Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Krau – Siapa sangka cebisan kain perca yang dahulunya dianggap tidak bernilai kini mampu dijahit menjadi sumber pendapatan yang lumayan dan warisan seni tangan yang bernilai tinggi.
Terdapat ratusan kursus kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai pihak, namun kursus Patchwork atau Jahitan Perca Kain oleh satu-satunya pusat GIATMARA, kini menyerlah sebagai program yang memperkasakan golongan wanita, belia, serta usahawan mikro di Malaysia.
Jahitan perca merupakan teknik menjahit cebisan kain pelbagai corak dan warna untuk membentuk barangan baharu yang bukan sahaja cantik, malah unik. Program ini bukan sekadar mengajar kemahiran menjahit bahkan membentuk kepekaan terhadap nilai estetika, keusahawanan dan kelestarian alam.
Pihak Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Murni Kerdau (Biro Hal Ehwal Wanita) Yang Berusaha (YBrs.) Puan Zabedah Hashim berkata, kolaborasi bersama-sama dengan pusat GIATMARA Kuala Krau ini sedikit sebanyak membantu aktiviti ekonomi wanita di Kampung Desa Murni Kerdau.

Puan Hilmiah Mohd Noor yang merupakan tenaga pengajar di GIATMARA Kuala Krau berkata, minat peserta terhadap kemahiran jahitan perca kain kini semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan suri rumah dan belia wanita.
“Banyak peserta tidak menyangka bahawa lebihan kain kecil boleh dijadikan sebagai alas meja, selimut, sarung bantal, hinggalah kepada penghasilan beg tangan yang eksklusif. Semuanya bermula daripada kreativiti dan teknik asas yang betul,” katanya.
Melalui kursus ini, peserta bukan sahaja diajar teknik memotong dan menyusun kain secara simetri, malah diberikan pendedahan terhadap reka bentuk kontemporari yang sesuai dengan cita rasa pasaran pada masa ini.
Di samping itu, kursus ini turut membuka jalan ke arah keusahawanan melalui bimbingan pemasaran dan pengurusan perniagaan asas.
Inisiatif GIATMARA ini selari dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan aspek kitar semula dan pengurangan sisa fabrik.
Dalam konteks ini, seni jahitan perca menjadi simbol penyatuan antara kemahiran tradisi dengan pemodenan industri kraftangan tempatan.
Turut hadir dalam kursus ini ialah Pengurus Giatmara Kuala Krau YBrs. Encik Lokman Awang.