9 Mei 2024, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berpandangan bahawa rakyat Malaysia perlu terus menyuburkan kesedaran kolektif bangsa untuk membentuk keperibadian kebangsaan.

Menurut beliau, elemen bahasa dan budaya Melayu merupakan elemen ampuh dalam memastikan kelangsungan Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif, namun masih mempunyai pasak kukuh yang melibatkan bahasa, sastera, budaya dan persuratan Melayu.

Demikian ucapan YB Fadhlina Sidek dalam majlis Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj) VII: Adat Istiadat Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi.

Bersempena dengan majlis ini juga, Tuanku Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut.

DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis bersama-sama dengan barisan tetamu kehormat.

YB Fadhlina turut menjelaskan bahawa penganjuran seminar ini membuktikan bahawa institusi raja, khususnya Duli Tuanku sentiasa cakna dan peduli dalam hal berkaitan bahasa, sastera, budaya dan persuratan Melayu walaupun dalam era dunia tanpa sempadan dan digital ini.

Beliau menambah,

 Komitmen dan keprihatinan Duli Tuanku dalam hal ini menunjukkan institusi raja mampu menjadi benteng yang amat kukuh bagi melindungi elemen tersebut yang merupakan ‘tiang seri’ negara ini.

Selain bertujuan untuk memberikan kesedaran dan penegasan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan institusi raja sebagai tonggak pembinaan negara bangsa yang bertamadun, seminar ini juga memberikan penjelasan berkaitan peranan institusi raja bagi menaungi dan melindungi elemen bahasa dan budaya Melayu.

Bagi Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai badan berkanun yang telah diamanahkan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu dan tamadun negara, saya dan sekalian warganya akan terus melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan wawasan utamanya, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh; Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad;  Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan a/l Pandian; Profesor Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; YBhg. Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Ab. Azizi dan moderator forum, Encik Amin Idris serta pengurusan tertinggi DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.