Oleh Asrar Ab Latif
3 Ogos 2024, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan – “Antara objektif penganjuran sayembara pada kali ini termasuklah meneguhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi pengucapan puisi bertemakan patriotik, memandangkan aura sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kian hampir.” Demikian ucapan Ketua Satu Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), YBhg. Profesor Dr. Haji Harun Pudin, di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian Labuan.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang sentiasa proaktif sebagai rakan sinergi dalam penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) pada kali ini.

Ketua Satu PERWILA, YBhg. Profesor Dr. Haji Harun Pudin sewaktu menyampaikan ucapan.

Selain itu, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, yang mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, turut menyatakan harapan agar semua pihak terus optimis dalam usaha memperkasakan bidang bahasa dan sastera. Perkara tersebut penting supaya usaha berkenaan lebih menyerlah dan memberikan manfaat yang besar kepada pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini juga selaras dengan pemerkasaan budaya berteraskan nilai dan etika yang ditekankan melalui gagasan Malaysia MADANI.

Sebagai badan yang berwibawa dalam pemartabatan bahasa dan sastera, DBP sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam meneguhkan lagi peranan kami. Sudah tentu kami tidak mampu bergerak sendiri dan komitmen yang diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan seperti PERWILA dalam menyemarakkan kegiatan kebahasaan dan persuratan di wilayah ini sewajarnya diberikan pujian.

Demikian ucapan Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah yang mewakili Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah sewaktu merasmikan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38, Peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Timbalan Pengarah I, DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, sewaktu merasmikan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Peringkat WP Labuan.

Puan Jennitah Noordin juga turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Johan SDPK dirangkul oleh Nur Syahiera Haji Shuib yang memenangi wang tunai bernilai RM1,000.00, sijil penghargaan dan piala pusingan. Naib johan dinobatkan kepada Sani La Bise yang membawa pulang wang tunai bernilai RM700.00 dan sijil penghargaan. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Shaelayani Mohd Hasli yang memenangi wang tunai berjumlah RM500.00 dan sijil penghargaan.

Para Pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38, Peringkat WP Labuan.

Penerima sagu hati ialah Noor Shakira Mohd Hasli, Suna Zaris Sofieh Haji Yusup dan Norshafika Azlin Mohd Hasli, iaitu masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM200.00 dan sijil penyertaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.