Diterbitkan pada 13 Januari 2025, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada 2 Januari lalu menyaksikan sebanyak 402 956 orang calon bersedia untuk menghadapi ujian penting ini. SPM bukan sekadar ujian akademik semata-mata, tetapi melambangkan titik tolak perjalanan seorang pelajar selepas mengharungi 11 tahun proses pendidikan formal. Peperiksaan ini merupakan satu peluang keemasan untuk mengukur pencapaian akademik serta pintu gerbang menuju masa hadapan yang lebih cerah. Setiap keputusan yang diambil dalam dewan peperiksaan berperanan besar dalam menentukan arah hidup pelajar, sama ada menyambung pendidikan pada peringkat institusi pendidikan tinggi, latihan vokasional, atau dunia pekerjaan.

Namun begitu, di sebalik keterujaan majoriti pelajar yang hadir ke dewan peperiksaan, isu ketidakhadiran lebih 10 ribu calon pada hari pertama SPM mencetuskan kebimbangan yang wajar diberikan perhatian. Fenomena ini mengundang persoalan besar tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh pelajar tersebut. Adakah mereka menghadapi tekanan mental, halangan kewangan atau menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat peperiksaan, terutamanya bagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman. Situasi ini jelas memerlukan perhatian segera dan tindakan proaktif daripada semua pihak yang berkepentingan.

Pada suatu ketika, peperiksaan SPM merupakan antara penanda aras utama dalam sistem pendidikan negara, SPM bukan hanya mencerminkan kualiti pendidikan, tetapi juga aspirasi sosial dan ekonomi rakyat Malaysia. Pada era 1980-an, SPM bukan sekadar satu ujian akademik, tetapi menggambarkan simbol kejayaan bagi sesetengah pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman. Bagi mereka, memiliki sekeping sijil SPM merupakan lambang usaha gigih, kerana keputusan yang cemerlang membuka pintu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti atau memperoleh pekerjaan yang stabil dan bergaji tinggi. Walaupun keputusan yang diperoleh tidak cemerlang, mereka berpeluang untuk memperbaiki kehidupan dan meningkatkan status sosial. Dalam erti kata lain, SPM pada waktu itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, tetapi juga membawa makna sosial yang mendalam.

 

Laluan Pendidikan Alternatif yang Pelbagai

Memasuki abad ke-21 telah mengubah naratif peperiksaan SPM. SPM dilihat semakin kurang penting, terutamanya kepada golongan muda. Banyak faktor yang menyumbang kepada perubahan ini, antaranya termasuklah perubahan landskap pendidikan global dan kemajuan teknologi. Pendidikan kini tidak lagi tertumpu pada pencapaian akademik yang tradisional, tetapi turut membuka ruang kepada pelbagai laluan alternatif yang lebih praktikal dan relevan dengan keperluan industri semasa. Generasi muda kini lebih cenderung untuk mengejar kerjaya yang memberikan peluang lebih besar untuk mereka mengembangkan kemahiran praktikal, seperti keusahawanan, seni dan bidang teknikal, berbanding dengan bergantung sepenuhnya pada sijil SPM. Ada yang memilih untuk menyertai latihan vokasional atau menyertai industri kreatif yang semakin berkembang pesat, yang kadangkala tidak memerlukan kelulusan SPM sebagai syarat utama.

Dalam konteks ini, perubahan paradigma ini mencetuskan persoalan penting. Apakah yang mendorong generasi muda untuk meragui atau meminimumkan kebergantungan mereka terhadap SPM? Dari perspektif psikologi, situasi ini dapat dilihat sebagai hasil daripada perubahan dalam cara kita memahami kejayaan dan pencapaian. Pada masa lalu, kejayaan sering diukur dengan pencapaian akademik yang tinggi, tetapi kini, kejayaan lebih diukur berdasarkan kemampuan untuk beradaptasi, mencipta peluang dan memperoleh kemahiran praktikal yang boleh digunakan dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah-ubah.

Tingkah laku ini juga dipengaruhi oleh tekanan sosial dan ekonomi yang berbeza daripada generasi sebelumnya. Memandangkan realiti dunia kerjaya kini yang lebih menuntut kreativiti dan keusahawanan, golongan muda semakin kurang melihat SPM sebagai tiket utama untuk kejayaan. Sebaliknya, mereka cenderung mencari pengalaman praktikal dan kemahiran yang lebih sesuai dengan kehendak industri pada masa kini. Perubahan ini juga mencerminkan keinginan untuk mengubah cara kita mendefinisikan pendidikan dan kejayaan, menjadikan perjalanan pendidikan lebih holistik dan relevan dengan cabaran masa hadapan.

Namun begitu, keadaan ini tidak bermakna sijil SPM telah kehilangan nilai sepenuhnya, sebaliknya, mungkin perlu disesuaikan dengan perkembangan zaman yang lebih mencerminkan cabaran serta peluang pendidikan pada masa kini. Pendekatan pendidikan yang lebih inklusif dan berfokus kepada kemahiran praktikal adalah penting untuk memastikan anak-anak muda tidak hanya bersedia untuk dunia akademik, tetapi juga untuk menghadapi dunia kerjaya yang penuh dengan cabaran baru.

