Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangApabila tibanya bulan Ramadan, banyak orang yang beranggapan bahawa mereka boleh menurunkan berat badan atau mendapatkan berat badan yang ideal kerana tidak makan atau minum pada siang hari. Walau bagaimanapun, pada penghujung bulan Ramadan, banyak orang yang kecewa kerana bukan sahaja tidak dapat menurunkan berat badan, sebaliknya menyedari berat badan yang bertambah berat. Pada masa inilah, lambakan bazar ramadan mula dipersalahkan kerana menjual pelbagai hidangan enak yang menggiurkan. Selain hidangan di bazar ramadan, budaya moreh juga boleh menyumbang kepada masalah peningkatan berat badan dan risiko obesiti.
Moreh merupakan satu daripada tradisi unik umat Islam yang diadakan sepanjang bulan Ramadan. Menurut Kamus Dewan Perdana, 2021, moreh ialah jamuan di masjid atau surau dalam bulan puasa yang biasanya diadakan selepas solat tarawih berjemaah dan tadarus. Pada kebiasaannya, hidangan ringan seperti mi atau bihun goreng, sate, kuih-muih, pemanis mulut dan minuman menjadi pilihan hidangan semasa moreh. Penyediaan moreh di masjid dan surau adalah untuk mengajak ahli kariah dan penduduk setempat bersama-sama menunaikan solat tarawih. Jika dahulu, orang akan membawa makanan dari rumah masing-masing dan dimakan secara berkongsi semasa moreh. Namun begitu, kini kebanyakan ahli kariah akan memberikan sumbangan untuk penyediaan moreh di masjid dan di surau masing-masing.
Setelah berpuasa pada siang hari, kebanyakan orang akan meminum air yang banyak dan mengambil makanan yang sedikit ketika berbuka. Hal ini menyebabkan mereka menjadi semakin berselera semasa moreh. Sedangkan tanpa mereka sedar moreh sebenarnya boleh meningkatkan risiko obesiti kerana pengambilan makanan pada lewat malam, iaitu selepas menunaikan solat tarawih atau bertadarus. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (2021) sebelum ini menyatakan bahawa budaya makan malam menyumbang kepada pengambilan sajian berlebihan dan menyebabkan tubuh tidak menggunakan kalori berlebihan tersebut. Kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak di dalam badan dan seterusnya menjadi antara punca obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Perut merupakan pusat bagi kebanyakan penyakit. Oleh itu, setiap orang perlu mengawal makanan yang masuk ke dalam perut. Pemilihan jenis makanan dan waktu pengambilan yang tepat boleh menghindarkan seseorang daripada penyakit tidak berjangkit yang disebabkan oleh obesiti. Kebanyakan orang mengamalkan prinsip “hidup untuk makan” dan bukannya “makan untuk hidup”. Buktinya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2019 menunjukkan bahawa kira-kira 50.1 peratus rakyat di negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan. Oleh itu, mereka disarankan untuk menjaga kesihatan dan mengawal berat badan ketika bulan Ramadan. Namun begitu, perkara yang berlaku adalah sebaliknya, mereka memilih untuk mengambil hidangan yang berat semasa moreh.
Di Kelantan misalnya, apabila tiba bulan Ramadan, suasana di kedai pada waktu malam menjadi meriah dengan aktiviti makan colek selepas solat Tarawih. Setelah hampir dua hingga tiga tahun aktiviti ini tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19, sambutan Ramadan pada tahun ini amat meriah dan menggalakkan. Mereka teruja untuk memenuhi kedai-kedai yang menyediakan juadah colek di negeri tersebut. Makan colek merupakan antara aktiviti santai bersama-sama ahli keluarga dan kawan-kawan pada waktu malam sepanjang Ramadan bermula selepas solat Isyak hingga larut malam. Pelbagai jenis colek boleh didapati di kedai termasuklah colek buah, colek ayam, colek perut, colek kerang dan colek campur. Hidangan colek tersebut akan dimasak secara dicelur, dibakar atau digoreng celup tepung dan dihidangkan bersama-sama sos sebagai penambah rasa.
Walaupun hidangan colek tidak begitu popular di negeri lain, namun banyak orang yang masih memilih hidangan berat dan tinggi kalori kerana banyak kedai makan yang beroperasi hingga awal pagi pada bulan Ramadan. Bukan itu sahaja, malah kebanyakan masjid dan surau juga menyediakan moreh secara percuma kepada jemaah yang menunaikan solat tarawih. Sedangkan sepatutnya pengambilan makanan semasa moreh harus dititikberatkan bagi memastikan badan berada dalam keadaan yang sihat. Pengabaian aspek pemilihan makanan semasa moreh boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada individu seperti kenaikan berat badan, kitaran tidur terganggu, kerap ke tandas, ketidakhadaman dan pedih ulu hati.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan masyarakat memilih sumber bijirin yang tinggi kandungan serat, buah-buahan segar berbanding dengan kuih-muih atau manisan dan tambahkan kekacang ke dalam hidangan moreh. Jangan ambil hidangan moreh dengan susu, elakkan daripada mengambil makanan atau minuman yang tinggi gula dan juga elakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam. Hal ini bagi memastikan jumlah pengambilan kalori semasa moreh tidak melebihi keperluan kalori harian agar tidak meningkatkan risiko obesiti. Mereka perlu mengelakkan makanan berat semasa moreh dan mengehadkan hanya kepada 300 kalori sahaja.
Seelok-eloknya elakkan pengambilan makanan sehingga larut malam dan perlu ada jurang masa antara satu hingga dua jam sebelum waktu tidur kerana badan tidak menggunakan kalori yang banyak semasa tidur. Lebihan kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak dalam badan dan seterusnya boleh meningkatkan kolesterol dan berat badan. Elakkan juga tidur selepas moreh dengan melakukan aktiviti seperti senaman ringan, membaca buku dan sebagainya agar kalori dalam badan digunakan. Selain itu, mereka juga boleh mengehadkan pengambilan moreh hanya dua atau tiga kali seminggu dalam usaha untuk menjaga kesihatan dan mengelakkkan obesiti.
Pengambilan moreh yang merupakan antara tradisi dan budaya masyarakat Islam Malaysia adalah tidak salah, namun kita perlu memilih jenis makanan yang bersesuaian terutamanya dari segi jumlah kalori. Ramadan merupakan peluang dan kesempatan terbaik untuk menjaga kesihatan masing-masing. Oleh itu, elakkanlah daripada menikmati makanan secara berlebihan semasa moreh.