30 Oktober 2024, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol

Kuching – Sarawak Book Fair & Sarawak Authors Festival 2024 (Pesta Buku Sarawak dan Festival Penulis Sarawak 2024), sebelum ini dikenali sebagai Pameran Buku Kuching, kembali lagi untuk edisi ketiga pada tahun ini dengan menonjolkan kelainan apabila menganjurkannya serentak dengan Festival Penulis Sarawak bermula dari 28 Oktober hingga 3 November 2024.

Acara yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak ini bertujuan untuk mempromosikan industri buku dan penerbitan Sarawak hingga ke peringkat antarabangsa, selain menyediakan platform untuk penulis tempatan bekerjasama dengan penerbit, mempromosikan penerbitan serta memperkenalkan perkhidmatan Pustaka Negeri Sarawak kepada orang awam.

Majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Komersial The Hills pada hari ini disifatkan sebagai festival dua dalam satu dengan menampilkan 24 pempamer dari pelbagai penerbit dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung sepanjang tujuh hari penganjurannya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian di Pentas Utama, The Hilss, Kuching, Sarawak.

Orang ramai yang hadir tekun mendengar ucapan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Profesor Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata bahawa pameran buku yang diadakan itu merupakan perkara penting dalam usaha memupuk kesedaran membaca dalam kalangan masyarakat dan menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup.

“Premier Sarawak maklum mengenai kebanyakan perkara disebabkan beliau terkenal dengan sikapnya yang gemar membaca. Oleh sebab itu, kita perlu mengamalkan budaya membaca untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan kita,” jelas beliau dalam ucapan awalnya.

Tambah beliau, hal tersebut perlu ditekankan, lebih-lebih lagi Sarawak kini dalam proses menuju ke arah sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

“Oleh sebab itulah kita perlu mengubah minda kita menerusi pendidikan dan untuk memperolehnya sudah tentu hal tersebut datangnya daripada budaya membaca,” tegas beliau.

“Sarawak kini dalam proses ke arah sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.” – YB Profesor Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Acara tersebut tidak diandaikan oleh beliau sebagai pesta buku semata-mata kerana pameran yang dianjurkan dilihat sebagai perihal penting dalam usaha membina jati diri dan melihat kemajuan Sarawak secara keseluruhannya.

Pembinaan jati diri Sarawak bermaksud kita perlu mengutamakan ilmu. Usaha untuk membina jati diri memerlukan usaha kolektif dan tidak sekadar angan-angan kosong.

Beliau menyatakan sedemikian kerana dunia kini disifatkan sudah jauh berubah. Begitu juga dengan ilmu pengetahuan yang ada kini juga telah berubah sekelip mata.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pustaka Negeri Sawarak kerana menyatukan pelbagai pihak dalam acara tersebut. Beliau turut memuji dan menghargai usaha pihak yang terlibat yang telah menganjurkan sebanyak 60 buah pameran dan lebih 70 acara, bukan sahaja di Kuching, malah turut meluaskan aktiviti di Miri dan Sibu serta beberapa buah lokasi lain.

“Hal ini merupakan contoh sebenar tentang kata yang dikota (walk the talk) dengan membawa ilmu kepada komuniti secara langsung,” puji beliau.

Sementara itu, acara pada tahun ini menampilkan 70 aktiviti menarik termasuklah Pameran Buku, Festival Penulis, Kempen Pemandu Keahlian Percuma, Hari Terbuka Keperluan Khas, Kempen Menderma Darah, Sesi Bertemu Penulis dan banyak lagi.

Antara pempamer yang turut serta dalam acara pada kali ini termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd., My Bookstore Sdn. Bhd., Benzamine Book Center Sdn. Bhd., Firdaus Press Publications, Penerbit USM, Buku Fixi Sdn. Bhd. dan Penerbit Mardi. Turut serta sebagai pempamer termasuklah Yayasan Sarawak, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak (PPMKSAR), Agro Bank, US Education dan lain-lain.

Majlis yang berlangsung itu dimulai dengan persembahan sketsa dan diakhiri dengan majlis penyampaian anugerah kepada penulis dan penerbit Sarawak yang diiktiraf dalam pelbagai kategori. Majlis berakhir dengan lawatan ke tapak pameran buku oleh tetamu kehormat yang hadir.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian diiringi oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato Dr. Jeniri Amir; Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai serta tetamu kenamaan lain meluangkan masa berkunjung ke reruai di tapak pameran.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Datuk Dr. Abang Haji Abdul Rauf Abang Haji Zen, Pengerusi Lembaga Pustaka Negeri Sarawak; Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; ketua editor, ketua bahagian pelbagai agensi, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Perpustakaan Negeri Sarawak, dan pelbagai agensi serta khalayak umum.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.