14 September 2024, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Sebanyak 1375 bakal pengetua dan guru besar diraikan dalam Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki (IAB) ke-23 Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini. Majlis yang penuh berprestij bagi bakal pengetua dan guru besar (PGB) ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan.

Bakal pengetua dan guru besar tersebut merupakan graduan National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) yang terdiri daripada 685 orang graduan NPQEL ambilan 2022 dan 690 orang graduan NPQEL ambilan 2023 yang telah selesai mengikuti program tersebut dengan jayanya.

Dalam ucapan perasmian YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, beliau menekankan bahawa pemimpin pendidikan perlu mengadaptasi perubahan digital dan menyokong pendidikan manusiawi yang seimbang dengan kemahiran abad ke-21. Graduan juga diingatkan agar menjadi pemimpin berintegriti dan memacu transformasi pendidikan negara selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, iaitu YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki ke-23 Tahun 2024.

Menurut YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, majlis komensmen ini merupakan satu daripada bukti akreditasi keupayaan dan kebolehan graduan sebagai seorang pemimpin pendidikan yang inovatif, kreatif, berwawasan dan mempunyai anjakan paradigma yang utuh. Akreditasi ini bukan sahaja dapat meningkatkan kredibiliti pemimpin pendidikan, tetapi juga memberikan keyakinan kepada masyarakat tentang kualiti pendidikan yang disediakan.

Tambah beliau,

Saya berharap agar kejayaan tuan puan pada hari ini menjadi penanda aras untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan pada masa akan datang. Tuan puan sebagai bakal pengetua dan guru besar adalah insan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan agenda ini menjadi realiti. Hal ini kerana sistem pendidikan yang menekankan kemanusiaan yang seimbang dengan kehebatan akademik dapat membantu membentuk generasi pembangun negara hasil didikan pemimpin MADANI.

Beliau juga menyatakan bahawa graduan perlulah menjadi pemimpin pendidikan MADANI yang cekap, berintegriti, cakna, prihatin dan peduli terhadap pelbagai keperluan semua pihak berkepentingan dalam tatakelola dan tadbir urus organisasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.