2 Jun 2024, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melabuhkan tirainya pada malam ini setelah berlangsung selama 10 hari, iaitu bermula dari 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024.

PBAKL kali ke-41 pada tahun ini menghimpunkan 226 pempamer dalam kalangan pemain industri buku. Yang lebih menarik ialah jumlah pengunjung PBAKL 2024 telah mencatatkan pengunjung yang paling banyak dalam sejarah, iaitu 1.8 juta orang berbanding dengan tahun 2023, iaitu sebanyak 1.5 juta pengunjung.

YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dalam ucapan perasmian penutupan PBAKL 2024 pada malam ini berkata bahawa penganjuran PBAKL ini diadakan bertujuan untuk terus mengembangkan tabiat membaca masyarakat menerusi pelbagai medium yang merancakkan lagi industri buku negara.

Beliau juga berkata bahawa kerjasama daripada pelbagai pihak yang menjayakan pesta buku ini diharap akan dapat terus menjadi medan khususnya untuk kecerdasan bangsa kerana bangsa Malaysia bangsa membaca, bangsa membaca bangsa berjaya.

Sementara itu, berkenaan dengan baucar buku pula, beliau menjelaskan;

Baucar buku disalurkan secara digital menerusi sistem aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital, dan masyarakat tidak perlu bimbang kerana pemberian baucar ini  berlangsung hingga hujung tahun ini. Masih banyak lagi masa untuk menebus baucar ini. Penggunaan sepenuhnya pemberian baucar buku menerusi aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital ini bertujuan untuk memastikan ketelusan penyaluran dan penggunaan, dan untuk menangani ketirisan sebarang kelemahan baucar fizikal.

Tambah beliau;

Kita juga hendak memastikan bahawa pemilihan tajuk-tajuk buku yang telah dinyatakan dalam pilihan buku yang bersasar yang diberikan di bawah judul MADANI termasuklah buku-buku Sasterawan Negara dan juga buku-buku yang berkaitan dengan teknologi.

Beliau turut menjelaskan bahawa;

Data baucar buku MADANI setakat 2 Jun 2024 menunjukkan bahawa penebusan baucar oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) termasuklah oleh anak-anak, cikgu-cikgu, pegawai-pegawai khususnya IPG (Institut Pendidikan Guru) berjumlah 56 466, KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) sebanyak 50 000 dan secara keseluruhannya berjumlah lebih 100 000. Jumlah buku terjual pula sebanyak 122 759 buah dan dengan nilai keseluruhannya berjumlah hampir RM600,000.00.

Menurut YB Fadhlina Sidek lagi, tiga kategori tertinggi buku yang dibeli menggunakan baucar ialah buku pendidikan, buku akademik, buku umum dan yang keempat ialah buku daripada Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Terdahulu, Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2024 dalam ucapan alu-aluannya turut berterima kasih kepada YB Fadhlina Sidek atas dorongan dan dukungan beliau terhadap KPM terutamanya atas pemberian baucar buku baru-baru ini yang memberikan manfaat kepada pelajar darjah empat sehingga pelajar menengah atas dan penuntut institusi pendidikan tinggi, serta institut pendidikan guru.

Pada majlis itu juga diadakan acara penyampaian hadiah kepada lima pemenang reruai yang dipertandingkan. Lima kategori ini ialah reruai yang paling tular (viral), reruai naik taraf (upgraded) terbaik, reruai yang paling kreatif dan inovatif, reruai standard terbaik dan reruai yang paling mesra pengunjung.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur; YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM); YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); para pegawai kanan kerajaan, para pempamer dan para pengunjung PBAKL 2024.

Pemenang lima kategori reruai yang dipertandingkan bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan hadiah masing-masing.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.