Oleh Jamiaton Kusrin
22 April 2024, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Muhammad Alif Haziq Zarrul Hayat

Program Kejohanan Road Run 2024/2025 yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam merupakan anjuran bersama dengan UiTM Shah Alam.

Shah Alam – Kejohanan Road Run 2024/2025 berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 (SKS9) bagi meningkatkan kecergasan dalam kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti, baru-baru ini.

Road Run merupakan satu inisiatif anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan SKS9 dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKS9.

Menurut penganjur, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dan kecergasan dalam kalangan komuniti, selain menjadi satu daripada platform baik untuk pelajar, guru, ibu bapa, industri dan komuniti bergabung tenaga untuk menjayakan aktiviti kecergasan bersama.

Sebanyak 600 orang pelajar Tahun 4, 5 dan 6 yang terdiri daripada tiga kategori lelaki dan tiga kategori perempuan terlibat dengan jarak larian yang bersesuaian dalam Road Run 2024/2025.

YDP PIBG SKS9, Dato’ Sri Suhaimi Hashim ketika berucap dalam majlis perasmian Road Run 2024/2025.

Aktiviti Road Run dimulakan dengan bacaan doa dan sesi taklimat ringkas tentang pentingnya kesihatan dan kecergasan oleh guru terlibat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Suhaimi Hashim, Yang Dipertua PIBG SKS9.

Pada masa yang sama, majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan persembahan acara senamrobik yang dikelolakan oleh pensyarah dan mahasiswa FSR sebagai sebahagian aktiviti pemanasan badan. Acara larian dimulakan secara berfasa untuk memastikan aspek keselamatan dipatuhi semua peserta larian.

Manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie selaku Penyelaras Program Komuniti.

Semoga acara larian dan senamrobik dapat meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dan kecergasan dalam kalangan komuniti, serta memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan.

Selain itu, pelibatan lebih banyak sekolah dan penduduk setempat pada masa akan datang adalah amat dialu-alukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.