Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan melaksanakan sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau dikenali sebagai BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula pada 30 September 2025.
Melalui inisiatif ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding dengan harga semasa, iaitu RM2.05.
Sementara itu, golongan bukan warganegara akan membeli pada harga tanpa subsidi, iaitu dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Kerajaan MADANI menunaikan komitmen untuk memastikan subsidi dinikmati oleh rakyat Malaysia. Semua warganegara yang memiliki lesen memandu aktif layak secara automatik untuk BUDI95,” ujar beliau.
Beliau menambah, penjimatan daripada pelaksanaan ini akan disalurkan semula kepada rakyat melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana.
Di bawah skim ini, rakyat akan menikmati siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter petrol bersubsidi. Namun begitu, pemandu kenderaan e-panggilan diberikan pengecualian dan boleh memohon tambahan kelayakan bagi menyokong pekerjaan mereka. Menurut Jabatan Perangkaan, lebih 99 peratus pengguna kenderaan persendirian tidak melebihi had tersebut.
Untuk kemudahan rakyat, kerajaan memperkenalkan kaedah mudah tanpa pendaftaran. Pengesahan hanya memerlukan imbasan MyKad di kedai atau pam minyak. Selain itu, aplikasi digital seperti TNG eWallet, Setel dan CaltexGo turut boleh digunakan.
BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat. Ujian awal melibatkan sebanyak 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, manakala pelaksanaan kepada penerima STR (golongan B40) pada 28 September, serta pelaksanaan sepenuhnya akan dibuka kepada 16 juta rakyat berumur 16 tahun ke atas dengan MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menasihatkan rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah.
Maklumat lanjut mengenai BUDI95 akan dikongsikan oleh Kementerian Kewangan melalui saluran rasmi.
Dengan pelaksanaan BUDI95, kerajaan yakin langkah ini akan menjamin keadilan dalam pemberian subsidi serta mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.