Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBagaikan suatu pukulan apabila British dan Belanda mengenakan hentakan ke atas peta kepulauan Melayu yang menjadi sebab kepada wujudnya satu belahan di wilayah ini pada tahun 1824. Kawasan ke Utara Singapura menjadi lingkungan geografi buat British manakala kawasan dari Selatan Singapura berada di bawah penguasaan Belanda. Itulah hasil kerja dua watak penjajah yang telah memperlakukan Kepulauan Melayu tanpa restu peribumi melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac yang ditandatangani pada 200 tahun lalu. Mangsa utama jenayah imperialisme ini ialah Kerajaan Johor-Riau-Lingga yang akhirnya terpecah-pecah menjadi kawasan berasingan antara satu sama lain. Barangkali sesiapa sahaja yang membaca tulisan ini bakal terusik untuk bertanya, apakah perlunya kita melihat peristiwa ini? Bukankah sejarah yang tercatat itu tidak boleh berubah? Ada kewajarannya persoalan itu, tetapi percayalah bahawa dengan merenungi kembali catatan tawarikh ini kita akan fahami banyak hal yang masih relevan untuk difikirkan dan disaksikan sehingga kini.
Perjanjian Inggeris-Belanda ini juga disebut sebagai Perjanjian London yang melibatkan George Canning (Setiausaha Pejabat Luar) serta Charles Williams-Wynn (Presiden Lembaga Kawalan) yang mewakili Britain dan Hendrik Fagel (Duta Belanda ke London) serta Anton Reinhard Falck (Pegawai Diplomat) sebagai wakil Belanda. Kandungan perjanjian berkenaan masih tersimpan di The National Archives di Kew, London, dengan kod FO 93/46/17. FO di sini bermaksud Foreign Office kerana perjanjian itu dimeterai di Pejabat Luar Pentadbiran British tersebut. Secara retrospektif, artikel perjanjian sebanyak 18 halaman itu telah mencorakkan satu lingkungan pengaruh oleh dua kolonial Barat di Kepulauan Melayu pada babak-babak awal imperialisme baharu. Imperialisme baharu itu sendiri merupakan satu idea penjajahan dengan bermotifkan penguasaan ekonomi yang membolehkan perolehan kekayaan disalurkan dari tanah jajahan ke negara ibunda melalui syarikat dagang.
Dari ruang garis yang telah tercoret di kertas dan terlakar di minda, British mula menggerakkan satu-persatu buah fikirnya di papan percaturan geopolitik di rantau ini. Tanpa banyak telingkah, Negeri-Negeri Selat mulai dibentuk pada 1826 menerusi penggabungan Singapura, Melaka dan Pulau Pinang di bawah satu pentadbiran sebagai Tanah Jajahan Mahkota. Dalam garis sasar pada perjanjian 1824 itu, British dapat meletakkan pihaknya sebagai kuasa utama di lingkungan kawasan Asia Tenggara berbanding dengan kuasa Eropah lain. Laluan untuk pihak British bertapak sebagai penjajah menjadi lebih mudah merangkumi liputan kawasan perjanjian yang disusuli dengan penguasaan ke atas Sarawak oleh James Brooke pada tahun 1841 dan Labuan pada tahun 1846 sebelum tibanya Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di Sabah pada tahun 1870-an.
Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, iaitu 50 tahun selepas Perjanjian Inggeris-Belanda telah menyaksikan Perak jatuh ke genggaman British diikuti oleh Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Segala sorotan ringkas tadi memberikan gambaran bahawa British berjaya memperoleh pelbagai kawasan jajahan yang bukan sahaja penting sebagai laluan perdagangan ke China dan India, malahan berfungsi sebagai tapak perolehan bijih timah serta tapak penanaman hasil getah. Keadaan tersebut membolehkan British merencana bentuk campur tangan seperti penjelasan oleh Rupert Emerson dalam bukunya yang telah diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ke dalam bahasa Melayu pada tahun 1974 dengan tajuk, Malaysia: Satu Pengkajian dalam Pemerintahan Secara Langsung dan Tidak Langsung.
Hasrat hati hendak memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Begitulah keadaan yang dapat digambarkan ke atas masyarakat tempatan tatkala mereka cuba untuk melawan British sebagai reaksi terhadap babak-babak penjajahan. Bermula dengan kekalahan Dol Said di Naning pada tahun 1831, pejuang kemerdekaan berikutnya menerima nasib yang sama seperti Rentap di Sarawak, Datuk Maharaja Lela di Perak, Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau di Pahang serta Mat Salleh di Borneo Utara. Siri penentangan ini bukanlah satu pemberontakan seperti yang didendangkan dalam naratif kolonial dan pengikutnya, sebaliknya merupakan satu tindak balas bagi mempertahan kedaulatan. Bayangkan jika orang Melayu yang datang dan menjajah Kota Manchester, Liverpool atau London, adakah penduduk di sana akan hanya berdiam diri tanpa penentangan? Sudah tentu tidak, kerana naluri insan dan jiwa kemanusiaan tidak sesekali akan membiarkan apa-apa penindasan hak serta perampasan harga diri berlaku.
