Oleh Faizul Zubairi
12 Disember 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belum pun berakhir tahun 2024, peristiwa selebriti bercerai bagaikan sudah menjadi trend terkini di negara kita. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 15 orang selebriti terlibat dalam kes perceraian, sekali gus mencatatkan sejarah dalam dunia hiburan tanah air. Terdapat juga segelintir pasangan selebriti yang tidak menunjukkan sebarang masalah dalam rumah tangga, namun dikejutkan dengan berita sudah tidak tinggal sebumbung atau dalam proses memfailkan perceraian. Khabarnya, terdapat juga beberapa selebriti lain yang berhadapan dengan kes pergolakan rumah tangga, namun masih berusaha untuk menyelamatkannya daripada mengalami keruntuhan. Apabila berita perceraian selebriti menjadi tular dan sensasi dalam media sosial, isu ini menjadi topik perbualan “hangat” dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini dibimbangi akan mempengaruhi tindakan masyarakat yang turut sama menghadapi krisis rumah tangga. Hal ini demikian kerana selebriti mempunyai pengikut yang banyak dan menjadi idola serta suri teladan kepada masyarakat.  

Setiap kes perceraian yang berlaku dalam kalangan selebriti pasti ada sebab dan puncanya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana mereka juga manusia biasa yang berhak memilih jalan hidup yang terbaik untuk diri, keluarga dan pasangan mereka. Kes perceraian bukan hanya berlaku dalam kalangan selebriti, tetapi juga kepada orang lain. Bezanya, kisah mereka tidak menjadi perhatian masyarakat umum. Hakikatnya, tiada pasangan yang mahu perkahwinan yang dibina berakhir dengan perpisahan. Tujuan perkahwinan juga adalah untuk pasangan suami isteri meraih kebahagiaan dan mengekalkan kehidupan berumah tangga yang dibina.

Allah SWT telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab dalam perkahwinan bagi menjamin ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan. Walau bagaimanapun, telah menjadi lumrah hidup pasangan yang berumah tangga, pasti ada pasang surutnya, akan terselit juga ujian yang perlu ditempuh oleh pasangan suami isteri. Bak kata bidalan Melayu, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ujian yang ditempuh dalam melayari bahtera rumah tangga ada kalanya tidak dapat dibendung lagi dan mengakibatkan mereka mengambil jalan mudah dengan memutuskan ikatan perkahwinan yang telah dibina.

Perceraian merupakan syariat daripada Allah SWT dan diharuskan dalam Islam. Pensyariatan cerai atau talak sememangnya bertepatan dengan akal, maslahat atau maqasid yang mempunyai tujuan yang betul. Sebagaimana Allah SWT mensyariatkan perkahwinan dengan tujuan tertentu, begitu juga halnya dengan pensyariatan talak yang bertujuan untuk mengelakkan pertelingkahan antara kedua-dua pasangan daripada berterusan. Oleh itu, pasangan selebriti mahupun masyarakat perlu menerima takdir, seandainya jodoh mereka tidak berpanjangan dan berakhir dengan penceraian.

Sekiranya takdir menentukan jalan perpisahan merupakan jalan yang terbaik, maka redalah. Mungkin hikmahnya akan membawa kebaikan buat semua pihak. Teruskan kehidupan yang masih berbaki dengan positif dan bersemangat. Perceraian bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya merupakan satu permulaan untuk individu memulakan kehidupan yang baharu, bebas dari segala hati dan perasaan serta sengsara yang dipendam selama ini. Seseorang itu perlulah bersikap tenang menghadapi perceraian kerana perceraian itu merupakan satu ujian dalam kehidupan.

Pandanglah perceraian tersebut sebagai sesuatu yang positif. Mungkin banyak hikmah yang boleh dirungkaikan dan diambil pengajaran daripadanya. Ingatlah, langit tidak akan selalu mendung, suatu masa nanti, akan cerah jua dan kadang-kadang Allah SWT mendatangkan keindahan pelangi untuk menceriakan hari-hari yang akan dilalui seterusnya. Keadaan ini bersesuaian dengan firman Allah SWT, Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masingnya dari limpahan kurnia-Nya. Dan sesungguhnya Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Nisa’ 4:130)

