Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPaya Besar, Kuantan – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Paya Besar dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) telah menganjurkan Program Kasih Ramadan denganmenyantuni 20 keluarga asnaf di kawasan Permatang Badak dan Taman Sepakat Sabtu (15 Mac) lalu.
Program ini turut disertai oleh Pengerusi MTSP, YBrs. Encik Mustaqim Zakaria, serta barisan kepimpinan MTSP Paya Besar, GPMS Paya Besar dan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Besar. Dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, sebanyak 20 set barangan keperluan asas seperti beras, minyak, susu, tepung dan gula telah diagihkan sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Syawal.
Penyelaras program, YBrs. Puan Nurul Mazriefa Zakaria, berkata program ini lahir daripada cetusan idea bersama-sama rakan dalam GPMS Paya Besar.
Pengalaman ziarah Ramadan ini memberikan kesedaran mendalam kepada saya apabila melihat sendiri cabaran yang dihadapi oleh keluarga asnaf. Program ini mengajar kami untuk lebih menghargai nikmat yang ada serta terus berbakti kepada masyarakat.
Sementara itu, Bendahari GPMS Paya Besar, YBrs. Encik Muhammad Fakrul Razzi Zaili, menegaskan bahawa program ini tidak sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menguji keprihatinan masyarakat terhadap golongan kurang berkemampuan.
Ujian bukan hanya kepada mereka yang menerima bantuan, tetapi juga kepada kita untuk lebih cakna dan prihatin terhadap keperluan mereka. Melalui kasih sayang dan empati, kita dapat mendidik jiwa untuk sentiasa membantu mereka yang dalam kesusahan.
Program ini bukan sahaja memberikan sedikit kegembiraan kepada keluarga penerima, malah turut menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta menjelang Ramadan 2025.