Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sempena Pasca Majlis Perasmian Penutupan PBAKL 2025, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyertai acara sulung penganjuran audio siar (podcast) yang dinamakan “Telaah” yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan seterusnya berkongsi pandangan tentang empat buah buku dari perpustakaan peribadi beliau.

YAB Perdana Menteri telah memilih buku tentang Pendeta Za’ba yang bertajuk Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihan, karya Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, iaitu Jejak-jejak di Pantai Zaman; Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu oleh Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan karya rakan setia beliau, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang bertajuk Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.
YAB Perdana Menteri memilih buku-buku tersebut kerana muatan makna yang terkandung dalam karya penting ini dengan konteks pembinaan dan kekuatan sebuah negara bangsa seperti Malaysia.
Za’ba dalam menghuraikan masalah kemiskinan mengambil sisi berbeza dengan menukilkan konteks kemiskinan secara komprehensif. Kemiskinan bukan sahaja soal harta tetapi Za’ba juga menyentuh tentang kemiskinan perangai yang perlu diatasi bagi mengangkat kedudukan orang Melayu. Kemiskinan budi seperti ini perlu diatasi dengan penguasaan ilmu dan hikmah.
Profesor Diraja Ungku Aziz pula telah mengemukakan pandangan dalam penulisan ketika itu tentang program pembasmian kemiskinan yang menyeluruh susulan kajian beliau di beberapa lokasi di Beserah dan Mersing. Membasmi kemiskinan bukan sekadar pelaksanaan projek besar semata-mata tetapi isu modal, pemasaran yang baik penting dalam meningkatkan produktiviti ekonomi dari desa.
YAB Perdana Menteri juga mengulas tentang pandangan gurunya, iaitu Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib yang menyakinkan pemuda pada zaman YAB Perdana Menteri bergelar mahasiswa ketika itu berkenaan dengan martabat dan potensi orang Melayu dengan elemen Islam. Beliau mencirikan Melayu sebelum adanya Islam dan Melayu setelah kedatangan Islam mengalami perubahan yang ketara dalam konteks pandangan hidup dan budaya Melayu. Tradisi akliah yang ditekankan dalam penulisan Naquib al-Attas menggambarkan kemampuan rantau alam Melayu yang mempunyai wibawa keilmuan yang tinggi.
Akhir sekali, YAB Perdana Menteri menyentuh tentang karya Dr. Siddiq Fadzil yang beliau anggap sebagai seorang yang tekun dalam mengkaji dan merumuskan hubungan penting antara Islam dengan Melayu serta melihat realiti semasa, bagaimana etos orang Melayu mampu menjadi bangsa yang positif, tasamuf dan toleran. Dr. Siddiq menurut beliau menekankan relevansi pandangan sarwa orang Melayu walaupun hidup dalam jamak budaya dan agama namun tetap mengakar kepada asas akidah dan jati dirinya.
Sebagai permulaan, YAB Perdana Menteri telah menggunakan platform acara “Telaah” anjuran KPT ini untuk mengupas buku-buku terpilih ini sebagai tatapan masyarakat tentang peri pentingnya penguasaan sejarah, kebudayaan dan pemikiran budaya Malaysia.
Semoga acara begini akan diteruskan di segenap peringkat kerana membaca buku lebih daripada seimbas pandang, tetapi jauh daripada itu kita berikhtiar untuk memahami cetusan hati nurani penulis yang menzahirkan pemikiran dan hikmah yang direkodkan dalam buku tersebut.