 

Kepentingan SPM yang Semakin Luntur

Generasi muda Malaysia kini berhadapan dengan perubahan aspirasi yang semakin selari dengan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi. Dalam dunia pasca-pandemik, kebangkitan ekonomi gig, pekerjaan bebas dan dominasi teknologi telah mengubah definisi kejayaan. Anak muda pada hari ini tidak hanya bercita-cita untuk menjadi doktor, jurutera atau peguam, sebaliknya lebih 50 peratus daripada mereka berminat dalam bidang kreatif dan teknologi seperti pembangunan perisian, pemasaran digital, serta keusahawanan. Sebagai generasi yang lebih terdorong oleh motivasi intrinsik, mereka mencari kepuasan dalaman dengan meneroka minat dan bakat, berbeza dengan generasi sebelumnya yang lebih fokus kepada motivasi ekstrinsik seperti gaji tinggi atau status sosial berasaskan sijil akademik. Dalam konteks ini, SPM dianggap sebagai peperiksaan tradisional yang kurang relevan dengan impian dan cita-cita yang ingin dicapai oleh mereka.

Pandangan generasi muda terhadap pendidikan formal turut berubah. Segelintir Generasi Z berasakan bahawa pembelajaran di sekolah semakin kurang relevan dengan keperluan dunia sebenar. Mereka melihat jurang yang ketara antara kandungan kurikulum dengan realiti pekerjaan atau kehidupan harian. Sebagai contoh, mata pelajaran Matematik Tambahan atau Kimia sering dipersoalkan kerana hanya relevan kepada bidang tertentu sahaja, manakala kemahiran praktikal seperti pengurusan kewangan atau keusahawanan pula kurang diberi penekanan.

Keadaan ini mencetuskan tekanan psikologi dan keletihan mental kepada pelajar, lebih-lebih lagi apabila sistem pendidikan menilai kecemerlangan berdasarkan peperiksaan berpusat seperti SPM. Kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2022 menunjukkan bahawa lebih daripada 40 peratus pelajar mengalami tekanan berkaitan dengan peperiksaan. Hal ini menyebabkan banyak pelajar mula mencari alternatif seperti pendidikan vokasional, pembelajaran dalam talian atau kursus kemahiran untuk menyambung pelajaran. Program seperti “Skills for Future” oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menjadi satu daripada contoh inisiatif yang menawarkan latihan digital yang lebih relevan dengan keperluan industri moden.

Media sosial juga memainkan peranan besar dalam membentuk naratif kejayaan generasi muda. Platfrom seperti Instagram, TikTok dan YouTube, menonjolkan individu yang berjaya tanpa melalui laluan akademik tradisional. Lihat saja pempengaruh (Influencer) dan pencipta kandungan mempamerkan gaya hidup bebas yang berjaya, menarik minat anak muda untuk meneroka jalan kreatif dan digital. Dari sudut psikologi sosial, generasi muda sering membandingkan diri mereka dengan ikon media sosial yang dianggap sebagai model kejayaan. Sebagai contoh, seorang pencipta kandungan di Malaysia mampu menjana pendapatan lumayan dengan hanya menggunakan kreativiti dan strategi pemasaran bijak, jauh mengatasi pendapatan graduan universiti dalam sesetengah bidang. Fenomena ini menekankan bagaimana kejayaan kini lebih ditentukan oleh kebolehan adaptasi dan inovasi, bukannya semata-mata keputusan akademik seperti SPM.

 

Menilai Semula Peranan SPM dan Pendidikan Masa Hadapan

SPM bukan sekadar dokumen pencapaian akademik, tetapi cerminan aspirasi pendidikan negara yang bertujuan untuk membentuk individu holistik, menyumbang kepada keperluan masyarakat serta memenuhi jangkaan pasaran global yang semakin mencabar. Namun begitu, seiring perubahan zaman, kepentingan SPM kini semakin diperdebatkan. Penurunan fokus terhadap SPM membawa implikasi besar kepada sistem pendidikan dan struktur sosial negara. Generasi muda memerlukan sokongan untuk membina identiti dan keyakinan diri dalam mengejar aspirasi baharu. Oleh itu, pendidikan harus lebih fleksibel dan holistik bagi memenuhi keperluan ini.

Walaupun ada kritikan terhadap sistem pendidikan sekolah, namun perlu diakui bahawa SPM tetap menjadi asas penting dalam membentuk pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk kehidupan dan masyarakat. Kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan SPM, namun turut melihat kebolehan, kemahiran, pengalaman dan kesungguhan pelajar untuk mencipta kerjaya yang lebih baik. SPM hanyalah satu daripada alat untuk membina asas pendidikan, bukan penentu tunggal kejayaan.

Oleh itu, penambahbaikan kurikulum dan pendekatan pengajaran yang lebih relevan dengan minat serta aspirasi generasi muda merupakan langkah utama untuk memastikan keberkesanan pendidikan. Dengan pendekatan yang lebih inklusif dan relevan, pendidikan masa hadapan mampu melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran dunia dinamik dengan keyakinan dan kompetensi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi