Oleh Rashid Ating
30 Oktober 2024, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam kejohanan Remaja Dunia BWF 2024 Bawah 19 Tahun yang melabuhkan tirainya pada 13 Oktober lepas di China, pasukan badminton negara mencipta kejutan apabila berjaya mengesahkan tiket pusingan akhir dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita. Dalam acara beregu wanita, wakil negara Zi Yu Low/Dania Sofia tewas kepada pasangan Jepun Ririna Hiramoto/ Aya Tamaki 21-17, 21-17 dalam masa 43 minit manakala beregu lelaki negara Kang Khai Xing/Aaron Tai berjaya menewaskan pasangan China Hu Ke Yuan/Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18 dalam masa 1 jam 5 minit. Kejayaan kedua-dua beregu negara ini melangkah ke pentas akhir sedikit sebanyak berjaya memecahkan dominasi negara China yang sememangnya dikenali sebagai kuasa besar dalam sukan badminton dunia sekali gus mengisyaratkan Malaysia sedang membina pasukan pelapis untuk masa hadapan.

Beralih ke pasukan senior negara, pencapaian cemerlang juga ditunjukkan apabila pasukan negara juga berjaya menghantar dua wakil ke pentas akhir dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita. Dalam acara beregu wanita, wakil negara Tan Pearly/Thinaah Muralitharan tewas kepada pasangan dari China Liu Sheng Shu/Tan Ning 21-12, 21-17 dalam masa 58 minit. Walaupun tewas, pasangan beregu wanita negara telah mencipta rekod tersendiri apabila berjaya melangkah ke penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024- sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana beregu badminton wanita negara manakala beregu lelaki negara Goh Sze Fei/Nur Izzuddin berjaya menundukkan pilihan kedua kejohanan Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-15, 21-19 dalam masa 1 jam 12 minit. Kemenangan Goh/Izzudin juga mencipta rekod tersendiri apabila merupakan beregu lelaki pertama dari Malaysia yang pertama memenangi tiga kejohanan berturut-turut, iaitu Super 750 (Terbuka Jepun); Super 1000 (Terbuka China) dan terkini Super 500 (Clash Royale Arctic Open 2024). Pencapaian ini meletakkan mereka sebaris dengan pemenang pingat emas Olimpik dari China, iaitu Lee Yang/Wang Chi-Lin, Satwiksairaj Rankireddy/Chirag Shetty dari India dan Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang juga pernah melakukan perkara yang serupa sejak Jelajah Dunia ini diperkenalkan pada tahun 2018.

Selepas dua pertandingan ini berakhir, melihat kepada kedudukan terkini Badan Badminton Dunia (BWF) sehingga artikel ini ditulis, pasukan badminton negara  sebenarnya  berada dalam keadaan terbaik (berbanding dengan negara-negara lain, pada pendapat penulis) untuk memecahkan dominasi negara China dalam kejohanan badminton berpasukan seperti dalam Piala Thomas (kejohanan berpasukan lelaki) dan Piala Sudirman (kejohanan badminton campuran). Berdasarkan Jadual 1, pasukan badminton negara menghadapi kekurangan pemain yang ketara dalam kategori perseorangan wanita apabila sehingga artikel ini ditulis, tidak ada lagi mana-mana pemain perseorangan negara yang berjaya memasuki kedudukan 25 pemain terbaik dunia. Dalam kategori perseorangan lelaki, beregu lelaki, wanita dan beregu campuran, negara mempunyai wakil yang menduduki kedudukan kelima dunia, manakala wakil terbaik negara menduduki kedudukan kedua dan ketiga dunia dari kategori beregu campuran. Dalam disiplin beregu wanita, dapat diperhatikan bahawa situasi agak sedikit tenat dan merisaukan kerana hanya satu beregu wanita negara sahaja yang berjaya memasuki kedudukan 25 pemain terbaik dunia.

Jadual 1 Pencapaian Pemain-pemain Badminton Negara Mengikut Kategori.

Kedudukan Perseorangan Lelaki Perseorangan Wanita Beregu Lelaki Beregu Wanita Beregu Campuran
Kontinjen Malaysia
Kelima Lee Zii Jia
Ke-23 Leong Jun Hao
Kelima Goh Sze Fei/ Nur Izzudin
Kelapan Man Wei Chong/ Kai Wun Tee
Kesembilan Choong Hon Jian/ Haikal Muhammad
Ke-16 Aaron Chia/ Soh Wooi Yik
Ke-24 Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi
Kelima Tan Pearly/ Thinaah Muralitharan
Kedua Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei
Ketiga Goh Soon Huat/ Lai Shevon Jemie
Kelima Tan Kian Meng/ Lai Pei Jing
Ke-25 Hoo Pang Ron/ Cheng Su Yin

Sumber: Badan Badminton Dunia (BWF) (2024).

Hal yang sama juga berlaku dengan perseorangan lelaki apabila harapan tunggal diletakkan kepada Lee Zii Jia. Bagi beregu lelaki dan beregu campuran, tekanan tidak begitu dirasai kerana negara mempunyai empat pasangan beregu. Sesuatu yang menarik perhatian juga apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 bagi kategori beregu campuran Aaron Chia/Soh Wooi Yik sedikit tergelincir daripada kedudukan 10 terbaik dunia apabila menduduki kedudukan ke-16 dunia.

Apabila perbandingan dalam Jadual 1 dibuat untuk pemain-pemain dari China, tidak dapat dinafikan lagi bahawa China masih lagi merupakan kuasa besar dalam badminton dunia. Daripada lima kategori dalam sukan badminton, empat daripadanya didominasi oleh negara China dengan pemain-pemain mereka menduduki kedudukan pertama dunia (kecuali beregu wanita, yang mana pemain kedudukan  pertama adalah dari Jepun (Rin Iwanaga/Kie Nakanishi).

Dalam kategori perseorangan lelaki, terdapat tujuh orang  orang pemain China yang menduduki kedudukan ke-25 dunia (termasuk seorang dari Hong Kong), dengan Shi Yu Qi di kedudukan pertama dunia. Bagi kategori perseorangan wanita, terdapat lima orang pemain China menduduki kedudukan ke-25 dunia, dengan Wang Zhi Yi berada di kedudukan pertama. Bagi kategori beregu lelaki, terdapat tiga beregu China yang menduduki kedudukan ke-25 dunia, dengan He Ji Ting/Ren Xiang Yu menghuni kedudukan pertama manakala bagi beregu wanita, walaupun China tidak menduduki kedudukan pertama dunia, namun mereka mempunyai enam orang beregu yang menduduki kedudukan ke-25 dunia (termasuk satu beregu dari Hong Kong), dan terakhir bagi kategori beregu campuran, terdapat tujuh beregu China yang memasuki kedudukan ke-25 dunia (termasuk dua beregu dari Hong Kong), dengan Jiang Zhen Bang/Wei Ya Xin berada di kedudukan pertama dunia.

Berdasarkan statistik data BWF, pasukan badminton China sememangnya terlalu hebat. Dengan mengambil kira faktor lain, negara Korea Selatan dan Indonesia dilihat sebagai antara pencabar utama pasukan badminton negara kerana kedua-dua negara ini merupakan negara yang agak konsisten dalam penyertaan mereka dalam kedua-dua kejohanan ini. Statistik menunjukkan bahawa dalam beberapa edisi Piala Thomas dan Piala Sudirman, pasukan Malaysia kebiasaannya terkandas di peringkat separuh akhir bagi Piala Sudirman dan kali terakhir menjadi naib juara Piala Thomas pada tahun 2014.

Semoga dengan barisan pemain badminton yang sedia ada ini, kem badminton negara akan terus berusaha untuk melahirkan pelapis yang dapat membanggakan negara. Penulis mengambil pendekatan optimistik, kerana jika menumbangkan China itu dilihat terlalu mustahil, maka sekurang-kurangnya menjadi naib juara bagi Piala Thomas atau Piala Sudirman perlu dijadikan matlamat pasukan badminton negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.