26 Mei 2024, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Koloni Anak Seni Malaysia mengadakan Program Bicara Buku MADANI Anak Seni bagi melestarikan seni warisan melalui buku-buku hikayat.

Buku-buku hikayat merupakan satu daripada genre kesusasteraan tradisional yang kekal relevan sehingga ke hari ini.

Selain itu, program ini berupaya memperkukuh penghayatan khalayak kepada bahasa dan sastera kebangsaan, serta dapat memupuk budaya membaca dalam meraikan perkongsian ilmu kepada masyarakat umum.

Bersempena dengan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2024, penganjur telah menampilkan Puan Norliza Md Yamin, penerima Anugerah Ikon Guru Seni Persembahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024.

Beliau memanfaatkan kemahiran bersyair dan berpantun dengan gaya yang kreatif dalam menyampaikan bicara buku terbitan DBP yang berjudul Hikayat Panji Semirang.

Golongan belia yang hadir ternyata teruja mendengar perkongsian beliau dan telah mendapat reaksi daripada Presiden Persatuan Koloni Anak Seni Malaysia, Encik Azam Ismail Bakri, yang turut hadir menyaksikan program ini.

Presiden Persatuan Koloni Anak Seni Malaysia, Encik Azam Ismail Bakri.

Menurut Encik Azam Ismail Bakri, teknik resensi buku hikayat oleh pembicara buku yang diuruskan oleh DBP ini amat unik dan perlu disusun perancangan agar dapat diperluaskan lagi program seperti ini.

Dendangan syair bukan sahaja membuatkan orang ramai terpegun, malah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung ke festival yang berlangsung ini.

Kita semua seperti dibawa kembali ke zaman era Melaka yang lampau.

Sementara itu, Puan Norliza merakamkan penghargaan kepada DBP dan KPM kerana terus tekal melestarikan hikayat lama dan usaha untuk meluaskannya mesti digiatkan lagi.

Puan Norliza mengatakan bahawa penghargaan yang diberikan oleh DBP dalam program sebegini merupakan kali pertama bagi beliau dalam mendendangan puisi tradisional kepada khalayak umum.

Puan Norliza Md Yamin, penerima Anugerah Ikon Guru Seni Persembahan KPM 2024.

Ujarnya,

Sambutan yang diberikan oleh penganjur dan khalayak memberikan saya semangat untuk terus berusaha melestarikan seni persembahan warisan kita, khususnya dalam sastera tradisional yang unik dan memiliki keistimewaan tersendiri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.