Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeijing – Pesta Buku Antarabangsa Beijing [Beijing International Bookfair (BIBF)] yang ke-30 yang bermula pada 19 hingga 23 Jun 2024 diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China (CNCC). BIBF dianjurkan oleh China National Publications Import and Export (Group) Co. Ltd, dengan Arab Saudi sebagai negara tamu kehormat pada tahun ini.
Penyertaan Malaysia pada tahun ini sangat signifikan dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kali ke-50 antara Malaysia dengan negara Tembok Besar tersebut.
Majlis pelancaran Pavilion Malaysia yang bertemakan “Persamaan dalam Perbezaan” (Similarity in Diversity) dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan 1, YB Wong Kah Woh. Pavilion Malaysia dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku.
Pada majlis yang sama, MBKM yang merupakan urus setia bagi delegasi Malaysia di BIBF ini turut melancarkan 50 Judul Buku Terbaik Malaysia untuk Hak Cipta Antarabangsa 2024 (50 Best Malaysian Titles for International Rights 2024) yang sedia menembusi pasaran China.
Dalam acara tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mempertaruhkan judul buku terpilih, iaitu Siri Buku Mila, Glasier Rumahku, Ribut di Padang Pasir, Arkeologi Maritimdi Malaysia dan Asia Tenggara, Bahasa Melayu Abad ke-17, Sistem Pensijilan Halal di Malaysia dan Hikayat Hang Tuah Manuskrip Terawal Tahun 1758.
Delegasi Malaysia diketuai YB Timbalan Menteri Pendidikan 1 dan disertai oleh 60 orang dan 25 buah syarikat Malaysia. Ini antara delegasi terbanyak dalam penyertaan Malaysia di pesta buku antarabangsa.
Semalam juga termeterai beberapa usaha sama projek antara pihak Malaysia dengan China. Industri penerbitan buku dijangka cerah berikutan negara mempunyai hubungan politik yang baik antara Malaysia dengan China.