9 Mei 2024, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Masyarakat harus sedar bahawa kedaulatan institusi raja didukung kuat oleh adat istiadat Melayu melalui beberapa aspek utama termasuk legitimasi, kestabilan, pemeliharaan warisan budaya dan pembentukan identiti kebangsaan”.

Adat istiadat Melayu kaya dengan simbolisme yang membantu memperkuat wibawa raja dan menciptakan citra yang dihormati di mata masyarakat.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) ketika berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj) VII: Adat Istiadat Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang tadi.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menyempurnakan simbolik perasmian Seminar SIRaj VII: Adat Istiadat Melayu.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut bertitah bahawa institusi raja berperanan sebagai lambang identiti negara, membantu membentuk sahsiah masyarakat dan mengukuhkan perpaduan antara bangsa dan kaum.

Titah baginda lagi,

Institusi raja turut berfungsi sebagai kunci kestabilan negara yang bertindak menjadi pelerai atau penyelamat dalam merungkaikan sebarang kekusutan yang melangkaui di luar keupayaan penyelesaian oleh institusi perundangan, kehakiman dan eksekutif, dan bukan hanya sebagai pelengkap adat atau negara beraja-rakyat bersultan.

Mengakhiri titah baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya rakyat majmuk di Malaysia sewajarnya menghormati adat istiadat Melayu walaupun berlainan bangsa atau kaum untuk mengelakkan pertikaian atau perebutan pemilikan negara oleh satu-satu bangsa.

Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj) VII: Adat Istiadat Melayu dianjurkan bertujuan untuk memberikan kefahaman yang jelas dan relevan serta membekalkan maklumat kepada masyarakat tentang peranan, kedudukan dan sumbangan institusi raja agar rakyat akan terus mendukung dan mendaulatkan Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri-negeri dan negara Malaysia.

Selain itu, majlis ini turut bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US), jabatan kerajaan dan agensi-agensi swasta bagi memperkukuh kewibawaan Institusi Raja Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa, selain menyebarkan ilmu pengetahuan tentang institusi raja melalui penerbitan akademik dan separa akademik bagi melestarikan kepentingan institusi raja.

Sebagai rekod, DBP pernah bekerjasama dengan UniMAP dalam penganjuran Seminar Institusi Raja (SIRaj VI): Sistem Beraja-Antara Realiti dengan Harapan pada 29 Ogos 2019 sebelum penganjuran seminar ini tergendala seketika sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.