9 Mac 2024, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Anggota Sang Saka Biru seluruh Malaysia menyerlahkan bakat di sebalik semangat juang sebagai barisan hadapan pertahanan negara dalam Program Kebudayaan dan Kesenian bersempena dengan Hari Polis ke-217 Tahun 2024.

Program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung dengan jayanya di Maktab Polis Diraja Malaysia, hari ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah E2(M), PDRM, iaitu YDH DCP Zainudin Hj. Ahmad dengan diiringi oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Puan Roziah Md Yunus. 

Ketua Penolong Pengarah E2(M), YDH DCP Zainudin Hj. Ahmad (tengah) bergambar bersama-sama para juri dan para peserta.

Pelaksanaan program kerjasama ini bertujuan untuk mencungkil dan menyerlahkan bakat warga PDRM dalam aktiviti bahasa dan sastera kebangsaan di samping meningkatkan rasa cinta dan megah terhadap bahasa.

Terdapat empat kategori pertandingan yang melibatkan penyertaan dalam kalangan anggota PDRM seluruh Malaysia, iaitu Sayembara Penulisan Puisi, Deklamasi Puisi, Pertandingan Pidato, dan Pertandingan Teater.

Sementara itu, bagi Sayembara Penulisan Puisi, sebanyak 61 penyertaan diterima dan sepuluh karya telah terpilih sebagai pemenang.

Para peserta dalam kalangan anggota PDRM yang mendeklamasi puisi pada peringkat akhir.

Pertandingan pada hari ini terdiri daripada tiga kategori yang dipertandingkan. Hal ini termasuklah enam kumpulan teater, pertandingan pidato dan deklamasi puisi yang masing-masing terdiri daripada 10 orang peserta yang layak ke peringkat akhir.

Peserta pidato dalam kalangan anggota PDRM menyerlahkan penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Pertandingan berlangsung selama satu hari dan kemeriahan program ini sampai ke kemuncaknya apabila keputusan semua pertandingan diumumkan pada sebelah petangnya. Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Kumpulan Juang Seragam (Sarawak), penyandang johan pertandingan teater.

PDRM amat berharap agar program kerjasama seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Yang berikut ialah keputusan pertandingan bagi Sayembara Penulisan Puisi, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Pertandingan Pidato:

  1. Sayembara Penulisan Puisi

Johan- Sarjan Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah

Naib Johan- Sarjan Ardiansyah Wayang

Tempat Ketiga- Inspektor Kamaruddin Siratang

 

  1. Pertandingan Deklamasi Puisi

Johan- SI Yusuf  Ramji

Naib Johan- Sjn. Ardiansyah Wayang

Tempat Ketiga- Sjn. Mustaza Mustaffa

 

  1. Pertandingan Pidato

Johan- Insp. Mohd Faizal Mustafa

Naib Johan- Insp. Kamaruddin Siretang

Tempat Ketiga- DSP Mohd. Firdaus Ramli

 

Keputusan pertandingan pementasan teater:

Johan- Kumpulan Juang Seragam, Sarawak

Naib Johan- Kumpulan Nekad (Jabatan Pengurusan, Bukit Aman)

Tempat Ketiga- Kumpulan Perlis Marshal

Skrip Terbaik- Kumpulan Perlis Marshal

Pengarah Terbaik- Insp. Frankie (Kumpulan Juang Seragam, Sarawak)

Pelakon Terbaik- Kpl. Ferrazillah Mohamad (Kumpulan Juang Seragam, Sarawak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.