Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Sebanyak 30 peserta yang terdiri daripada penduduk Desa Murni Kerdau telah menyertai “Bengkel Eko Dapur: Racun Serangga dan Baja Organik dari Sisa Dapur” anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pertanian Temerloh, semalam.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada penduduk komuniti Desa Murni Kerdau mengenai kaedah pertanian organik yang mesra alam dan menjimatkan kos.

Melalui pendekatan penggunaan baja dan kawalan perosak organik, peserta akan dilatih untuk mengamalkan pertanian lestari yang dapat meningkatkan hasil tanaman tanpa bergantung pada bahan kimia sintetik.
Tenaga pengajar program ini terdiri daripada dua orang Pegawai Pertanian Daerah Temerloh, iaitu Puan Elynorazmira Mohd Tamiri dan Encik Mohd Zaimi Abdul Rahman.

Peserta bengkel turut didedahkan dengan teori dan praktikal oleh Pegawai Pertanian berkaitan dengan penggunaan baja organik dan kompos.
Jelas Pegawai Pertanian, baja organik ialah baja semula jadi yang dihasilkan dengan menggunakan bahan semula jadi yang mengalami proses pereputan untuk menghasilkan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan.
Baja yang mudah terurai di dalam tanah dan mempunyai kandungan nutrien yang rendah, iaitu kurang daripada lapan peratus amat penting untuk kesuburan tanah kerana menambahkan mikrob dan mengurangkan pH tanah terutama bagi kawasan berpasir.
Antara contoh baja organik termasuklah baja dari tinja haiwan dan baja kompos. Kompos, merupakan satu daripada proses dalam penghasilan baja organik yang mencampurkan bahan-bahan seperti rumput dan daun kering; sisa buangan dapur; sisa sayuran dan buahan yang mengalami proses pereputan secara semulajadi.
Sementara itu, kompos berfungsi untuk menambah nutrien dalam tanah; memperkenalkan organisma berguna kepada tanah; mengurangkan pembuangan sisa dapur (sampah domestik) dan baik untuk alam sekitar.

Bagi sesi amali pula, penceramah turut berkongsi lima resepi penghasilan kompos sisa dapur, iaitu Fermented Plant Juice (FPJ), Fermented Fruit Juice (FFJ), Fish Amino Acid (FAA) dan Baja Kulit Telur (CAP). Kesemua resepi ini menggunakan bahan yang berbeza dan semestinya menghasilkan produk untuk tujuan yang berbeza.
Kompos sisa dapur boleh terus dijadikan sebagai media tanaman atau boleh dicampur dengan tanah dan pasir sebelum digunakan. FPJ dan FAA pula sesuai untuk semua tanaman kerana mampu membantu meningkatkan pertumbuhan tanaman kerana FPJ mempunyai Asid Gibrelin (GA3). Manakala FFJ dan baja kulit telur (CAP) sangat sesuai untuk pokok yang sedang berbunga mahupun berbuah.
Penghalau serangga dihasilkan dengan menggunakan tumbuhan yang mempunyai bau yang akan menjadikan serangga takut dan tidak suka berada berdekatan kawasan yang mempunyai bauan tersebut. Minyak digunakan untuk membantu lekatan bancuhan pada permukaan daun.
Menurut penyelaras program, Puan Sarimah Muhamed Said, beliau berharap agar bengkel seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana mampu membuka mata, minda serta menggalakkan para peserta komuniti desa untuk lebih bertanggungjawab dalam berinovasi menggunakan bahan buangan, sekaligus membantu mengurangkan pelupusan sampah.
Sesi penutupan bengkel kemudiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi JPKK Desa Murni, Encik Mohd Fazrul Ahmad.
“Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kampung dalam menghadapi persiapan mewakili negeri Pahang ke Pertandingan Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Julai kelak, setelah Kampung Desa Murni Kerdau telah dinobatkan Johan Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini,” ujar beliau.
