Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2023 diilhamkan oleh YB Fadlina Sidek, iaitu Menteri Pendidikan Malaysia sebagai langkah pemerkasaan sektor pendidikan negara bagi mempersiapkannya agar ‘kalis’ masa depan. Tujuh Teras Keunggulan ini juga menyumbang kepada pemerkasaan sistem pendidikan negara yang melibatkan inisiatif, program dan dasar yang dilaksanakan untuk mereformasikan sistem pendidikan kita.”
Demikian menurut YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ketika berkongsi maklumat dalam program bual bicara Buku Laporan Pencapaian 7 Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023, yang diadakan di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada pukul 10.00 pagi tadi.
Menurut beliau, buku setebal 211 halaman ini merupakan aspirasi kepada KPM yang diumumkan oleh YB Fadlina Sidek pada 22 Disember 2022. Mulai 2023, tujuh teras ini menjadi fokus kepada KPM untuk memastikan proses mentransliterasikan dan mereformasikan pendidikan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak didik dan masyarakat dapat dicapai.
Menurut beliau;
Tujuh teras nadi keunggulan ini berpaksikan hasrat kita untuk memastikan bahawa murid-murid kita ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan akhirnya negara kita sejahtera.
Tambahnya;
Tujuh teras keunggulan ini kita terjemahkan dalam pelbagai inisiatif, program dan juga dasar untuk memastikan pendidikan manusiawi yang dihasratkan dan yang disasarkan kepada seluruh anak-anak didik kita di seluruh negara akan dapat direalisasikan.
Kita berikan kesamarataan dari segi akses pendidikan kepada anak-anak. Ini juga sejajar dengan hasrat dan aspirasi negara melalui kepimpinan MADANI pada hari ini yang mana pada akhirnya kita mahukan anak-anak didik kita ini seimbang dan holistik sifatnya serta selari dengan hasrat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Begitu juga dengan gerak kerja Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mempunyai tujuan yang sama seperti yang dihasratkan oleh KPM.
Beliau menambah, tujuh teras dalam mereformasikan pendidikan adalah seperti yang berikut:
Teras 1: Menjadikan komunikasi antara kementerian dengan sekolah lebih cekap dan telus.
Teras 2: Memberikan penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integirti.
Teras 3: Memberikan perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40.
Teras 4: Memberikan penekanan kepada keciciran pendidikan serta masalah literasi dan imunisasi.
Teras 5: Memberikan fokus kepada kebajikan guru yang merupakan teras utama keberkesanan pencapaian pendidikan.
Teras 6: Memberikan tumpuan kepada usaha ubah suai dan naik taraf bangunan sekolah yang daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Teras 7: Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.
Sementara itu, menurut Encik Mohd Haiqal Abdullah Chik (pempengaruh didik KPM) pula, pelibatan ibu bapa dan komuniti sepanjang tahun lalu dalam program yang diadakan di sekolahnya yang sangat proaktif dari segi fizikal dan maya turut menyumbang dalam pencapaian teras nadi keunggulan KPM.
Tambah beliau, dari segi fizikal, semakin banyak ibu bapa yang turut sama menyertai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti gotong-royong MADANI. Semakin banyak juga anggota komuniti yang sanggup menghulurkan bantuan kepada pihak sekolah dalam bentuk kewangan dan tenaga.
Selain itu, dari segi maya pula ibu bapa dan komuniti berperanan dalam membantu KPM dengan cara menghebahkan tujuh teras KPM ini melalui media sosial mereka seperti menerusi aplikasi WhatsApp.
Jelas beliau;
Komitmen dan pelibatan yang proaktif inilah yang melonjakkan dan membantu tujuh teras insiatif KPM ini.
Sementara itu, tambah Encik Stephen Isaac yang juga merupakan pempengaruh didik KPM, pencapaian yang paling signifikan KPM adalah dari segi kebajikan guru, iaitu dalam Teras Kelima. Ujar beliau;
Aspek ‘mengurangkan beban guru’ , iaitu inisiatifnya ialah tujuh langkah kesejahteraan guru termasuklah mengurangkan majlis atau aktiviti sekolah yang tidak memberikan impak kepada guru dan murid.
Selepas bual bicara tersebut, Majlis Peluncuran Buku Laporan Pencapaian 7 Teras Nadi Keunggulan KPM Tahun 2023 disempurnakan oleh YB Wong Kah Who, Timbalan Menteri Pendidikan.
Yang turut hadir dalam majlis bual bicara dan peluncuran ini ialah Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Encik Zainal Abas yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), para tetamu kehormat, para jemputan, staf KPM dan para pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.