Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan sumbangan buku dalam pelbagai genre, termasuklah buku cerita kanak-kanak, buku umum dan majalah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Galah, Perak, dalam usaha untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan murid sekolah luar bandar bersempena dengan program Majalah Dalam Kelas (MDK) di sekolah tersebut.
Guru Besar SK Chegar Galah, YBrs. Puan Robiah Hasmuni, meluahkan rasa penghargaan atas sumbangan tersebut.
“Saya mewakili seluruh warga sekolah berbesar hati menerima sumbangan buku daripada DBP. Kesudian DBP membekalkan wahana ilmu dalam bentuk buku dan majalah kepada sekolah kurang murid (SKM) ini membuktikan komitmen mereka terhadap pengembangan ilmu,” ujar beliau.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan berhampiran dengan Sungai Perak, SK Chegar Galah mendidik sebanyak 77 orang murid prasekolah hingga tahun enam. Murid-muridnya berasal daripada komuniti setempat seperti Kampung Chegar Galah, Kampung Tahan, Kampung Bendang Selinsing dan Kampung Bendang Bugis.

“Kebanyakan murid di sini merupakan anak nelayan darat dan berasal daripada golongan isi rumah B40. Oleh itu, secara tidak langsung, sumbangan ini akan meringankan beban mereka dalam mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti,” tambah YBrs. Puan Robiah.

Simbolik penyerahan sumbangan buku tersebut disempurnakan oleh Guru Kanan Pentadbiran, YBrs. Encik Faridun Nahar Mohamed, di hadapan para guru dan murid.
Program ini disertai oleh 82 orang murid, termasuklah peserta dari SK Temong dan SK Sauk.

MDK membuktikan usaha berterusan DBP dalam memartabatkan ilmu pengetahuan melalui bahan bacaan berbentuk majalah, terutamanya di kawasan luar bandar.

