24 Mac 2024, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Pameran Arena Malaysia Aviation Group (MAG), yang merupakan syarikat induk Malaysia Airlines di MATTA Fair 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Segambut, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba baginda yang pernah berkhidmat dengan Malaysia Airlines selama 12 tahun dari tahun 1990 hingga tahun 2002 sebelum dilantik sebagai Tuanku Raja Muda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) Berhad, Encik Ahmad Luqman Mohd Azmi.

Sebagai rakan rasmi utama MATTA Fair, Arena MAG menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik kepada para pengunjung.

Malaysia Airlines juga telah menjalinkan kerjasama sebagai rakan penerbangan komersial kelab bola sepak tersohor dunia, iaitu Manchester United yang mempunyai 1.1 billion peminat dan pengikut di seluruh dunia.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis seisi keluarga juga merupakan penyokong tegar kelab Red Devils tersebut. Tambah istimewa apabila baginda dipersembahkan jersi kelab tersebut yang disampaikan oleh legenda Manchester United, Wes Brown.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis bergambar kenangan dengan tetamu kehormat dan pengunjung.

Keberangkatan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah bagi merasmikan Majlis Pembukaan MATTA Fair 2024 yang berlangsung selama tiga hari yang bermula dari  22 Mac hingga 24 Mac 2024, iaitu negeri Perlis diberi penghormatan sebagai “Malaysia’s Favourite Destination” pada edisi kali ini.

Tuanku Raja Muda Perlis berpengalaman dalam industri pelancongan antarabangsa khususnya sektor penerbangan kerana pernah mengetuai pejabat Malaysia Airlines sebagai Pengurus Kawasan di Madrid, Sepanyol yang bertanggungjawab untuk negara Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara dari tahun 1995 hingga tahun 1998 dan di Zurich, Switzerland bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah dari tahun 1998 hingga tahun 2002.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis sedang beramah mesra dengan pengunjung.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.