Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerkahwinan merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat yang menyatukan dua orang individu untuk membentuk keluarga yang menjadi tunjang kepada struktur sosial. Dalam konteks budaya di Malaysia, perkahwinan melambangkan perpaduan dan kestabilan dengan mencerminkan nilai tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.
Lebih daripada itu, institusi ini menjadi asas kepada pembentukan generasi baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara melalui hubungan kekeluargaan yang kukuh dan stabil. Walau bagaimanapun, perubahan sosial yang berlaku dengan pantas telah membawa cabaran kepada institusi perkahwinan.
Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 melalui penerbitan yang bertajuk Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024 menunjukkan bahawa penurunan kadar perkahwinan dan peningkatan kadar perceraian, mencerminkan tekanan ekonomi, perubahan gaya hidup dan nilai budaya yang semakin berubah. Dalam menghadapi realiti ini, perhatian terhadap trend perkahwinan dan perceraian adalah penting untuk memahami isu-isu yang mempengaruhi institusi kekeluargaan di Malaysia. Perbincangan dalam artikel ini akan meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini, serta mencadangkan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memperkukuh institusi keluarga.
Trend dan Faktor yang Mempengaruhi Perkahwinan di Malaysia
Berdasarkan buku Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024, jumlah perkahwinan di Malaysia mencatatkan penurunan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan data terkini, jumlah perkahwinan menurun daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023.
Penurunan ini dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup yang memberikan tekanan besar kepada golongan muda. Kos perkahwinan yang tinggi, termasuklah majlis perkahwinan secara besar-besaran, mendorong pasangan menangguhkan perkahwinan sehingga mereka mencapai kestabilan kewangan. Di samping itu, usia perkahwinan pertama bagi lelaki dan wanita semakin meningkat. Lelaki cenderung berkahwin pada usia 28 tahun, manakala wanita pula pada usia 27 tahun.
Generasi muda pula lebih mengutamakan pendidikan, kestabilan kerjaya dan kedudukan kewangan sebelum mendirikan rumah tangga. Perubahan nilai tradisional kepada norma moden turut mempengaruhi pandangan terhadap keperluan berkahwin pada usia muda. Fenomena perkahwinan semula pula semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan individu matang yang pernah melalui episod perceraian atau kehilangan pasangan. Golongan ini dilihat lebih bersedia untuk memulakan kehidupan baharu dengan pendekatan yang lebih praktikal. Gaya hidup moden juga memberikan impak terhadap keputusan untuk berkahwin. Sebagai contoh, tuntutan kerjaya, penggunaan teknologi yang meluas dan fokus terhadap pencapaian individu menjadikan sesetengah individu lebih cenderung menangguhkan atau menghindari perkahwinan.
Selain itu, faktor ekonomi juga memainkan peranan penting dalam perubahan ini. Kos sara hidup, perbelanjaan perumahan dan pendidikan mencetuskan kebimbangan tentang kestabilan kewangan selepas perkahwinan. Media sosial pula membentuk persepsi terhadap perkahwinan dengan memaparkan gambaran ideal yang sering kali menimbulkan tekanan untuk memenuhi jangkaan tidak realistik. Dalam aspek psikologi, ketakutan terhadap komitmen jangka panjang dan tekanan dalam memenuhi harapan keluarga menjadi penghalang kepada keputusan untuk berkahwin.
Trend dan Faktor-faktor Mempengaruhi Perceraian di Malaysia
Walaupun kadar perceraian kasar menurun sedikit daripada 1.9 kepada 1.8 per seribu penduduk pada tahun 2023, pasangan berusia antara 30 hingga 34 tahun kekal sebagai kumpulan yang mencatatkan kadar perceraian tertinggi. Pasangan dalam fasa awal perkahwinan sering menghadapi cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu. Tekanan pekerjaan, komitmen kewangan dan tanggungjawab keluarga menjadi punca utama konflik yang tidak dapat diselesaikan, menyebabkan hubungan rapuh dan akhirnya membawa kepada perceraian.