Persis sebuah kesan domino, Perjanjian Inggeris-Belanda yang lalu telah mengakibatkan peluasan kuasa dua penjajah berkenaan. Wilayah Riau, Sumatera dan Banjarmasin kemudiannya dikuasai oleh Belanda lalu menambah cengkamannya di Hindia Timur yang sebelum ini sudah pun berada di Pulau Jawa, Banda dan Makassar. British pula dengan kerakusan kapitalistiknya semakin memperkukuh kedudukan dengan mengusai Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menerusi Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Johor yang sebelum ini telah menerima pukulan imperialisme turut tidak mampu menghalang campur tangan British, khususnya selepas pelantikan Sir Douglas Campbell sebagai Penasihat Am. Biarpun wujud reaksi balas oleh Tok Janggut di Kelantan dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, tetapi British tetap berkuasa di negeri-negeri itu. Pembesar Melayu yang cuba menggunakan jalan intelektual di Johor dengan melaksanakan pemodenan pentadbiran turut diasak oleh penjajah berketurunan Anglo-Saxon yang terbabit. Walaupun usaha-usaha mereka digagalkan, setidak-tidaknya tindakan masyarakat tempatan untuk menghadang kemaraan British itu dapat mengisi sejarah kita dengan makna perjuangan melawan penjajahan.
Seperti pelanduk dua serupa, begitulah ibarat yang dapat membuat perbandingan antara Perjanjian Inggeris-Belanda dengan satu lagi rencana British, iaitu Persetujuan Sykes-Picot pada bulan Mei 1916. Jika sebelum ini sekutunya Belanda, akan tetapi pada kali ini kesepakatan yang dicapai melibatkan Perancis tatkala Perang Dunia Pertama masih berlangsung. Kepulauan Melayu telah terpisah melalui perjanjian tahun 1824, namun persetujuan dengan Perancis menyebabkan perpecahan wilayah di Timur Tengah yang merangkumi wilayah Kerajaan Uthmaniyah. Umpama sebiji tembikai, wilayah terbabit telah dibelah-belah untuk diagihkan bagi memenuhi selera kedua-dua kuasa penjajah tadi. Natijah untuk jangka masa yang panjang, perjanjian dan persetujuan yang dibandingkan itu akhirnya mengundang konflik geopolitik yang kritikal, baik di dunia Melayu mahupun di dunia Arab. Situasi sebegini membuatkan kita faham bahawa kita hidup bergelumang dengan sisa tinggalan penjajah lalu yang masih menghantui generasi kini.
Belahan di dunia Melayu kesan peristiwa pada Mac 1824 secara tidak langsung telah membentuk negara bangsa berbeza, iaitu Indonesia (1945), Malaysia (1963) di samping Singapura (1965). Secara ringkasnya, negara-negara ini datang dari wilayah yang terpisah sebelumnya dan rakyat di situ bangkit dengan semangat nasionalisme bagi membebaskan diri daripada cengkaman penjajah masing-masing biarpun terdapat perbezaan dalam kes Singapura yang dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia. Konflik geopolitik berlaku apabila Indonesia melancarkan konfrontasi ke atas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang hanya berakhir pada 1967. Daripada kes Persetujuan Sykes-Picot pula, negara-negara baharu telah terbentuk seperti Arab Saudi, Syria, Jordan, Lubnan, Iraq termasuklah penempatan haram Israel di tanah Palestin. Lebih tragik apabila perkara ini berlarutan hingga hari ini seperti yang terlihat dalam kes genosid di Gaza oleh pihak Zionis. Jelaslah bahawa legasi buruk daripada penjajah terutamanya British masih berkesinambungan dan menjadi tontonan generasi kini.
Biarpun sudah 200 tahun berlalu, garis natijah dari Perjanjian Inggeris-Belanda masih tidak sirna malahan tetap kelihatan sampai ke hari ini. Perihal mengenainya selalu menjadi pengisian dalam wacana sejarah terutamanya, sama ada di Timur mahupun di Barat. Sebagai generasi kini, apakah yang kita boleh pelajari? Pentingkah pengetahuan ini kepada kita? Sudah tentu penting kerana dengan belajar daripada sejarah, kita dapat mengurangkan risiko untuk mengulangi kesilapan individu yang hadir sebelum kita. Dalam isu ini, kita seharusnya peka dengan tindak-tanduk pihak luar tentang kedaulatan negara dan usah biarkan mereka membuat ketetapan mengikut kehendak sendiri tanpa tentangan daripada kita. Mudah bicara, jangan biarkan pisang berbuah untuk sekian kalinya.