Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Antara ciri-ciri buku umum yang berkualiti ialah buku yang mempunyai kandungan yang jelas, relevan, berwibawa, mampu mengikat pembaca dan mempunyai struktur yang baik.”
Demikian antara isi ceramah oleh Prof. Dr. Roosfa Hashim, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Bengkel Pemurnian Manuskrip Buku Umum 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 14 dan 15 Ogos 2024, bertempat di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memurnikan manuskrip buku umum yang telah diperoleh dalam Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Umum pada tahun 2023 dalam usaha memperbanyak penerbitan buku umum terutamanya dalam kalangan penulis Sabah.

Seramai lapan orang penulis telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, IPG Kampus Kent, IPG Kampus Gaya, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kota Kinabalu dan beberapa orang penulis luar.
Bimbingan secara tuntas oleh pembimbing berjaya membantu penulis untuk mengembangkan lagi idea dalam penulisan manuskrip masing-masing.
Turut hadir dalam bengkel ini ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar yang telah menyampaikan sijil kepada pembimbing dan peserta dalam majlis penutupan secara ringkas.
