7 Mac 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Kamus Dewan Perdana, minda ialah akal fikiran atau daya berfikir. Manakala madani pula bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Oleh itu, minda madani merujuk pemikiran yang maju, iaitu terbuka dan mampu menolak kejumudan, kejahilan dan anasir negatif seperti prejudis, stereotaip, rasisme, diskriminasi, xenofobia, ekstremisme dan cauvinisme yang menghalang pengukuhan perpaduan kaum dan kepesatan pembangunan negara.

Minda madani akan membentuk keperibadian yang mempunyai rasa ihsan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat. Keperibadian tersebut amat penting dalam mengukuhkan perpaduan demi kestabilan negara. Negara yang stabil dapat memesatkan pembangunan sosioekonomi. Pembentukan minda madani dalam kalangan masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan Malaysia MADANI yang berteraskan kepada enam nilai, iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Tanpa kita sedari, buku mampu membentuk minda madani. Namun begitu, bagaimanakah untuk membentuk masyarakat berminda madani jikalau rakyat Malaysia malas membaca? Indeks Skor Budaya Sedunia merekodkan kedudukan pertama bagi negara yang mempunyai rakyat yang rajin membaca buku dinobatkan kepada India. Rakyat India membahagikan masa lebih 10 jam seminggu dengan aktiviti membaca. Thailand menduduki tangga kedua, manakala China pada kedudukan ketiga. Rakyat Malaysia pula hanya membaca kurang daripada tiga jam seminggu. Rekod purata membaca buku dalam kalangan rakyat Malaysia kurang memberangsangkan. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia hanya membaca antara 15 hingga 20 buah buku setahun.

Senario dunia semasa memaparkan rakyat Korea memperuntukkan 12 peratus perbelanjaan tahunan mereka untuk membeli buku. Manakala di China pula, buku audio semakin menjadi trend. Buku berbentuk fiksyen sangat popular dalam kalangan pembaca Malaysia dengan merekodkan 76 peratus. Sebaliknya, buku bukan fiksyen hanya 36 peratus direkodkan. Masih belum terlambat untuk memupuk rasa cinta terhadap buku terutamanya buku yang dapat memadanikan minda. Bagi pencinta buku tegar, bau buku baharu sahaja sudah cukup untuk merangsang rasa ingin memiliki dan membacanya. Untuk membentuk masyarakat berminda madani sudah tentu mempunyai syarat-syarat yang harus diikuti.

Pertama, masyarakat harus dipupuk terlebih dahulu untuk mencintai amalan membaca. Dalam hal ini, ibu bapa sebagai guru pertama harus mendidik anak-anak mereka agar mencintai buku. Walaupun masih kecil, mereka wajar didedahkan dengan buku-buku berbentuk infografik, ringkas tapi berinformasi demi merangsang kognitif anak-anak. Walaupun anak-anak masih dalam usia yang kecil, ibu bapa tidak seharusnya mendedahkan mereka kepada bahan bacaan yang tidak berfaedah. Hal ini tidaklah bermakna mereka tidak boleh membaca komik atau majalah langsung. Ibu bapa boleh melebihkan buku yang mempunyai informasi yang berguna dalam kehidupan seharian anak-anak berbanding dengan bahan bacaan yang tidak berkaitan dengan proses tumbesaran mereka.

Selain itu, pihak sekolah turut berperanan dalam memupuk rasa cinta murid terhadap buku. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dianjurkan oleh pihak sekolah merupakan satu daripada usaha pihak sekolah untuk memupuk minat murid menjadikan amalan membaca sebagai suatu keutamaan. NILAM dilaksanakan oleh murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bil 13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998. Terdapat tiga komponen utama dalam NILAM, iaitu membaca dan merekod bahan bacaan; mengesahkan rekod dan mengumpul data; serta memberi pengiktirafan dan ganjaran.

Komponen membaca dan merekod bahan bacaan melibatkan murid, manakala komponen mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran merupakan tanggungjawab guru sepenuhnya. Semua sekolah perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM.

Program NILAM yang ditambah baik dijalankan sepenuhnya mulai sesi persekolahan tahun 2018 dan merupakan kesinambungan bagi program NILAM sebelum ini. NILAM yang ditambah baik lebih mengutamakan kualiti pembacaan berbanding dengan kualiti bahan yang dibaca. Keadaan ini merupakan gabungan aktiviti pembacaan yang membabitkan kuantiti dan kualiti bahan dan aktiviti pengayaan selepas pembacaan yang melibatkan peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan.

