Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang

Kuala Lumpur–“Segalanya bermula dengan sikap. Apa-apa yang dilakukan berpunca daripada sikap dan pemikiran kita. Individu yang mempunyai sikap dan pemikiran yang positif akan menghasilkan produk yang baik dan berkualiti. Begitu juga dari segi penyelesaian masalah. Kita perlu mencari kekuatan yang ada pada orang lain dan bukannya mencari kesalahan yang ada pada orang lain. Hal ini dapat dilakukan melalui kerja secara berpasukan untuk menghasilkan mutu kerja yang lebih baik. Perkara yang sama perlu bagi seorang pereka buku. Jadilah pereka buku yang berkemahiran tinggi dan kreatif.”
Begitulah luahan dan harapan yang dilontarkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir, iaitu Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada awal bicara semasa berlangsungnya “Dialog Reka Bentuk Buku 2.0” yang diadakan pada pagi ini bertempat di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar (Dewan Bankuet), Aras 2, Menara DBP.
Dalam sesi tersebut, beliau menyatakan bahawa DBP merupakan satu “jenama” yang cukup unggul dan mantap sebagai “perujuk bahasa” dalam kalangan masyarakat. Sewajarnya DBP dapat menghasilkan buku yang berkualiti dalam semua aspek, termasuk reka bentuk kulit buku. Menurut beliau, DBP sentiasa mengorak langkah ke arah itu melalui program dan latihan peningkatan ilmu, khususnya dalam kalangan pereka buku.
Latihan memantapkan kemahiran staf adalah penting dalam mana-mana organisasi termasuklah DBP. Sehubungan dengan itu, DBP sentiasa berusaha melatih pereka untuk menghasilkan pereka yang berkemahiran tinggi dan kreatif.
Dalam wacana tersebut, beliau menyatakan bahawa faktor yang menyumbang kepada minat pembaca untuk membeli buku di pasaran termasuklah dari segi penampilan kulit buku atau reka bentuk buku yang menarik. Faktor lain termasuklah judul buku, pengarang buku, persembahan atau kandungan buku, ulasan buku yang baik, harga buku dan blurb.
DBP juga perlu memperbanyakkan penerbitan buku berbentuk piktorial. Sebagai contoh, buku berkenaan DYMM Yang di-Pertuan Agong dan tokoh-tokoh serta pemimpin negara. Buku yang dihasilkan seharusnya menampilkan ketokohan dan kepimpinan tokoh berkenaan dengan menggunakan reka bentuk buku yang menarik. Bagi buku bacaan kreatif seperti novel pula, seharusnya DBP dapat menerbitkannya dalam bentuk saiz yang kecil untuk pembaca.
Demikian antara inti pati menarik yang dikongsikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir, sepanjang sesi dialog itu berlangsung. Beliau turut menyarankan agar akan ada lebih banyak lagi penulis yang menghasilkan penulisan yang baik dalam usaha mengangkat darjat bahasa Melayu dan memartabatkannya di negara ini.

Menurut YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa pula, iaitu Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP semasa berucap dalam sesi soal jawab pereka buku perlu memanfaatkan ilmu tentang reka bentuk buku melalui perkongsian ilmu dalam sesi dialog ini. Beliau turut mencadangkan agar DBP dapat memperbanyakkan pengambilan pereka baharu dengan idea yang baharu untuk menghasilkan kulit buku yang lebih “segar” dan kreatif.

Terdahulu, turut menyampaikan ucapan ialah YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP. Beliau turut berharap agar ilmu yang dikongsi oleh YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir dalam sesi dialog ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh karyawan DBP khususnya pereka buku untuk menghasilkan buku yang berkualiti dan menarik.
Yang turut hadir dalam sesi dialog ini ialah YBhg. Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); YBhg. Encik M Azahari Edin, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP; YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; ketua-ketua bahagian, pereka buku serta karyawan Jabatan Penerbitan DBP.
