Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJangan anggap barang bundle tiada nilai.
Sewaktu pulang daripada bekerja, penulis berlegar-legar berhampiran sebuah lorong di sekitar bangunan Pangsapuri Bistari, Kuala Lumpur untuk mencari kedai makan. Ketika dalam perjalanan, mata terpandang dan mendengar perbualan seorang lelaki sedang berurusan untuk membeli sepasang kasut. Ketika itu, pemilik kedai sedang menceritakan kelebihan dan juga sejarah kasut tersebut.
Kasut yang dipegang itu berjenama Converse. Pemilik kedai tersebut menjelaskan kasut tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri. Pengeluaran kasut itu juga amat terhad dan sukar diperolehi. Harganya pula boleh mencecah empat angka kerana diperbuat daripada material yang berkualiti sehingga menyebabkan jenama ini terus bertahan biarpun sudah berdekad lamanya berada di pasaran.
Perkara ini bukan sahaja menarik minat penulis untuk mengetahui dengan lebih lanjut, malah turut teruja untuk melihat beberapa koleksi kasut yang dijual di premis itu. Pada ketika itu, penulis mula berfikir mengapakah masyarakat, tidak kira jantina dan bangsa amat meminati barangan bundle? Bundle atau barangan terpakai sudah menjadi suatu budaya dan kebiasaan dalam kehidupan masyarakat sejak dahulu hingga kini.
Apabila ditanya, pasti setiap individu sememangnya mengetahui dan pernah mengunjungi premis bundle walaupun hanya sekali dalam hidup mereka. Hal ini menjadi persoalan, iaitu apakah keistimewaan bundle? Apakah daya penarik yang ada di kedai bundle? Lalu penulis menghampiri pemilik kedai untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keunikan barangan bundle.
Merujuk Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, “barang” bermaksud benda, iaitu benda yang dicetak, diterbit, dijual dan didagang mengikut pasaran. Manakala “terpakai” pula membawa makna yang sudah dipakai. Lantaran itu, bundle merujuk pada benda yang sudah dipakai.
Setelah melayan pelanggan yang berlalu pergi dari premisnya, pemilik kedai terus memperkenalkan dirinya kepada penulis. Nama sebenarnya ialah Rostam, namun lebih dikenali sebagai nama Pak Tam dalam kalangan pelanggan atau masyarakat di sekitar kawasan itu. Pak Tam mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan. Lalu beliau membuka kedai kasut terpakai ini untuk memastikan minat beliau tercapai. Beliau berasal dari Pulau Pinang dan telah lama menetap di Kuala Lumpur setelah pulang dari Liverpool, England.
Di Liverpool, beliau bekerja sebagai cef. Melihat pada latar belakang asasnya, terdetik di hati, beliau bukan calang-calang orang kerana turut berpengalaman luas dalam bidang seni kulinari. Bak kata pepatah, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”, maka lebih baik di negeri sendiri biarpun di sana beliau mempunyai pekerjaan yang stabil. Beliau tetap pulang untuk mencari rezeki di tanah air sendiri dengan menceburi bidang perniagaan.
Sejak tahun 1998 lagi, Pak Tam berniaga dengan menjual kasut terpakai. Pada awalnya, beliau hanya menggunakan kereta atau van untuk berniaga. Selepas itu, beliau mula berusaha mencari rezeki di pasar malam atau pasar tamu di sekitar Pulau Pinang. Dalam menempuh ranjau perniagaan yang ada pasang dan surutnya, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka premis menjual barangan terpakai dan kasut merupakan koleksi utama jualannya.
Kedai yang diusahakannya itu mempunyai keunikan yang tersendiri. Dalam kedainya terdapat banyak koleksi unik atau sukar dijumpai. Sebagai peminat barangan bundle, mereka harus tahu tentang kewujudan tempat ini. Di sini terdapat pelbagai koleksi kasut yang mempunyai nilai dan keistimewaan masing-masing. Sebut sahaja jenama yang popular seperti Nike, Adidas, Puma dan lain-lain lagi semuanya ada di kedai Pak Tam.
Begitu juga dengan koleksi Converse yang bermula dari era 70-an hingga kini, semuanya ada. Yang menariknya, ramai pelanggan Pak Tam membeli tanpa banyak soal setelah mendengar maklumat dan tips penting daripadanya, ditambah pula beliau menjualnya dengan harga yang berpatutan.
