bahawa titah ucapan baginda turut menyentuh peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikuasai oleh semua warganegara. Titah baginda itu jelas menunjukkan keprihatinan  baginda akan peranan bahasa negara sebagai asas jati diri semua warganegara tanpa mengira asal keturunan. Selain itu, bahasa negara dapat menjadi wasilah pemupukan perpaduan yang berkesan, sebagaimana yang ditegaskan dalam buku Dasar Perpaduan Negara, 2021, terbitan Kementerian Perpaduan Negara. Titah baginda itu patut juga menyedarkan pihak-pihak yang meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor, baik pentadbiran, pendidikan, undang-undang, media mahupun tempat awam.

Semoga titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 tahun 2024 memberikan sinar harapan kepada pembangunan negara yang mampan, dengan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaannya dan teras keutuhan negara seperti  perpaduan, bahasa kebangsaan, pendidikan dan politik yang sihat terpelihara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.