Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Program “Pendaftaran Pertubuhan, Impak kepada Komuniti dan Pelajar: Langkah Bersama ke Arah Masa Depan Progresif” telah berlangsung dengan jayanya di UiTM Shah Alam, semalam.

Penganjuran program komuniti ini merupakan kerjasama antara Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Shah Alam, Techno Crew Club UiTM dan Jabatan Pendaftaran, Pertubuhan Persatuan Malaysia (JPPM) cawangan Selangor.

Selaku Pengarah Program, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie berharap agar para pelajar yang hadir mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dalam aktviti berstruktur melalui persatuan berdaftar agar dapat membantu mencegah gejala sosial dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang harmoni.

Menurut Pengarah JPPM, YBrs. Tuan Nurul Azhar Husin dalam ucapannya menegaskan,
Kefahaman terhadap struktur pendaftaran pertubuhan serta nilai integriti dalam pengurusan organisasi adalah elemen penting untuk membina masyarakat madani yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Tambah beliau, pelbagai faedah yang boleh diperoleh oleh para pelajar sekiranya melibatkan diri dalam persatuan misalnya dapat mengasah dan mengembangkan potensi kepimpinan, komunikasi, kemahiran insaniah serta membina rangkaian.
Beliau berpandangan bahawa tugas pelajar bukan sekadar belajar, malah perlu bergiat aktif dalam bersukan baik pada peringkat universiti, kebangsaan atau negara. Pelibatan dalam persatuan dapat mengisi masa lapang di samping dapat membantu golongan yang memerlukan.
Bagi beliau adalah wajar, jika setiap pelajar tanpa mengira peringkat pengajian dapat menyumbang kembali kepada masyarakat pada suatu hari kelak. Secara tidak langsung, sumbangan tersebut mampu meringankan permasalahan penduduk setempat tanpa mengira bentuk sumbangan yang diberikan baik dari segi moral mahupun material.
Program ini telah dirasmikan oleh Dekan FSR, YBrs. Prof. Madya Dr. YM Raja Firhad Raja Azidin.
Kata beliau,
“Program ini lebih bermakna kerana dilaksanakan sempena ulang tahun ke-30 FSR, satu tonggak penting dalam sejarah fakulti yang selama ini komited dalam memperkasakan bidang sains sukan, rekreasi dan kepimpinan pelajar pada peringkat nasional dan antarabangsa.”

Yang turut hadir dalam seminar ini termasuklah mantan Dekan FSR UiTM, Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor; Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof. Madya Dr. Khairul ‘Ayuni Mohd Kharuddin dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FSR, Dr. Mohd Zulkhari Mohd Azam.