Apabila ditanya, apakah rahsia Pak Tam ketika berurusan dengan pelanggan? Beliau menjawab semua yang dilakukannya hanyalah untuk melihat kegembiraan yang terpancar kepada pembeli. Mengulas dengan lebih lanjut, tidak semua orang mampu memiliki kasut yang diimpikan. Oleh sebab itu, inilah satu-satunya kedai yang akan “melunaskan” segala impian dan kehendak mereka. Penulis perasan bahawa Pak Tam memiliki skil atau kemahiran yang tersendiri. Kemahiran yang beliau ada pastinya dari sisi keramahan yang menyebabkan pelanggan “terpukau” dan terus membeli kasut di kedainya.
Mulutnya yang ringan menyebabkan pelanggan atau pembeli yang buat kali pertama menjejakkan kaki ke situ turut berasa selesa dan mudah berurusan dengannya. Malah beliau juga mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap kasut yang dijual. Oleh itu, hal ini amat memudahkan pembeli untuk berurusan dan yang paling penting tidak berasa ragu-ragu atau was-was berkemungkinan mereka ditipu semasa urusan jual beli.
Sebagai contoh, ada seorang pemuda yang ingin membeli kasut jenama Converse di kedainya, namun setelah Pak Tam menerangkan dan memberitahu tentang kelebihan kasut itu, maka tanpa berlengah pemuda itu terus membeli kasut tersebut. Kelebihan ini menjadikan pelanggan akan terus setia membeli di kedainya kerana kepetahan dan maklumat tepat yang disampaikan.
Ketika ditanya, adakah Pak Tam menggunakan platform media sosial dalam memastikan kedainya tular dan semakin dikenali? Pak Tam menjelaskan bahawa pada era ini, platform sebegitu amat membantu dalam melariskan jualan dan menyebabkan sesebuah premis itu diketahui oleh masyarakat. Namun baginya, seorang peniaga yang baik juga perlu memiliki pengetahuan sedia ada dan jaringan peniagaan yang meluas. Maksud beliau, kedua-duanya perlu bergerak seiringan agar sesebuah perniagaan berjalan lancar dengan mengikut peredaran zaman.
Beliau menyambung lagi dengan menyatakan bahawa biarpun kedainya terperosok di belakang sebuah lorong yang juga dikatakan menjadi “titik panas” di Kuala Lumpur itu, namun kebanyakan peminat bundle mengetahuinya. Hal ini demikian kerana sikapnya yang ramah dan sentiasa positif untuk membantu pelanggan mendapatkan kasut yang diinginkan dengan harga yang setimpal. Tambahan pula, jaringan perniagaan daripada rakan-rakannya juga membantu dalam usaha memperkenalkan kedainya kepada pelanggan.
Melihat kepada sikap Pak Tam, jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang berintegriti, telus, bersungguh-sungguh dan mempunyai semangat yang tinggi serta minat yang mendalam apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan. Menurut beliau, perkara ini memberikan kepuasan kepada diri sendiri dan juga kepada pelanggan beliau. Bagi penulis, kualiti sikap yang ada dalam dirinya merupakan sebahagian daripada resipi kejayaan dalam memajukan perniagaan.
Menerusi sektor perniagaan, Pak Tam turut memperlihatkan sisinya yang lain, iaitu sebagai seorang pembimbing. Beliau sentiasa berharap agar bangsanya tidak ketandusan ilmu dan ketinggalan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi biarpun mereka kurang berkemampuan. Niatnya itu telah mendorong beliau melibatkan diri sebagai penggerak atau penggalak kepada golongan tertentu, terutamanya membabitkan remaja bermasalah.
Oleh hal yang demikian, beliau nekad mengubah nasib mereka dengan melibatkan diri dengan beberapa buah agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa lagi persatuan dalam memberikan motivasi atau apa-apa sahaja bantuan yang boleh diberikan. Malah, beliau juga pernah diundang untuk menyampaikan ceramah kesedaran untuk memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar sekolah supaya tidak tersesat jalan dalam meniti arus kehidupan.