Bersangka baiklah dengan Allah SWT kerana bahagia itu hak milik semua insan. Sama ada kita yang memilih jalan ini atau terpaksa memilih jalan ini, padamkanlah “kesengsaraan” jalan yang telah dilalui sebelumnya. Warnakanlah keindahan jalan yang akan dilalui selepasnya. Berhenti menyalahkan orang lain dan muhasabah diri. Berlapanglah dada, Allah SWT tidak akan pernah meninggalkan hambanya. Kenikmatan dendam tidak akan berkekalan melainkan hanya sekejap. Bersyukurlah sekiranya dapat membuang perasaan benci dan dendam terhadap bekas pasangan. Sesungguhnya sifat reda seiring dengan sifat syukur. Dengan kata lain, seandainya mereka telah mencapai tahap syukur dalam diri, pasti mereka juga telah reda dengan setiap perkara yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap diri mereka.

Pasangan bercerai perlu menyingkap hikmah perceraian yang bermaksud sudah tiada jodoh dan hendaklah berdamai dengan takdir. Mereka tidak seharusnya bertelagah sesama bekas pasangan selepas bercerai. Berhentilah bercakap soal perceraian dengan niat membuka aib bekas pasangan masing-masing. Tidak perlu saling menyalahkan antara satu sama lain dan membuka pekung di dada. Perbuatan tersebut tidak sewajarnya berlaku. Jangan terlalu mengikut emosi yang sedang marah dek kerana masing-masing terlalu ghairah ingin mempamerkan kebaikan diri dan menyembunyikan kekurangan diri supaya tidak dipersalahkan sebagai punca perceraian. Daripada merintih, “meroyan” membuka aib bekas pasangan, cukuplah sekadar menjawab, “sudah tiada jodoh” kepada yang bertanya.

Peranan ahli keluarga, sahabat dan orang luar adalah untuk menenangkan dan menasihati mereka, bukan untuk menghakimi dan mengadu domba. Janganlah kita menghasut dan menambah bara api dalam hubungan mereka yang sudah pun terlerai. Berperananlah dalam menjernihkan hubungan mereka supaya masing-masing dapat berdamai dengan takdir dan reda akan qada dan qadar. Kita harus membetulkan salah faham yang berlaku akibat perceraian tersebut. Perkara yang diharapkan selepas perpisahan adalah kehidupan yang lebih baik dan bahagia, bukan permusuhan atau dendam yang mencetuskan sengketa.

Teruslah melangkah dengan yakin dan meninggalkan kisah yang menyakitkan hati. Bukalah hati untuk memaafkan bekas pasangan, walaupun tidak mudah untuk melakukannya. Buanglah ego, benci dan marah. Teruslah menjalin hubungan yang baik dengan bekas pasangan walaupun masing-masing sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai pasangan yang baharu. Tiada guna kita mengenangkan kisah yang lama. Sebaliknya perlu fokus kepada perkara yang dimiliki pada masa ini, untuk mencipta lebih banyak kebahagiaan pada masa hadapan.

Bagi pasangan yang sedang berhadapan dengan pergolakan rumah tangga, berusahalah sedaya upaya untuk menyelamatkannya daripada mengalami keruntuhan. Berusahalah dengan sebaik-baik mungkin dan bertoleransi dalam mencari jalan penyelesaian bagi mempertahankan rumah tangga yang telah dibina. Islam meletakkan banyak jalan untuk kita menyelesaikan masalah rumah tangga sebelum memilih jalan perceraian. Yang pertama, berbincang terlebih dahulu antara kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan, jangan terburu-buru atau gopoh.  Yang kedua, jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, Islam mendidik kita untuk mencari hakam. Carilah hakam ataupun pendamai daripada pihak isteri ataupun pihak suami untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika masih tidak mencapai kata sepakat, maka pihak mahkamah akan mencuba sekali lagi menggunakan hakam bagi pihak mahkamah. Namun jika masih tidak berjaya, mungkin perceraian adalah jalan yang terbaik.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang Islam, kita tidak seharusnya tergopoh-gapah dalam membuat suatu keputusan, khususnya dalam isu perceraian. Sebaliknya kita perlu bijak menyelesaikan masalah rumah tangga yang berlaku supaya kita dapat bertahan lebih lama. Kita harus mendoakan kebahagiaan dan kebaikan pasangan masing-masing agar mendapat hidayah-Nya dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT dalam kehidupan yang mendatang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.