14 Mac 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Buah pinggang merupakan antara organ penting yang terlibat dalam beberapa fungsi utama badan. Sebagai organ perkumuhan, buah pinggang berperanan untuk menapis bahan yang tidak diperlukan oleh badan dan menyingkirkannya melalui air kencing. Fungsi ini termasuklah penyingkiran ubat-ubatan dalam bentuk yang tidak aktif selepas proses metabolisme di dalam badan.

Fungsi ini juga menyebabkan buah pinggang terdedah kepada kesan tindakan ubat-ubatan dan seterusnya menimbulkan tanggapan bahawa ubat-ubatan tersebut berisiko menyebabkan kerosakan pada buah pinggang. Beberapa kumpulan ubat yang lazim dikaitkan dengan dakwaan ini ialah ubat tahan sakit dan ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kronik. Persoalannya, benarkah ubat berupaya menyebabkan kerosakan buah pinggang?

Faktor Kerosakan Buah Pinggang

Terdapat beberapa faktor risiko yang dikenal pasti dapat meningkatkan kebarangkalian seseorang individu mengalami kerosakan buah pinggang. Antara dua penyebab utama yang menyumbang kepada kegagalan fungsi buah pinggang, termasuklah keadaan penyakit diabetes dan hipertensi yang tidak terkawal akibat tidak patuh kepada rawatan seperti yang diarahkan oleh doktor.

Bukan itu sahaja, pengambilan ubat-ubatan dengan cara yang salah turut meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang. Seseorang individu yang mengambil ubat yang berisiko tanpa kawalan atau melebihi dos yang disarankan oleh ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Risiko kerosakan buah pinggang juga meningkat dengan pengambilan produk kesihatan yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi.

Selain itu, obesiti, usia yang lanjut dan tabiat merokok juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kerosakan buah pinggang. Beberapa faktor risiko lain yang turut dikenal pasti termasuklah penyakit autoimun, sejarah kecederaan akut pada buah pinggang dan jangkitan yang serius, contohnya seperti sepsis.

Pengambilan Ubat-ubatan yang Tidak Berdaftar atau Kosmetik Tidak Bernotifikasi 

Tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa ubat-ubatan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang telah membuatkan sebilangan individu, khususnya pesakit diabetes dan hipertensi, berasa khuatir untuk terus mengambil ubat-ubatan seperti yang telah diarahkan oleh doktor. Isu ketidakpatuhan kepada rawatan akan timbul dan mengakibatkan penyakit diabetes dan hipertensi yang dihidapi tidak dapat dikawal secara optimum. Keadaan ini sekiranya dibiarkan berlarutan boleh menyumbang kepada komplikasi, termasuklah kegagalan buah pinggang.

Lebih membimbangkan lagi, sekiranya mereka mengambil sediaan tradisional atau produk suplemen sebagai tambahan atau alternatif kepada rawatan yang telah diberikan tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu. Di samping itu, terdapat juga kebarangkalian bahawa produk alternatif yang digunakan merupakan produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Produk yang tidak berdaftar atau kosmetik tidak bernotifikasi dapat meningkatkan risiko kegagalan buah pinggang kerana kandungannya berkemungkinan telah tercemar atau dicampurkan dengan bahan terlarang seperti ubat terkawal atau logam berat. Proses penyingkiran bahan ini daripada badan akan membebankan fungsi buah pinggang. Malah, sesetengah ubat terkawal seperti steroid dan ubat tahan sakit daripada kumpulan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) serta logam berat seperti merkuri dan plumbum diketahui berisiko menyebabkan kegagalan buah pinggang, terutamanya dengan pengambilan yang berpanjangan dan tanpa kawalan.

Nasihat untuk Pesakit dan Orang Awam

Pesakit dan orang awam harus memperbetul tanggapan yang salah bahawa ubat-ubatan merupakan punca kerosakan buah pinggang. Secara umumnya, ubat-ubatan berdaftar yang diberikan kepada pesakit terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya. Sekiranya diambil mengikut dos, kekerapan dan tempoh yang diarahkan, kesan mudarat yang mungkin berlaku akibat terlebih dos dapat dielakkan.

Sesetengah ubat diketahui berisiko menyebabkan kerosakan buah pinggang sekiranya diambil melebihi dos yang disyorkan. Oleh itu, pesakit tidak seharusnya menggandakan sendiri dos ubat-ubatan tanpa merujuk doktor atau ahli farmasi. Jika ingin mengambil ubat-ubatan yang dapat diperoleh daripada farmasi komuniti, dapatkan nasihat yang menyeluruh tentang dos dan kekerapan pengambilan daripada ahli farmasi.

Selain itu, pesakit yang menghidap diabetes dan hipertensi khususnya, hendaklah patuh kepada ubat-ubatan yang diberikan. Ubat-ubatan tersebut telah dikaji berkualiti, selamat dan berkesan dalam membantu mengawal penyakit dan seterusnya mengelakkan komplikasi kerosakan buah pinggang. Pesakit harus mengambil ubat yang dibekalkan mengikut arahan yang telah ditetapkan.

Pesakit juga tidak seharusnya menghentikan rawatan dan memilih untuk menggunakan produk alternatif tanpa berbincang dahulu dengan ahli profesional kesihatan. Elakkan daripada terpedaya dengan iklan atau penjual produk alternatif yang mendakwa produk tersebut berkesan menyembuhkan penyakit kronik dan selamat daripada sebarang kesan sampingan. Tindakan ini juga dapat mengelakkan pesakit atau orang awam daripada menggunakan produk tidak berdaftar yang tidak dijamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya untuk mengawal penyakit, bahkan dikhuatiri mengandungi bahan terlarang dan berisiko mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

Selain itu, pesakit dan orang awam turut dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang meragukan tentang ubat-ubatan. Sebaliknya, jika terdapat sebarang persoalan tentang ubat-ubatan, misalnya yang berkaitan tentang kesan sampingan, mereka digalakkan untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak yang lebih berkredibiliti, seperti doktor atau ahli farmasi. Informasi yang tidak tepat juga tidak seharusnya dikongsikan kepada orang lain hingga menimbulkan salah faham dalam masyarakat.

Salah Faham tentang Ubat

Tanggapan bahawa pengambilan ubat-ubatan boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang merupakan salah faham yang perlu dijelaskan. Hal ini penting agar individu yang harus mengambil ubat-ubatan berasa lebih yakin dan terus patuh kepada rawatan. Perkara yang lebih penting untuk ditegaskan ialah ubat-ubatan tersebut hendaklah diambil dengan cara yang betul dan mengikut arahan yang telah diberikan oleh ahli profesional kesihatan.

Penulis, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Maklumat Ubat dan Pendidikan Pengguna, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.