8 Mac 2024, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menyingkap sejarah kesultanan Johor yang berkesinambungan daripada kesultanan Melayu Melaka melewati sejarah yang panjang. Pemerintahan keturunan Bendahara bermula setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah II yang kemudiannya diambil alih oleh kuasa Temenggong. Fasa perubahan inilah akhirnya membentuk satu pemerintahan yang kukuh dalam pembinaan negara bangsa yang seiring dengan kestabilan politik semasa, keperluan sosial dan kemapanan ekonomi negeri Johor.

Pada tahun 1718, Raja Kechil muncul untuk menuntut takhta kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV atau nama sebenarnya Tun Habib Abdul Jalil yang berketurunan keluarga Bendahara. Kuasa pemerintahan diserahkan kepada leluhur Bendahara kerana kemangkatan Sultan Mahmud Syah II pada ketika itu tidak meninggalkan pewaris takhta. Raja Kechil telah membuktikan bahawa baginda merupakan pewaris takhta Sultan Mahmud yang sah hasil perkahwinan Sultan Mahmud dengan Che Pong. Raja Kechil menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah semasa memerintah Johor.

Setelah ditabalkan sebagai sultan, baginda melantik Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV sebagai Bendahara dan mengahwini puterinya, iaitu Tengku Kamariah. Fasa pergolakan politik berlaku apabila terdapat pertelingkahan politik yang berpunca daripada konflik percintaan Raja Kechil, Tengku Kamariah dan Tengku Tengah. Disebabkan oleh konflik tersebut, Raja Sulaiman, iaitu putera Bendahara Abdul Jalil telah berpakat dengan pembesar Bugis untuk menyingkirkan Raja Kechil.

Kejatuhan pemerintahan Raja Kechil daripada takhta kerajaan Johor menyebabkan Raja Sulaiman ditabalkan sebagai sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Bermula dari galur baginda inilah yang meneruskan pemerintahan kesultanan Johor. Kemangkatan Sultan Sulaiman digantikan dengan Sultan Abdul Jalil Muazam Syah, diikuti oleh Sultan Ahmad Riayat Syah, Sultan Mahmud Syah III, Sultan Abdul Rahman, Sultan Husin Syah dan Sultan Ali Iskandar Syah.

Pada tahun 1824, kestabilan politik Johor kembali bergolak apabila British dan Belanda menandatangani perjanjian yang memecahkan kerajaan Johor dengan kerajaan Lingga. Ketika itu Lingga adalah di bawah pemerintahan Sultan Abdul Rahman manakala Sultan Husin diberikan hak dan kuasa untuk memerintah Singapura. Pada tahun 1855, Sultan Ali Iskandar Syah yang mewarisi pemerintahan Sultan Husin di Singapura telah bersetuju menyerahkan kedaulatannya kepada Johor melalui Perjanjian 1855 dengan melantik Temenggong Ibrahim (putera Temenggong Abdul Rahman) memerintah Johor secara keseluruhannya kecuali Kesang (Muar), yang menyaksikan pusat pemerintahan Johor pada ketika itu adalah di Teluk Belanga. Sebermula dari galur Temenggong ini, maka beberapa perubahan dalam fasa pemerintahan kerajaan negeri Johor ditadbir dengan kemas.

Kemangkatan Temenggong Ibrahim yang digelar Raja Temenggong Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor telah digantikan oleh Datuk Temenggong Abu Bakar Seri Maharaja. Pada tahun 1868, baginda memakai gelaran Maharaja Abu Bakar. Baginda menjadi tunjang utama landskap politik negeri Johor apabila baginda menukar nama Tanjung Puteri kepada Johor Bahru dan menjadikannya sebagai pusat pentadbiran Johor yang baharu sekali gus sebagai ibu negeri Johor. Selain perubahan besar-besaran dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Johor, baginda juga memberikan keutamaan pada sistem pendidikan Johor dengan pembinaan lebih banyak sekolah Melayu dan sekolah agama.

Selepas kemangkatan Sultan Ali yang memerintah Singapura pada ketika itu, berlaku perebutan daerah Muar/Kesang oleh pewaris takhta Sultan Ali. Pembinaan sebuah balai polis di tebing Sungai Muar dan Sungai Kesang atas titah baginda Maharaja Abu Bakar telah menyebabkan pihak British terpaksa mengisytiharkan pemerintahan daerah Muar/Kesang diberikan sepenuhnya kepada Maharaja Abu Bakar yang akhirnya mempunyai kuasa mutlak terhadap Muar dan Kesang bermula pada tahun 1877.

