Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 jelas menunjukkan bahawa kesungguhan dan tekad untuk menghasilkan penulisan merupakan tanggungjawab rakyat bernegara.
Demikian ulasan ahli panel pertama dalam program Diskusi Buku yang berjudul Mat Indera antara Identiti dan Ideologi, iaitu YBrs. Dr. Muhaimin Sulam yang merangkap penulis buku dan Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya penulis dan pembaca tidak meraikan usaha yang mempunyai rantaian yang cukup dinamik dalam memperkukuh industri buku negara, PBAKL tidak mungkin dapat direalisasikan dengan cemerlang.
Sebenarnya, penerbit, pengedar, penulis, promoter, pembaca dan pelbagai ejen yang berada dalam lingkaran industri ini telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Dalam sesi diskusi itu, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam menyatakan bahawa kolaborasi beliau dalam penerbitan buku tersebut bersama-sama Gerakbudaya merupakan satu usaha untuk meraikan naratif sejarah dari pelbagai sudut, sumber dan khazanah kepustakaan.
Menerusi cara ini, kita telah menjadikan naratif sejarah terus hidup dan menjadi pendorong kepada penulisan sejarah yang seterusnya.
Sementara itu, ahli panel kedua, iaitu YBrs. Dr. Mohamed Hadi AH pula berpandangan bahawa sosok Mat Indera yang dipugar dan dikaji oleh penulis ini merupakan usaha untuk meneliti sejarah dalam kalangan pejuang yang disebut sebagai haluan kiri.
Jelas beliau, Mat Indera telah menggemparkan naratif sejarah di negara ini apabila menyebabkan pakar sejarah turut terheret dalam mahkamah apabila salah seorang menteri pada ketika itu membangkitkan bahawa Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.
Rentetan daripada peristiwa inilah, beliau melihat titik tolak naratif sejarah di Malaysia memerlukan anjakan paradigma bagi meneliti tafsiran sejarah seiring dengan sumber yang boleh menyokong naratif sejarah itu sendiri.
Tegas beliau, pejuang kemerdekaan tidaklah semata-mata dalam kalangan tokoh yang berada di meja perundingan penjajah sahaja.
Yang turut hadir dalam program berkenaan termasukah Encik Chong Ton Sin atau lebih dikenali sebagai Pak Chong dari Gerakbudaya.