Oleh Rasoul Manan
15 Mei 2024, 21:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuantan – Sambutan Hari Guru sememangnya amat dinanti-nantikan oleh golongan pendidik saban tahun.

Pada tahun ini, tiga guru bertuah telah memenangi kategori Anugerah Ikon Guru DELIMa, Anugerah Guru Berwibawa (Hebat Bahasa) dan (Guru Sekolah Swasta Berwibawa).

Pemenang Anugerah Ikon Guru DELIMa, iaitu Puan Siti Khalijah Dosah dari SMK Tun Haji Abdul Malek, Melaka berkongsi kegembiraannya dengan menyatakan bahawa kejayaan tersebut bukan hasil usahanya sahaja, tetapi komitmen daripada ibu bapa dalam membantu anak mereka ketika belajar di rumah.

Puan Siti Khalijah Dosah merakamkan gambar bersama hadiah kemenangan ketika ditemu bual oleh JendelaDBP.

Beliau menyatakan bahawa Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), merupakan pelantar pembelajaran digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019.

“DELIMa menempatkan pelbagai sumber rujukan, termasuklah buku teks digital dan menjadi medium komunikasi antara guru dengan murid.”

“Oleh itu, saya memaksimumkan sepenuhnya pelantar ini untuk berkongsi dan memuat naik bahan pembelajaran kepada anak murid supaya sentiasa menimba ilmu walau di mana-mana jua mereka berada.”

Begitu juga dengan pemenang Anugerah Berwibawa (Guru Hebat Bahasa), Encik Mohd. Nazmi Jaafar dari SK Demang Taha, Melaka. Beliau berasa bersyukur dengan kejayaan besar yang diterima olehnya itu.

Dalam perkongsian beliau yang juga guru Bahasa Melayu dan Bahasa Arab, beliau menjelaskan bahawa untuk memenangi anugerah itu, semua peserta akan bersaing dalam bidang bahasa yang melibatkan pelbagai bahasa yang diajar di Malaysia.

Encik Mohd. Nazmi Jaafar bersama-sama hadiah kemenangan setelah diumum sebagai pemenang Anugerah Guru Berwibawa (Guru Hebat Bahasa).

“Inovasi yang saya lakukan dalam melatih anak murid ketika pertandingan pidato peringkat kebangsaan dalam bahasa Melayu dan menjadi juri dalam pertandingan pengucapan awam membawa tuah kepada saya untuk dipilih sebagai pemenang.”

Beliau turut menggunakan produk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha meningkatkan penguasaan pelajar didikannya dalam berbahasa Melayu.

 

Saya berhasrat ingin melihat para pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan baik, fasih dan seterusnya mengangkat martabat bahasa ibunda kita.

Seterusnya, pemenang Anugerah Guru Berwibawa (Guru Sekolah Swasta Berwibawa), Ustaz Muhamad Hafiz Haneefa pula berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

“Ketika mengajar subjek al-Quran dan Qiraat, pengajarnya perlu mahir serta menguasainya kerana apabila mengajar kelak, anak murid mudah faham.”

“Pengalaman yang dikutip sejak tahun 1999, membuat saya sentiasa bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan, apatah lagi pada era ini, penggunaan teknologi memberikan perkara positif dan sebaliknya menyebabkan tugasan sebagai guru semakin kompleks.”

Ustaz Muhamad Hafiz Haneefa bergambar bersama-sama Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika diumumkan sebagai pemenang Anugerah Guru Berwibawa (Guru Sekolah Swasta Berwibawa).

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau berkongsi harapan agar para pendidik sentiasa dihormati dan disanjung sepertimana sajak ciptaan Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, “Guru Oh Guru” , yakni berjayanya seorang Perdana Menteri atau Peguam Negara, bermula dengan hasil didikan insan bergelar guru.

Beliau juga merupakan pemenang Pencetus Ummah pada tahun 2014 dan kini diundang sebagai penceramah dalam slot Tanyalah Ustaz yang bersiaran di rangkaian TV9.

Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Malaysia MADANI”. Majlis perasmiannya akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), esok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.