Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Pendekatan baharu yang diharapkan dapat dilaksanakan pada masa hadapan akan dapat melihat peranan Askar Wataniah dimartabatkan dan diperluaskan lagi bukan sahaja sebagai barisan kedua pertahanan negara, malah sebagai instrumen terhadap pertahanan komprehensif melalui pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WoGoS).
Mengimbas kembali perjalanan Askar Wataniah dalam menelusuri detik hampir tujuh dekad semenjak ditubuhkan pada tahun 1958 seharusnya memberikan pengajaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta bukan hanya terletak di bahu angkatan tetap tentera semata-mata.
“Tugas dan tanggungjawab ini merupakan agenda bersama yang menuntut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kementerian, pihak swasta, profesion, tahap pencapaian akademik, kaum, agama atau sebarang latar belakang dalam mencapai satu matlamat di bawah pertahanan komprehensif. Dalam erti kata lain, cogan kata “Everyone has part to play” perlu dibentuk di minda merentasi batas kepelbagaian yang sedia wujud dalam kalangan rakyat dan masyarakat di negara ini.”
Demikian titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli Khas bersempena dengan Hari Ulang Tahun Rejimen Askar Wataniah Yang Ke-66 pada tahun ini di sekitar Kg. Behor Mempelam, Arau.
Berangkat sama dalam program tersebut ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Program Kayuhan ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang turut disertai oleh ketua-ketua agensi Negeri dan Persekutuan bagi mengenal pasti masalah golongan yang kurang bernasib baik serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik baik untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf yang terpilih pada edisi kali ini.
Puan Sharidah Mustafa, 70 tahun, dan Encik Chik Mat Isa, 66 tahun, dari Kampung Telaga Haji Latif dan Encik Hasnizam Abdul Hamid, 43 tahun, dari Kampung Teluk telah menerima wang tunai RM700.00, Kits MAIPs Peduli, serta dua kampit beras Fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa mengadakan lawatan ke BB Homestay Arau yang menawarkan tiga buah rumah inap berkembar buat pelanggan yang ingin bersendirian tanpa gangguan atau privacy. Rumah inap ini turut dilengkapi dengan kolam renang kanak-kanak dan menjadi antara faktor tarikan buat pengunjung yang berkeluarga.