Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Semangat jiwa merdeka dalam kalangan rakyat Malaysia telah menggegarkan Dataran Putrajaya dengan kehadiran lebih 100 ribu orang dalam sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang ke-67 pada pagi ini.
Tema sambutan pada tahun ini ialah “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” memperlihatkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia apabila mereka sanggup hadir ke dataran seawal jam tiga pagi, malah ada yang “berkampung” sejak malam tadi demi melihat persembahan dan perarakan acara tahunan ini.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah buat kali pertama selepas Seri Paduka Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Seri Paduka Baginda menerima Tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terdiri daripada empat orang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri Senan dan lintas hormat daripada lima pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Pentas Diraja pada pukul 7.55 pagi bagi menyaksikan perarakan serta persembahan sempena sambutan tahun ini.
Sambutan kemuncak menampilkan acara perbarisan dan perarakan yang melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Kelainan sambutan pada kali ini yang ditonjolkan ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Kontinjen itu menampilkan alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat seperti kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau.
Seperti biasa, kekuatan aset pelbagai agensi seperti ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
Buat julung kali, perbarisan PDRM diketuai oleh Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain sekali gus menjadi satu kebanggaan kepada warga PDRM atas kesudian pucuk pimpinan tertinggi turun padang bagi bersama-sama menjayakan perarakan tahun ini.
Persembahan tarian bertajuk “Cuci Rasuah” turut dipersembahkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membanteras gejala rasuah.
Barisan Menteri Kabinet seperti Menteri Kesihatan, Menteri Komunikasi dan Menteri Pendidikan turut hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.
Sambutan hari kebangsaan turut berlangsung di seluruh negara dalam usaha menyemarakkan semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia sempena dengan ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara.