Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIsu kesantunan berbahasa menjadi suatu topik perbualan yang hangat diperkatakan pada masa kini. Isu ini bukannya isu yang perlu ditolak tepi kerana isu ini memainkan peranan yang penting dalam membentuk masyarakat yang beradab serta bertamadun. Generasi muda sering kali menjadi sasaran untuk dikaitkan dengan isu ini. Dapat dilihat bahawa generasi muda (generasi X, Y dan Z) seakan-akan kurang kesantunan berbahasa, baik di khalayak umum mahupun melalui media sosial.
Media sosial menjadi pelantar untuk bersosial, namun begitu, sesetengah antara pengguna muda begitu selesa meskipun tidak mempamerkan nilai adab, iaitu dengan menggunakan gaya bahasa yang tidak elok untuk ditulis apatah lagi untuk dihamburkan kepada orang ramai. Mereka dilihat tidak menghiraukan perkara tersebut walaupun menerima teguran atau nasihat, malahan ada yang menganggap perkara tersebut sebagai trend.
Golongan Mahasiswa
Golongan mahasiswa tidak terlepas dalam isu ini sehinggakan menjadi polemik pada masa kini. Perkara ini sudah dianggap tidak penting atau lali bagi segelintir daripada mereka. Memang benar, isu ini tidak boleh hanya disandarkan pada golongan mahasiswa. Namun begitu, golongan ini perlu diberikan penekanan kerana mereka merupakan generasi yang bakal mengemudi bahtera masa hadapan bangsa dan negara. Justeru, mahasiswa perlu ditekankan dengan nilai kesantunan berbahasa bagi menjamin siasah diri mereka.
Berbalik kepada isu kesantunan berbahasa dalam kalangan mahasiswa, golongan ini sangat terkait dengan masalah kesantunan terhadap kelompok masyarakat di sekeliling mereka seperti pensyarah, staf sokongan, orang awam dan turut tidak ketinggalan pihak atasan universiti. Berlakunya suatu kes apabila seorang graduan di sebuah universiti terkemuka tanah air yang menggesa pengunduran Naib Canselor di pentas konvokesyen. Perkara ini jelas merupakan suatu tindakan yang dianggap tidak mempamerkan nilai kesantunan berbahasa seorang mahasiswa.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr. Mohd Afandi Salleh, beliau berkata bahawa mahasiswa yang berilmu perlu mempamerkan adab. Hal ini dikatakan demikian kerana adab ialah tonggak mahasiswa cemerlang. Pemerkasaan mahasiswa tidak akan bermakna sekiranya golongan mahasiswa ialah golongan yang biadab, sombong, jelik dan tiada harga diri.
Pemugaran Nilai Kesantunan, Peranan Siapa?
Perkara ini tidak terhenti pada isu ini sahaja tetapi masalah kesantunan berbahasa dalam kalangan mahasiswa sering menjadi topik perbualan utama di institusi pendidikan tinggi awam atau swasta. Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa atau sistem pendidikan negara sahaja tetapi pihak universiti juga memainkan peranan untuk menjadi “penyelamat” demi mengelakkan hal ini menjadi barah yang menular dalam kalangan graduan. Usaha pemugaran kembali nilai kesantunan perlu giat dilaksanakan oleh pihak universiti dan perlu dinilai kaedah atau penyelesaiannya agar tidak menjadi semakin buruk walaupun cuba dibaiki bak kata pujangga “Seperti tikus membaiki labu”, iaitu semakin dipugar nilai kesantunan dalam mahasiswa, malahan semakin teruk kehilangan nilai tersebut pada diri mereka.
Oleh itu, pertamanya, kita perlulah memahami dengan jelas maksud pemugaran itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Perdana, pemugaran bermaksud perbuatan memperbaik atau memperelok kembali dan dapatlah kita tafsirkan sebagai pembaharuan. Usaha ini dapat menjadi titik permulaan bagi pihak universiti dalam menghadapi isu ini.
Antara pendekatan yang boleh diambil oleh pihak universiti termasuklah dengan memperkenalkan subjek kesantunan berbahasa sebagai satu subjek wajib di universiti. Perkara ini tidak menjadi suatu kejanggalan kerana subjek ini telah pun menjadi satu daripada subjek teras dalam jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa (MCOM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Melalui subjek ini, mahasiswa ditekankan dengan pandangan sarjana tempatan terhadap kesantunan berbahasa dan kepentingannya dalam kehidupan seharian. Antara lain, pihak universiti menganjurkan projek kesantunan melalui subjek ini, iaitu dengan mengadakan aktiviti atau program bersama-sama masyarakat sekeliling. Mahasiswa dapat mengaplikasikan nilai kesantunan yang dipelajari secara praktikal dan bukannya sekadar teori.
Pendedahan yang diberikan melalui subjek ini kepada mahasiswa dapat membentuk nilai kesantunan dalam diri terutamanya dari segi adab, tutur bicara dan cara berhadapan dengan situasi di dunia luar. Usaha memperkenalkan subjek ini kepada universiti lain dianggap jalan yang terbaik dan tidak hanya tercakup kepada satu jurusan semata-mata.
Nilai kesantunan ini wajar diperkenalkan dan dipugari tanpa mengira jurusan mahasiswa tersebut, sama ada jurusan perubatan, bahasa, agama, kejuruteraan dan lain-lain lagi. Usaha memperkenalkan subjek ini agar dijadikan subjek wajib di universiti dapat menjadi sebuah usaha bersama antara pihak universiti dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan pemegang taruh yang terlibat.
Secara konklusinya, polemik kesantunan berbahasa dalam kalangan mahasiswa sebenarnya merupakan isu yang penting untuk diperhatikan dan tidak akan hanya berakhir dengan sekelip mata. Polemik ini hanya boleh dihentikan dengan pelbagai usaha selain pendekatan yang dijelaskan sebelum ini. Menjadi kewajipan kita untuk mengamalkan sifat ambil peduli dalam isu ini. Kesantunan berbahasa mencerminkan perihal peribadi diri kita sendiri, maka wajarlah menjadi suatu pegangan masyarakat yang perlu digenggam erat. Janganlah kita bersifat “lepas tangan” kerana perkara ini dikhuatiri menjadi suatu wabak dan wabak ini tidak dapat dihentikan dengan hanya suatu suntikan tetapi memerlukan rawatan susulan secara berperingkat.