Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Pejabat Karang Mengarang (PKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan tujuh buah buku terbitan baharu pada tahun 2025 yang merangkumi pelbagai genre termasuk biografi, sejarah politik, inspirasi, kaedah penyelidikan, pendidikan awal kanak-kanak serta teknologi maklumat.
Menurut Pengarah PKM USPI, YBrs. Profesor Madya Dr. Nordiana Hamzah, penerbitan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkasakan ilmu pengetahuan rentas bidang serta memenuhi keperluan pembaca akademik dan umum.
Antara judul yang diterbitkan ialah Puteh Mariah: Srikandi Politik Tidak Didendangkan (karya Mohamed Jefferi Haji Mat Lazim & Ishak Saat), Analisis Data SPSS Lanjutan, Step by Step (Fauzi Hussin), Keselamatan Siber untuk Kanak-kanak: Panduan untuk Ibu Bapa dari Sudut Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dan Psikologi Spiritual Islam (Nor Azah Abdul Aziz, Che Zarrina Saari & Suzaily Wahab), serta Penilai Program: Pengenalan kepada Teori dan Metode (Othman Lebar & Siti Salina Mustakim).
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Nordiana Hamzah berkata, tiga lagi karya yang turut dilancarkan ialah Persekutuan Melayu Mesir: Sejarah Kegemilangan Kegiatan Para Pelajar Melayu di Mesir dan Sumbangannya (Muhammad Hafiz Samsudin), Kepelbagaian Model Pembelajaran Teradun dalam Pendidikan Digital (Mohd Azlan Mohammad Hussain & Anesman Buangraya Wenge Abdul Rahman), serta Creative Media Guide for Non-Designers (Ahmad Zamzuri Mohamad Ali, Darni Darmin & Muhammad Ihsan Rokeman).

Mengulas lanjut, Dr. Nordiana menjelaskan bahawa buku Puteh Mariah merupakan sebuah biografi perjuangan tokoh wanita luar biasa yang menongkah arus patriarki demi memperjuangkan hak dan kebebasan bangsanya.
“Dengan kajian menyeluruh dan naratif yang menyentuh emosi, karya ini membawa pembaca mengenali Puteh Mariah bukan hanya dikenali sebagai tokoh politik, tetapi sebagai inspirasi perjuangan wanita,”ujarnya.
Sementara itu, menurut beliau, buku Keselamatan Siber untuk Kanak-kanak pula direka khas untuk membantu ibu bapa memperkenalkan anak-anak kepada dunia digital dengan pendekatan yang mesra kanak-kanak.
“Apabila mereka dilengkapi dengan garis panduan keselamatan dalam talian, kita mampu memastikan mereka lebih selamat dalam mengakses maklumat di alam maya,”ujarnya lagi.
Menyentuh buku Penilai Program, Nordiana berkata karya ini merupakan panduan menyeluruh dalam proses penilaian program, bersesuaian untuk pelbagai lapisan pengguna termasuk pelajar pascasiswazah, penyelidik, perancang program, NGO dan agensi kerajaan.
Turut menarik perhatian beliau ialah buku Persekutuan Melayu Mesir yang mendokumentasikan sejarah dan peranan aktif pelajar Melayu di Mesir dalam aspek intelektual, politik dan nasionalisme, manakala buku Creative Media Guide for Non-Designers pula menjadi panduan ringkas kepada individu bukan latar belakang reka bentuk yang ingin menghasilkan kandungan visual kreatif.
“Dalam era digital masa kini, buku Kepelbagaian Model Pembelajaran Teradun dalam Pendidikan Digital tampil sebagai sumber penting yang mengupas pelbagai pendekatan pembelajaran hibrid dan relevan untuk memenuhi keperluan pelajar abad ke-21,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua buku tersebut boleh didapati di Kedai Buku Penerbit yang terletak di Bangunan Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI atau melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada, Youbeli dan UPSI Press Mall. Pembelian dalam talian turut ditawarkan dengan diskaun sehingga 20 peratus.