Hubungan akrab antara Sultan Abu Bakar dengan kerajaan British pada zaman pemerintahan Ratu Victoria telah meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang terlepas daripada pengaruh British dan menjadi negeri yang tidak pernah dijajah oleh kuasa asing itu. Kerajaan Johor dan Great Britain telah menandatangani sebuah perjanjian pada tahun 1885 dengan perakuan bahawa Maharaja Abu Bakar diangkat sebagai Sultan Johor. Pemasyhuran tersebut dilaksanakan pada 1 Julai 1886 selaras dengan pemasyhuran perlembagaan negeri yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor.

Perlembagaan ini telah mengisytiharkan galur keturunan Sultan Abu Bakar sebagai waris takhta kerajaan Johor. Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor juga telah menjadikan Johor sebagai negeri pertama yang mempunyai perlembagaan bertulis di Tanah Melayu. Disebabkan kecekapan pemerintahan pentadbiran kerajaan Johor oleh Sultan Abu Bakar, British memutuskan untuk tidak melantik mana-mana pegawai konsul British di Johor selagi Sultan Abu Bakar memimpin tampuk pemerintahan negeri. Sultan Abu Bakar mangkat pada 10 Mei 1895 dan digantikan dengan puteranya, Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim dimahkotakan pada 2 November 1895.

Di bawah naungan baginda, Johor menjadi semakin maju dan moden dengan pembinaan kemudahan awam yang lebih banyak seperti pembinaan Tambak Johor yang menghubungkan jalan darat antara Johor dengan Singapura, landasan kereta api dan hospital. Pada zaman pemerintahan baginda jugalah lahirnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar pada 11 Mei 1946 di Istana Johor. Penubuhan UMNO adalah bermotifkan perjuangan menuntut kemerdekaan dan menentang Malayan Union.

Kemangkatan Sultan Ibrahim digantikan pula oleh anakandanya Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Pemodenan Johor diteruskan pada era pemerintahan Sultan Ismail dengan pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan Johor di Pasir Gudang sehingga membuka laluan perdagangan dengan negara luar yang lebih pesat dan sistematik. Hubungan dengan kerajaan persekutuan juga dipererat dengan tertubuhnya Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan pembukaan lebih banyak tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sekali gus menaikkan taraf hidup golongan bumiputera dan kemajuan desa.

Sultan Ismail mangkat pada tahun 1981 dan seterusnya digantikan oleh puteranya Sultan Iskandar dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia al-Mutawakil Sultan Iskandar al-Haj. Kemuncak kemajuan dan pemodenan Johor diteruskan oleh baginda dengan pembukaan Wilayah Pembangunan Iskandar pada tahun 2006 yang kini dikenali sebagai Iskandar Puteri. Hal ini telah mendorong kemasukan pelabur asing yang menyumbang kepada kepesatan ekonomi negeri Johor. Baginda dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-8 pada tahun 1984 manakala anakandanya Tunku Ibrahim ibni Sultan Iskandar dilantik sebagai pemangku Sultan Johor ketika itu.

Sultan Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010 dan legasi baginda diteruskan oleh Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Ibrahim telah dimahkotakan pada 23 Mac 2015. Majlis istiadat pemahkotaan tersebut merupakan istiadat perulangan dalam sejarah kesultanan Johor dan menjadi sejarah penting kepada bangsa Johor keseluruhannya yang menyaksikan hubungan antara istana dengan rakyat yang tidak pernah terpisah.

Sultan Ibrahim atau Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmood Iskandar diputerakan di Johor Bahru pada 22 November 1958 ketika pemerintahan nenda moyang baginda, iaitu Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda merupakan anakanda ketiga dan putera sulung daripada 10 orang adik-beradik. Bondanya Enche’ Puan Hajah Khalsom binti Abdullah atau nama sebenarnya Josephine Ruby Trevorrow merupakan wanita Inggeris kelahiran Torquay, England. Pada 31 Januari 2024, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Perlu diketahui bahawa galur leluhur Temenggong juga merupakan keturunan bangsawan yang berkuasa dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu yang perlu dihormati legasinya dan dijunjung kasihnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.