9 Mei 2024, 21:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj VII): Adat Istiadat Melayu diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada petang ini.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat agar memelihara warisan dan adat istiadat Melayu bagi meletakkan kewibawaan institusi beraja sebagai kunci kestabilan negara.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah dalam program SIRaj VII.

Institusi raja bukan hanya pelengkap adat atau negara beraja-rakyat bersultan, tetapi berperanan sebagai kunci kestabilan negara yang bertindak menjadi pelerai atau penyelamat dalam merungkai sebarang kekusutan di luar keupayaan penyelesaian oleh institusi perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj VII): Adat Istiadat Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Forum pada kali ini menampilkan empat orang ahli panel jemputan, iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh; Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan a/l Pandian; dan Profesor Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Ab. Azizi, yang dikendalikan oleh Encik Amin Idris selaku moderator.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Dalam Forum SIRaj VII itu, YBhg. Tan Sri Syed Danial menyatakan bahawa raja terbahagi kepada dua, iaitu persona atau sifat keperibadian raja; dan raja ialah cerminan kepada rakyat.

Sifat-sifat institusi raja yang diperlembagakan sebagai lambang negara merupakan perkara penting yang bukan sekadar penaung, tetapi menjadi peribadi negara yang aman dan stabil.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh.

Menyokong pendapat tersebut, YB Tuan Wong Kah Woh memetik kata-kata tokoh pendidik, Almarhum Professor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil:

Kita harus bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.

Beliau mengatakan bahawa sikap toleransi dalam masyarakat menjadi asas kepada pembinaan bangsa dan perpaduan melalaui kepelbagaian kaum, bangsa, agama dan budaya.

Profesor Sosiologi Politik USM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan a/l Pandian.

Mengulas lanjut, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan berkata,

Faham, hormat dan terima.

“Dalam konteks membudayakan perpaduan, kita mahu meraikan kepelbagaian walaupun berbeza dari sudut agama, ras, etnik, gender dan fahaman politik.

“Kita tidak boleh mengetepikan asas yang telah membina negara kita, iaitu Institusi Raja-raja Melayu.

Tambah beliau,

Institusi Raja merupakan pelindung, pendamai, semak dan imbang, pelengkap yang yang menjadi rujukan rakyat apabila berada dalam kekusutan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menjunjung ketinggian perlembagaan, fasih berbahasa Melayu dan bangga menjadi warganegara yang akan mempertahankan kedudukan negara, sekali gus mengangkat kewibawaan institusi raja tanpa persempadanan.

Dalam forum tersebut, YBhg. Prof. Datuk Dr. Syamrahayu menyimpulkan bahawa sistem tradisi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini pada hakikatnya menetapkan ciri atau identiti yang tidak mengasingkan antara institusi raja dengan rakyat serta warisan budayanya.

Profesor Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Ab. Azizi.

Ujar beliau,

Adat istiadat Melayu itu tidak semestinya Melayu itu menolak perpaduan dengan elemen atau kewarganegaraan yang berbeza.

Sebenarnya, kepelbagaian itu suatu kemurnian yang menjadi cabaran kepada orang Melayu itu sendiri supaya sentiasa berpegang teguh pada pasak bumi negara ini.

Maka itu, beliau memaklumkan bahawa Malaysia akan mencapai 100 tahun merdeka dalam tempoh 33 tahun lagi. Katanya,

Gagasan kita adalah supaya masyarakat yang akan memimpin negara nanti boleh menghayati nilai warisan dan melihat institusi raja sebagai institusi yang sentiasa relevan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.