Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” telah diadakan di International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka bermula pada 11 Jun hingga 13 Jun 2025.

Program ini diselaraskan oleh Sekretariat Majlis TVET Negara, Jabatan Perdana Menteri dengan pelibatan semua kementerian dan agensi yang berkaitan dengan TVET.

Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis TVET Negeri Melaka turut terlibat sebagai rakan strategik dalam penganjuran sambutan ini, yang bertujuan untuk meraikan komitmen bersama dalam merealisasikan agenda transformasi TVET negara.

Pelbagai inisiatif, peluang dan insentif ditawarkan menerusi program ini, antaranya termasuklah penyampaian maklumat berkaitan dengan laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran.

Antara tetamu yang hadir dalam Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung di Melaka.

Sambutan ini turut menjadi platform penting untuk mengiktiraf peranan dan pencapaian TVET dalam pembangunan sosioekonomi negara serta mempromosikan kerjaya berasaskan kemahiran kepada seluruh lapisan masyarakat.

Program ini berjaya menarik kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang peringkat umur, antaranya termasuklah pelajar, belia, pencari kerja, ibu bapa, guru dan pihak industri.

Pameran TVET yang diadakan menampilkan sektor-sektor utama seperti tenaga, rel dan maritim, pembinaan, elektronik dan digital, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan penternakan, pengangkutan dan automotif serta pembuatan termaju.

Seiring dengan sambutan Hari TVET Negara 2025 dan bersempena dengan Malaysia selaku Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Sekretariat Majlis TVET Negara turut menganjurkan ASEAN TVET Council 4th Regional Policy Dialogue bertemakan TVET for Rural and Regional Advancement.

Dialog serantau ini turut diadakan di Negeri Melaka, bertempat di Courtyard Hotel pada 11 Jun dan 12 Jun 2025, sebagai usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang TVET khususnya dalam konteks luar bandar dan wilayah.

Dalam ucapan perasmian Hari TVET Negara 2025, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dalam era teknologi dan kemahiran baharu, aspek keinsanan tetap menjadi teras utama pembangunan negara.

Beliau menekankan bahawa dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai ihsan dan kemanusiaan harus terus menjadi landasan pemikiran dan tindakan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan alu-aluannya berkata:

Usaha memperkasakan ekosistem TVET negara bukanlah hasil kerja sehari atau usaha satu kementerian semata-mata. Sebaliknya, merupakan manifestasi iltizam kolektif, keberanian dasar, dan penyatuan seluruh ekosistem TVET yang sebelum ini bergerak secara terpisah.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Hari TVET 2025 menegaskan bahawa aspek keinsanan tetap menjadi teras utama pembangunan negara.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa:

Pendekatan baharu ini merupakan batu asas kepada pembentukan ekosistem TVET yang moden, menyeluruh dan berdaya saing ke arah membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi melonjakkan Malaysia ke arah negara ekonomi maju yang mampan.

TVET kini bukan lagi pilihan kedua atau pelan alternatif apabila laluan akademik tidak berhasil, sebaliknya menjadi pilihan strategik bagi masa hadapan negara.

Beliau turut berkongsi pencapaian semasa, antaranya sebanyak 212,022 pelajar atau 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf memilih untuk melanjutkan pengajian di institusi TVET pada tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan enrolmen TVET mencecah 436,285 orang. Bagi sesi pengambilan Julai 2025 pula, lebih 140,000 permohonan telah diterima menerusi platform UP_TVET sehingga 10 Jun lalu, merangkumi kedua-dua kategori UP_TVET Perdana dan UP_TVET Flexi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Menteri Melaka YB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi