Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan kemenangan 25 orang murid untuk lima kategori yang dipertandingkan.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang tadi.
Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI ini merupakan program anjuran Pasukan Petugas Khas Reformasi Pendidikan: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris atau lebih dikenali sebagai MBMMBI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Jabatan Pendidikan Negeri.
Pertandingan yang bermula dari 8 hingga 10 September telah melibatkan penyertaan seramai 79 orang murid yang merupakan johan pertandingan pidato peringkat negeri bagi lima kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Rendah, Sekolah Menengah Atas dan Prauniversiti.
Dalam menyokong strategi ketujuh dalam Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), peserta berpidato dalam dua bahagian, iaitu pidato terancang yang berpandukan teks dan pidato spontan yang menguji kepintaran dan kecerdasan akal serta fikiran.
Para pemenang mendapat piala, sijil penyertaan dan membawa pulang wang tunai bernilai antara RM300 hingga RM1000.
Berikut merupakan senarai johan mengikut kategori:
Kategori Sekolah Kebangsaan (SK): Nur Awadah Mohd Adli, SK Dato Demang Hussin, Melaka.
Kategori Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK): Thaaranii A/P Subramaniam, SJKT Kamunting, Perak.
Kategori Sekolah Menengah Rendah: Auni Nabiha Ahmad Zaki, SMK Seksyen 10 Kota Damansara, Selangor.
Kategori Sekolah Menengah Atas: Muhammad Qawiem Athif Yuzaidi, The Malay College Kuala Kangsar, Perak.
Kategori Prauniversiti: Nur Amanina Arizam, SMK Raja Chulan, Perak.
Majlis turut diserikan lagi dengan dendangan syair dengan irama Rawi yang bertajuk “Kelebihan Ilmu” nukilan Za’ba oleh Puan Arinawati Amir, guru Sekolah Kebangsaan Kampong Endah, Selangor bersama-sama dengan dua orang pelajarnya, Nadrah Mahadi dan Nurdhia Nasuha Mohd Akmal.
Sebagai rekod, pertandingan ini merupakan kesinambungan daripada program Pidato 3 Minit yang telah diadakan di SK Kubang Kerian 3, Kota Bharu baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; Encik Ithnin Mahadi, Menanggung Tugas Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian dan mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia KPM; Dr. Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin, Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan Dasar Pendidikan mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum KPM, dan Dr. Yazid Abdul Manaf, Timbalan Rektor mewakili Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia KPM.