31 Julai 2024, 18:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 24 Julai lalu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak telah mengisytiharkan Deklarasi Gombak Mengenai Kesucian dan Nilai Hidup Manusia dalam Konteks Genosid. Pengisytiharan itu dilakukan bersempena dengan Persidangan Kesucian dan Nilai Hidup Manusia anjuran Institut Tamadun dan Pemikiran Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) bertempat di kampus UIAM di Gombak.

Persidangan yang menghasilkan Deklarasi Gombak tersebut wajar diperhatikan dari sudut Malaysia dalam usaha menyatukan komuniti global, masyarakat dan organisasi dalam pendirian kolektif kita menentang pembunuhan beramai-ramai sambil menekankan kepentingan hidup manusia.

Hari bersejarah itu telah mengumpul kira-kira 300 orang peserta dari kedutaan asing (duta dan wakil-wakil duta) badan bukan kerajaan (NGO), agensi dan jabatan kerajaan, ahli akademik dari dalam dan luar negara, ahli Parlimen serta pelajar universiti. Hal ini menandakan bahawa kesatuan masyarakat dan organisasi yang dipimpin oleh ISTAC-IIUM sedang berusaha gigih ke arah menghapuskan genosid kerana inilah satu-satunya persidangan yang diusahakan di Malaysia, anjuran sebuah universiti dengan kerjasama dan sokongan NGO.

ISTAC-IIUM dan CENTHRA menegaskan bahawa sudah tiba masanya masyarakat sivil dan universiti di Malaysia secara kolektif mengambil langkah dengan menyedarkan masyarakat dunia, sekaligus menghentikan tindakan di luar batas kemanusiaan yang membunuh manusia dalam konteks genosid. Langkah ISTAC-IIUM dan CENTHRA tersebut bertujuan untuk memulakan proses melalui pelbagai saluran dengan mengisytiharkan genosid sebagai satu jenayah apabila penjenayah atau pelaku genosid mesti membayar ganti rugi bagi setiap manusia yang dibunuh.

Rasional di sebalik persidangan melalui Deklarasi Gombak ini ialah keupayaan kita dalam mendalami asas falsafah, agama dan etika yang menyokong kesucian dan nilai hidup manusia. Ahli panel yang terdiri daripada 16 orang aktivis dan sarjana bidang kemanusiaan, pakar peperangan, undang-undang dan media memberikan pandangan dan perkara yang sewajarnya dilakukan untuk menetapkan bahawa genosid merupakan satu jenayah yang tidak dapat diterima akal dan mesti diberhentikan segera.

Mereka bersepakat mengenai pendirian tradisi dan agama masing-masing, persepsi kehidupan manusia dalam tempoh perang dan konflik bersenjata dengan merangka peraturan dan undang-undang dalam usaha melaksanakan pampasan kepada mangsa dan keluarga terbabit. Persidangan dan Deklarasi ini bertujuan untuk mengingatkan pihak yang melalukan genosid bahawa mereka akan dikenakan membayar pampasan bagi setiap mangsa.

Persidangan dan Deklarasi Gombak ini, dicetuskan oleh malapetaka yang berlaku di Gaza, selain tindakan genosid di negara lain seperti Myanmmar, India, China, Rwanda dan Bosnia. Penyerlahan krisis kemanusiaan itu mendesak pihak penganjur melakarkan satu kerangka antarabangsa yang mampu mengukuhkan kesucian dan nilai hidup manusia.

Walaupun genosid bukan perkara baharu dalam masyarakat dan sejarah manusia, hal ini menuntut dialog, anjakan kesedaran dan tindakan baharu kerana peristiwa yang telah dan akan berlaku bertitik tolak daripada perbuatan “menyingkirkan” manusia daripada status dan kewujudan kemanusiaan itu. Apabila seorang atau sekelompok manusia dinyahkan, maka pembunuhan itu akan berlaku dengan lebih mudah.

Pembunuh yang terdiri daripada tentera Israel, misalnya melihat orang Palestin sebagai “bukan manusia”, tetapi sebagai “manusia haiwan”  ini dipelopori oleh media antarabangsa. Liputan media antarabangsa seperti CNN dan BBC, melihat kematian orang Palestin sebagai tidak sama dengan kematian orang Israel, Eropah atau Amerika. Media Barat menganggap orang Palestin sebagai manusia yang tidak ada negara.

Dalam konteks ini, nilai hidup manusia diberikan keutamaan oleh semua negara. Semua kerajaan mesti memberikan nilai kepada semua warganegara mereka, tidak kira sama ada mereka terdiri daripada golongan majoriti atau minoriti. Perlakuan genosid oleh mana-mana pihak pada abad ke-21 merupakan satu malapetaka yang besar kepada manusia. Jika kita megah dengan kemajuan diri kita dalam meneroka teknologi, maka jelaslah perkara ini dilakukan tanpa adanya nilai kemanusiaan.

Oleh hal yang demikian, Deklarasi Gombak yang diisytiharkan ini memuatkan sembilan deklarasi seperti berikut:

Deklarasi 1

Nilai hidup manusia tidak boleh diukur dan intrinsik kepada setiap individu, iaitu tidak kira dari segi bangsa, etnik, agama, gender atau ciri -ciri lain.

Deklarasi 2

Nilai hidup manusia tidak boleh dikira berdasarkan pada pertimbangan ekonomi atau utilitarian, tetapi berdasarkan pada harga yang ada pada setiap manusia, yakni tidak ternilai dan tidak boleh disangkal.

Deklarasi 3

Semua negara dan pelaku yang berkaitan mesti mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi dan menegakkan hak untuk hidup kepada semua individu dalam bidang kuasa mereka dengan menentukan bahawa digniti setiap individual tidak boleh dikompromikan.