Kadar perceraian di kawasan bandar pula lebih tinggi berbanding dengan di luar bandar. Kehidupan di bandar sering dikaitkan dengan kos sara hidup yang tinggi, jadual kerja yang sibuk dan kekurangan masa berkualiti bersama-sama pasangan. Faktor ini menyumbang kepada ketegangan hubungan. Tambahan pula, akses yang lebih mudah kepada proses perceraian di bandar turut menjadi penyumbang utama kepada angka yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, masalah komunikasi merupakan antara sebab utama yang menyebabkan berlakunya perceraian. Ketidakserasian antara pasangan dan kekurangan kemahiran dalam menyelesaikan konflik sering kali mencetuskan perselisihan yang berpanjangan. Faktor ekonomi seperti beban hutang isi rumah turut memberikan kesan, termasuklah pinjaman perumahan dan kos pendidikan yang mencetuskan ketegangan berterusan. Gaya hidup moden juga memberikan impak besar dan ketidakseimbangan antara kerjaya dengan keluarga mengakibatkan pasangan kehilangan masa berkualiti bersama. Sikap masyarakat moden yang lebih menerima perceraian turut memberi kesan besar. Persepsi bahawa perceraian ialah penyelesaian mudah menyebabkan usaha memperbaiki hubungan sering kali diabaikan.
Pendekatan Holistik dalam Menangani Cabaran Perkahwinan dan Perceraian di Malaysia
Dalam menghadapi cabaran berhubung dengan institusi kekeluargaan, pendekatan menyeluruh diperlukan yang melibatkan kerajaan, masyarakat dan penggunaan teknologi. Kerajaan memainkan peranan penting melalui program sokongan seperti skim bantuan kewangan untuk pasangan muda dan pendidikan praperkahwinan. Program seperti ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan tetapi juga memberikan pasangan pengetahuan dan kemahiran untuk mengendalikan cabaran rumah tangga. Masyarakat pula perlu menyediakan sokongan sosial yang lebih kukuh.
Komuniti boleh memainkan peranan dengan mewujudkan ruang dialog yang terbuka bagi membolehkan pasangan berkongsi cabaran tanpa rasa malu atau takut dihakimi. Selain itu, dialog kekeluargaan yang inklusif dapat meningkatkan pemahaman bahawa konflik dalam perkahwinan adalah lumrah dan boleh diselesaikan melalui sokongan dan komunikasi yang baik. Penggunaan teknologi sebagai alat sokongan juga tidak kurang pentingnya.
Misalnya, pembangunan aplikasi kaunseling perkahwinan secara dalam talian, dapat menyediakan perkhidmatan sokongan yang mudah diakses dan fleksibel. Di samping itu, platform digital untuk pendidikan keluarga boleh menyediakan bahan pembelajaran seperti modul pengurusan konflik dan video panduan untuk membantu pasangan menangani cabaran rumah tangga secara praktikal. Kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan teknologi ini mampu memperkukuh hubungan pasangan, sekali gus dapat memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi terjamin. Selain itu, perkara tersebut juga memberikan peluang kepada pasangan untuk menangani cabaran dalam perkahwinan dengan lebih berkesan tanpa perlu menghadapi stigma atau kekangan sosial.
Perubahan dalam pola perkahwinan dan perceraian di Malaysia mencerminkan cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks. Walaupun cabaran ini menguji kestabilan sosial, namun perkara tersebut juga membuka peluang untuk memperbaik pendekatan dalam menyokong pasangan. Usaha kolektif antara kerajaan, masyarakat dengan penggunaan teknologi merupakan kunci utama dalam memperkukuh institusi kekeluargaan di negara ini.
Masyarakat perlu memahami bahawa cabaran dalam perkahwinan merupakan realiti yang boleh diatasi dengan komunikasi, sokongan dan pendidikan yang mencukupi. Dengan pendekatan yang inklusif serta sokongan yang menyeluruh, Malaysia mampu memastikan institusi perkahwinan kekal relevan, stabil dan kukuh dalam menghadapi perubahan sosial yang tidak dapat dielakkan. Diharapkan dengan usaha ini, institusi keluarga mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.