Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown – Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar kolaboratif strategik antara negeri Perlis dengan Penang Free School (PFS) bukan hanya dalam bentuk pertukaran atau lawatan pelajar sahaja, malah kerjasama ini wajar diperluas kepada program kokurikulum serta inisiatif pembangunan pelajar yang bersifat dua hala.
“Dengan semangat sinergi ini, saya yakin kedua-dua pihak akan terus melahirkan generasi berdaya saing, berfikiran global, tetapi tetap berpaksikan jati diri yang kukuh dan maju serta mampu untuk melangkah ke tahap yang lebih membanggakan,” titah baginda.
Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap agar PFS dapat mengekalkan nama baik sekolah ini sebagai antara institusi pendidikan tertua dan berprestij di Malaysia. Baginda mendoakan agar PFS terus maju jaya dalam melahirkan generasi yang berjiwa besar.
Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari sempena Lawatan Peserta Bengkel Jati Diri yang Cemerlang untuk Pelajar Terbaik serta Pengawas Terpilih Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ke PFS di Georgetown, Pulau Pinang.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan disambut oleh Pengetua Penang Free School, Yang Berbahagia (YBhg.) Syed Sultan Shaik Oothuman.
Program tersebut dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Majlis santapan tersebut turut dihadiri oleh sebahagian pelajar tingkatan empat dari PFS dan sebanyak 103 pelajar terpilih dari Perlis.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan replika cek bernilai RM10,000, sumbangan YTSP Perlis kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PFS yang diterima oleh Yang Dipertuanya YBhg. Puan Rabikha Hasni Suparman.
Baginda yang juga merupakan seorang daripada alumni PFS bersekolah di situ selama setahun pada tahun 1983 sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara menzahirkan bahawa lawatan ini bukanlah penamat, sebaliknya merupakan permulaan baharu kepada jalinan hubungan yang lebih erat antara Negeri Perlis dengan PFS.
Kredit foto: YTSP Perlis