Selain menjual kasut dan diundang untuk menyampaikan ceramah motivasi, Pak Tam kini melebarkan lagi sayap dalam perniagaan makanan. Berbekalkan pengalaman luasnya sebagai cef, beliau membuka kafe di hadapan kedainya. Biarpun berkeluasan terhad, namun sangat bererti baginya. Melalui cara tersebut, beliau akan membantu komuniti yang kurang berkemampuan untuk mengisi perut mereka. “Saya melakukan usaha ini untuk membantu golongan yang memerlukan dan terdesak dari segi kos kehidupan di kota besar”, demikian jelas Pak Tam kepada penulis.
Setiap hari, Pak Tam akan memasak beberapa jenis lauk seperti gulai daging, sayur campur dan beberapa masakan bergoreng. Setelah itu, dalam tempoh sehari, sebanyak 60 orang golongan asnaf akan dibantu menerusi sumbangan makanan daripada kedai makannya. Pak Tam melakukan hal tersebut dengan seikhlas hati, lebih-lebih lagi memasak merupakan kemahiran yang dimiliki olehnya.
Apabila ditanya, mengapakah Pak Tam melakukan semua ini walaupun kelihatan tidak menguntungkan? Beliau menyatakan bahawa perniagaan juga merupakan satu daripada usaha beliau untuk membantu komuniti yang memerlukan biarpun apa-apa yang dilakukan itu tidaklah sebesar mana daripada kaca mata orang lain. Perkara yang dilakukannya itu adalah untuk berkongsi rezeki dan membantu serta menyumbang kepada komuniti, yakni fakir miskin dan anak-anak yatim.
Pak Tam menyambung perbualan lagi dengan menjelaskan bahawa dalam kejayaan atau kesenangan yang diperolehi, jangan sesekali kita lupa dan alpa akan tanggungjawab kepada masyarakat atau golongan yang memerlukan pertolongan. Golongan yang terkesan juga mempunyai impian dan kita sebagai insan yang berjaya seharusnya sama-sama membantu mereka supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, sekaligus memikul bebanan ini agar tidak berlaku keciciran yang lebih serius.
Sebelum mengakhiri perbualan, Pak Tam mempelawa kepada anak muda yang berminat untuk menceburikan diri sebagai usahawan dalam perniagaan terutamanya yang mempunyai kecenderungan dan minat dalam menjual barangan bundle, bolehlah berkunjung ke kedai beliau sekiranya mereka memerlukan bantuan dan sokongan untuk memulakan sebarang perniagaan. Pak Tam amat mengalu-alukan kehadiran anak muda untuk berkongsi pandangan dan menjadi pemangkin kepada kejayaan dalam perniagaan.
Penulis amat mengagumi usaha yang dilakukan oleh Pak Tam disebabkan cabaran dan rintangan yang telah dihadapi oleh beliau sebelum ini menerusi perbualannya. Rata-rata peniaga mahukan keuntungan yang berlipat ganda. Pada masa yang sama, melihat pada premisnya yang agak berbahaya kepada pengunjung pada waktu malam terutamanya golongan wanita, hal tersebut menjadikan penulis begitu kagum dengan semangatnya kerana tidak mudah untuk mana-mana individu bertahan lama apabila menguruskan perniagaan di kawasan yang berisiko tinggi seperti itu.
Biarpun telah menempuhi pelbagai ranjau kehidupan, beliau tetap optimis berniaga sambil membantu golongan yang memerlukan. Sifat istiqamah, bertanggungjawab, amanah serta tidak mengenal erti putus asa menjadi prinsip Pak Tam dalam usahanya melebarkan perniagaan sehingga ke tahap ini.
Dalam hal ini, penulis terimbau tentang sebuah buku ekonomi berjudul Society and Economy: Framework and Principles oleh Mark Granovetter. Dalam karyanya itu, Granovetter menjelaskan bahawa ekonomi merupakan asas yang menentukan strukstur sosial masyarakat. Oleh itu, struktur inilah yang membentuk kehidupan masyarakat di sesebuah negara kerana masyarakat dan ekonomi itu saling berkaitan antara satu sama lain. Jika masyarakat mampu menjalani kehidupan dengan sempurna, maka ekonomi negara turut berkembang pesat dan maju.