Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPahang – Ahli Dewan Negeri Semambu, Yang Berhormat (YB) Tuan Chan Chun Kuang, telah mengumumkan pelancaran program baharu bertajuk “UPLIFT: Program Belajar Sambil Bekerja” yang bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan alternatif kepada belia melalui kaedah separuh masa sambil bekerja bersempena dengan Pameran Pendidikan 2025 yang berlangsung di Hotel Rocana, Kuantan, semalam.

Dalam ucapan perasmian, YB Chun Kuang berkata objektif utama pameran ini adalah untuk memberikan lebih banyak maklumat berkenaan laluan pendidikan dan perancangan kerjaya kepada para pelajar agar dapat membuat keputusan berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan akademik bukanlah satu-satunya kayu ukur kejayaan dalam kehidupan seseorang malah turut menggalakkan para pelajar agar memanfaatkan peluang ini untuk mengenali pelbagai laluan pendidikan dan tidak semestinya terikat kepada pencapaian akademik semata-mata. Apa-apa yang penting ialah pelajar perlu berusaha memilih hala tuju yang benar-benar sesuai dengan diri sendiri.
YB Chun Kuang turut mengingatkan para pelajar agar menjaga keseimbangan dari segi kesihatan mental dan emosi.

“Kejayaan hadir dalam pelbagai bentuk. Bukan semua orang perlu dapat “semua A” untuk berjaya. Yang lebih penting ialah hidup dengan penuh matlamat, semangat dan kesihatan yang baik,” ujar beliau.
Beliau juga menyeru agar para pelajar tidak segan untuk berbincang dengan ibu bapa, guru atau rakan sekiranya menghadapi tekanan.
Pada majlis yang sama, Chun Kuang mengumumkan pelancaran Program “Uplift: Belajar Sambil Bekerja” yang akan dilaksanakan dengan kerjasama SCS Education, IGlobal Academy, serta beberapa syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Pahang.

Program ini menawarkan pelbagai kursus diploma berasaskan industri seperti: Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pengurusan Tenaga Boleh Diperbaharui, Pengurusan Perniagaan, Sains Komputer, Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Pengurusan Kejuruteraan dan Logistik.
Peserta program ini akan bekerja di syarikat yang berkaitan sambil mengikuti pengajian secara hujung minggu atau dalam talian. Yang menariknya, yuran pengajian akan ditanggung oleh pihak majikan dan peserta turut menerima gaji asas.
Bagi beliau, tidak semua anak muda mampu untuk menyambung pengajian sepenuh masa. Oleh itu, program ini membuka ruang kepada mereka agar terus belajar dan menambah nilai diri sambil bekerja.
Beliau turut mengalu-alukan pelajar serta ibu bapa untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini, khususnya mereka yang masih mencari laluan pendidikan atau kerjaya yang sesuai.
Sebagai tanda sokongan, YB Chun Kuang turut menyampaikan sumbangan tunai SPM kepada lebih 100 orang pelajar dari Kuantan yang menunjukkan prestasi baik dalam peperiksaan mereka.