Deklarasi 4

Mana-mana tindakan yang mengugut atau mencabuli hak untuk hidup melalui genosid dan lain-lain tindakan kekejaman yang serupa, mesti dikutuk sehabis-habisnya dan dihukum dengan setimpal seperti yang dibenarkan dalam undang-undang antarabangsa.

Deklarasi 5

Masyarakat antarabangsa perlu bersama-sama berusaha untuk membanteras dan bertindak balas kepada keadaan yang memperlihatkan nilai hidup manusia tidak diendahkan menurut prinsip hak asasi yang termaktub dan diperuntukkan dalam undang-undang antarabangsa.

Deklarasi 6

Impak genosid menyebabkan kehakisan sosioekonomi, kehilangan tempat tinggal dan trauma psikologi yang berpanjangan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu digesa segera untuk mempertingkatkan kerangka undang-undang antarabangsa mengenai genosid dengan mengguna pakai dan memasukkan bahagian “Kos Genosid” sebagai yang termaktub dalam lampiran deklarasi ini yang akan berperanan sebagai pencegahan berkesan dalam menentang perlakuan, menyokong dan promosi genosid.

Deklarasi 7

Semua negara mesti melaksanakan inisiatif pendidikan dan peningkatan kesedaran yang berkesan dalam memupuk satu budaya yang menghormati kehidupan manusia, mencegah perbuatan menghapuskan manusia terhadap individu serta menggalakkan keamanan mapan.

Deklarasi 8

Memperakui kepentingan tindakan kolektif dan solidariti dalam kalangan negara masyarakat sivil dan pertubuhan antarabangsa untuk membentuk dunia yang menjunjung nilai digniti manusia agar ditegakkan dan kesucian kehidupan yang tidak dapat disangkal.

Deklarasi 9

Menyeru semua negara mengesahkan iltizam mereka untuk menegakkan prinsip-prinsip yang disuarakan dalam deklarasi ini dan mempertingkatkan kerjasama dalam usaha mencegah dan bertindak balas terhadap tindakan kekejaman dan genosid.

Antara tokoh yang berucap pada Persidangan itu ialah Advokat Anti-Zionis Rabbi Yisroel, Dovid Weiss dari pertubuhan Neturei Karta; Prof. Datuk Abdelaziz Berghout, ISTAC-IIUM; Rev. Dr. Chong Siaw Fung, Seminari Theologi Malaysia yang merupakan calon Hadiah Nobel Keamanan Dunia 2024, aktivis dan sarjana, Dr. Maung Zarni dan Madam Mairead Mcquire; Pemenang Nobel Keamanan 1976, Prof Jeffrey Sach dari Columbia University; Dato’ Dr. Ahmad Faizal Perdaus, Mercy Malaysia; Fatma Al Ghusain, AMNA Care Fund; Rula Shadid, Palestine Institute for Public Diplomacy; Prof. Mohd Mizan Mohammad Aslam, Univeriti Pertahanan Kebangsaan Malaysia;  Prof. Mohammad Naqib Eishan Jan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Dato’ Badilsyah Abdul Ghani dan Encik Romil Shamsudin, CENTHRA serta Prof. Dato’ Ahmad Murad Merican, ISTAC-IIUM.

Dua orang panel forum yang masing-masing memberikan pandangan daripada agama Hindu dan Buddha ialah Prof. Suresh Govindhon, Universiti Malaya dan A.K. Nelson Sammie dari Sri Lanka Buddhist Temple. Rektor UIAM, Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak dalam kata alu- aluannya menyentuh tentang pengeboman di Hiroshima yang membabitkan bapa beliau Abdul Razak Abdul Hamid, iaitu satu-satunya mangsa tragedi pengeboman itu yang terselamat pada tahun 1945. Ucap utama pada persidangan itu disampaikan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Hasil persidangan tersebut turut merangkumi deklarasi dan prosiding yang akan disebarluaskan dan dimurnikan, serta dibawa ke pelbagai peringkat antarabangsa melalui pelbagai saluran dan mekanisme yang ada.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) perlu bertindak secara adil dan bertanggungjawab dalam usaha membela mangsa genosid.

Jika dibawa ke peringkat antarabangsa, Deklarasi Gombak mempunyai potensi untuk menganjak dan mengubah kesedaran dunia dalam usaha membanteras genosid dengan mewujudkan peruntukan dan pelaksanaan pampasan oleh pihak pelaku. Kini, tidak kira di mana-mana pun genosid berlaku, mangsanya ialah jiran kita. Teknologi Internet telah membolehkan imej yang tidak terungkap itu mendekatkan kita terhadap kelakuan genosid yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Kita menjadi saksi kepada angkara tipisnya nilai kemanusiaan dan tidak dapat mengelakkan diri daripada menjadi saksi ke atas malapetaka yang menimpa jiran kita itu.

Dunia memerlukan satu piagam baharu mengenai kesucian dan nilai hidup manusia dalam konteks genosid. Pada dasawarsa yang mendatang, kita dapat ramalkan kelenturan doktrin “hak asasi manusia” yang dipiagamkan oleh PBB pada tahun 1948 yang merupakan respons kepada malapetaka yang berlaku di Eropah seperti yang kita saksikan sejak Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua serta proses pembebasan politik negara dan masyarakat yang terjajah.

Setelah 76 tahun genosid bermaharajalela, dunia memerlukan sebuah piagam baharu untuk menjamin kesucian dan nilai hidup manusia.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican ialah Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Tamadun dan Pemikiran Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) dan Romil Shamsudin ialah Pengarah Advokasi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.