5 Jun 2024, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai berkenan merasmikan Majlis Pembukaan AI Summer Camp 09-University Tour di Kangar, semalam.

Kuala Lumpur – Perkembangan akses kepada teknologi yang kian meluas membuka peluang orang ramai, khususnya mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran dan potensi diri.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,

Mahasiswa dan mahasiswi lepasan universiti juga tidak terkecuali mengambil peluang untuk mendalami ilmu kemahiran baharu dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sememangnya didampingi penggunaan teknologi.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar program sebegini dapat melahirkan lebih ramai generasi yang berdaya saing dalam teknologi AI.

 

Titah baginda,

Jadilah insan yang membawa kebaikan kepada orang lain.

Semoga ilmu, kemahiran dan pekerjaan yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk membuka ruang ke arah kemajuan dan pembangunan segenap masyarakat.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Pembukaan AI Summer Camp 09-University Tour di Kangar, semalam.

Majlis ini merupakan anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Perlis dengan kerjasama Institut Visual Informatik (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Pengerusi FCoEE, program ini dirancang eksklusif kepada anak-anak Perlis yang menuntut di universiti seluruh Malaysia dengan objektif utama untuk meningkatkan kemahiran dan kesediaan mereka selepas tamat pengajian.

Tambah beliau,

Enam modul, seperti robotik, pembangunan chatbot dan beberapa modul lain dirancang bagi membolehkan para peserta menguasai elemen kecerdasan buatan, seiring dengan keperluan pekerjaan sekarang yang turut dibantu dengan kepakaran pensyarah dari IVI dan UKM.

Sementara itu, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Penaung DiRaja FCoEE turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan menerima persembahan Buku Modul AISC dari Kamarudin.

Baginda menyeru agar ikatan kerjasama antara universiti dengan FCoEE terus kukuh untuk menjayakan inisiatif berimpak tinggi itu.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah,

Semua pihak perlu terus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu hidup dan kualiti mahasiswa yang membawa nama ‘Perlis’.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYMM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Datuk Dr. Wan Kamal Mujani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.