Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sikap memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.
Mereka mempunyai sikap sangat selesa dengan bahasa Inggeris dan tidak ada rasa perlu untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik apabila penguasaan bahasa Inggeris sudah tercapai. Tidak ada rasa desakan, malu dan keinginan untuk menguasai bahasa kebangsaan tetapi wujud desakan, tekanan, keinginan untuk menguasai bahasa Inggeris dan untuk memperlihatkan diri mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Demikian antara inti pati pembentangan oleh YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang berjudul “Menjejak Ceritera Bahasa: Masihkan Bernyala Semangat Memartabatkan Bahasa Kebangsaan”.
Kertas kerja dalam skop bahasa itu dibentangkan dalam Sidang Pleno 1, Seminar Aspirasi Wanita MADANI (ASWANI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka yang berlangsung hari ini.
Tambah beliau lagi, “Sikap hanya mahu menguasai bahasa Inggeris berlaku dalam segenap lapisan masyarakat sehingga meminggirkan unsur ketinggian nilai bahasa kebangsaan di Malaysia. Hal ini termasuklah melibatkan orang Melayu sendiri yang bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda”.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Indonesia berasa bangga dengan bahasa kebangsaan mereka sendiri, sebaliknya rakyat Malaysia tidak seperti itu. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak mempunyai rasa cinta dan kasih akan bahasa ibunda.
Selain itu, dalam seminar tersebut YBhg. Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman turut membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk, “Seribu Satu Kisah dalam Karya Sastera yang Mengangkat Darjat Wanita”.
Menurut beliau, istilah “mengangkat darjat wanita” merujuk suatu proses untuk mempertingkatkan kedudukan atau taraf wanita pada sudut pandang mata masyarakat. Proses ini melibatkan pelbagai saluran seperti pendidikan, kesedaran, literasi dan latihan.
Dalam konteks wanita MADANI, pihak kerajaan mempunyai wawasan dan iltizam untuk melibatkan penyertaan dan sumbangan kaum wanita dalam masyarakat Malaysia. Masyarakat MADANI merupakan masyarakat yang beradab, maju dari segi pemikiran, kerohanian dan material dengan menyemai nilai murni seperti semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Tambah beliau, usaha ini memberikan peluang kepada kaum wanita untuk melengkapkan diri dan membolehkan mereka membuat keputusan dalam menentukan kehidupan untuk menghadapi pelbagai permasalahan dalam masyarakat.
Dalam konteks sastera pula, bidang ini dijadikan sebagai satu wadah atau wasilah untuk membentuk wanita unggul dalam masyarakat. Sastera berupaya menjadi wasilah untuk menyemai nilai positif ke arah membentuk wanita unggul. Karya sastera ialah hasil semaian pengarang untuk menyalurkan idea atau pemikiran tentang wanita unggul.
Dalam pada itu, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin pada penghujung pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk, “Peranan Wanita dalam Meningkatkan Kualiti Pendidikan Negara” berkongsi dapatan kajian bahawa 72 peratus daripada pendidik ialah wanita. Beliau menekankan peranan wanita dalam pendidikan sebagai pendidik dan pemegang taruh.
Sidang Pleno 1 yang mempunyai lima skop, iaitu bahasa, sastera, budaya, pendidikan dan undang-undang telah dipengerusikan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan.
Yang turut membentangkan kertas kerja dalam sidang tersebut ialah YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh.