Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak dijalankan bermula pada awal Januari tahun ini boleh menjadi lebih meriah jika lebih banyak kemudahan dapat disediakan untuk menerima kunjungan para peminat motosikal berkuasa tinggi untuk singgah di negeri ini.
“Cukup banyak penunggang dari Malaysia dan Singapura menghala ke Thailand secara santai dan begitu juga sebaliknya pada setiap minggu. Antara kemudahan asas yang diperlukan termasuklah tempat parkir yang selamat, mekanik berkeupayaan yang menerima pelanggan 24 jam, serta memiliki stok alat ganti asas yang mencukupi dan sebagainya.”
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sekumpulan delegasi pemilik motosikal berkuasa tinggi dari ibu negara di Pekarangan Dataran Istiadat Istana Arau.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Saudara sepupu Baginda, Tengku Ariez Hazaril Tengku Abdul Halim yang mengetuai rombongan tersebut menyembah maklum kepada Tuanku Pemangku Raja bahawa rakan-rakan beliau yang mewakili beberapa buah kelab berada di Perlis untuk mengadakan lawatan tinjauan kerana mereka berhasrat untuk menganjurkan satu konvoi secara besar-besaran pada tahun hadapan ke negeri ini.
Antaranya termasuklah Malayan Motorcycle Club, Petaling Jaya HOG Chapter, BadDad MG, Southsiders MC Malaya, Sandugo.MC dan beberapa kelab lain.
Jika perkara ini menjadi realiti, dijangkakan sebanyak 300 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan beberapa buah negeri lain akan bertandang ke Perlis kelak.
Ketika di Perlis, beliau dan kumpulan daripada 28 buah motosikal jenama Harley Davidson tersebut tidak melepaskan peluang untuk melawat Galeri DiRaja Arau, membeli-belah di Padang Besar, melihat keunikan Program Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis, serta beberapa lagi lokasi tumpuan utama pelancongan lain di negeri ini.
Tambah beliau lagi, Perlis yang kian menerima kunjungan para pelancong dari dalam mahupun luar negeri serta keunikannya serta makanannya enak dengan harga berpatutan merupakan antara faktor mereka memilih untuk konvoi mereka nanti.