Objektif program NILAM yang ditambah baik adalah untuk melestarikan budaya pembacaan yang berkualiti sepanjang hayat dalam kalangan murid, menyediakan murid yang dapat menjawab soalan yang menguji keupayaan menaakul, membuat refleksi dan menilai melalui aktiviti pengayaan. Kesimpulannya program NILAM yang dicetuskan oleh KPM merupakan wadah untuk murid menanamkan tabiat suka membaca.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), rasa cinta terhadap buku boleh dipupuk melalui tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Dalam hal ini, pensyarah boleh mewajibkan para pelajarnya menggunakan buku sebagai sumber rujukan utama berbanding dengan sumber lain seperti Internet. Para pelajar kini lebih gemar menggunakan sumber Internet antaranya Wikipedia dan Blogspot atau laman sesawang lain yang tidak mempunyai kesahihan sumbernya. Pelajar lebih gemar menggunakan sumber Internet kerana memudahkan mereka menyiapkan tugasan dalam masa yang singkat. Mereka hanya perlu menyalin dan menampal maklumat yang diperoleh daripada laman sesawang terbabit dan memasukkannya dalam tugasan mereka.

Bagi membudayakan amalan membaca buku, pensyarah boleh mewajibkan pelajar mendapatkan maklumat daripada sekurang-kurangnya dua atau tiga buah buku sebagai sumber rujukan. Markah tambahan akan diberikan kepada pelajar yang menggunakan buku sebagai rujukan utama. Hal ini dapat memotivasikan pelajar untuk membaca dan menjadikan buku sebagai rujukan utama. Pensyarah juga boleh mengadakan tugasan berbentuk ulasan buku, namun mengikut kesesuaian subjek yang diajar. Setiap pelajar perlu mengulas sebuah buku ilmiah. Hal ini secara tidak langsung dapat menyuntik minat membaca dalam kalangan pelajar.

Minda madani juga boleh dibentuk dengan pembudayaan bedah buku dalam kalangan pelajar IPT dan masyarakat. Pembudayaan bedah buku dapat memupuk minat membaca, mewujudkan suasana mencintai ilmu terutamanya dalam kalangan pelajar IPT, selain memperkenalkan bakal pembaca dengan buku-buku ilmiah baharu yang terbit di pasaran. Sesi bedah buku juga boleh dianjurkan pada peringkat persatuan pelajar, jabatan, fakulti atau sesama rakan sekelas. Selain itu, boleh dilaksanakan bersempena dengan peristiwa yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negara. Peristiwa itu juga meliputi sejarah, ekonomi, keselamatan, politik, budaya, agama, sains dan teknologi. Selain itu, pemupukan minat membaca dapat dilakukan sama ada pada peringkat sekolah mahupun IPT dengan menubuhkan Kelab Membaca atau Kelab Pencinta Buku.

Program Jom Membaca 10 Minit yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dapat membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Budaya membaca wajar dijadikan gaya hidup dalam masyarakat. Hal ini kerana amalan membaca merupakan pemangkin kepada kemajuan bangsa dan negara. Masyarakat berminda madani adalah kesan daripada pembudayaan amalan membaca. Malaysia akan mempunyai rakyat yang berminda aktif, kreatif, berinovasi dan berfikiran waras tatkala berdepan dengan cabaran politik ekonomi yang rencam.

Jika diimbau peristiwa lalu, buku sering menjadi mangsa kezaliman. Pada 6 April 1933, sekumpulan mahasiswa Jerman ketika era rejim Nazi melancarkan Biblioclasm bagi menghapuskan buku-buku yang disifatkan sebagai anti-Jerman. Ketika penaklukan kota Baghdad, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol. Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat buku-buku yang dibuang. Pada zaman Dinasti Qin di China, Maharaja Shi Huang Di telah menitahkan agar buku-buku yang tidak sehaluan dengan Legalisme yang merupakan ideologi negara China pada ketika itu dibakar. Ribuan buku falsafah Cina yang lain dimusnahkan. Mengapakah kezaliman terhadap buku berlaku dalam sejarah umat manusia? Jawapannya mudah, kerana buku membentuk minda madani. Minda jahil membuta hati. Minda madani menjulang peradaban bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.