Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Sebagai rakyat Malaysia, penulis berasa sangat berbangga tatkala menonton dan mendengar berita mengenai “Roti Canai Terbang” menjadi daya tarikan utama pengunjung Pavilion Malaysia di Expo 2025 yang kini sedang berlangsung di Osaka, Jepun hingga 13 Oktober 2025. Ramai pengunjung dikhabarkan mengakui kelazatannya dan memberikan maklum balas yang amat positif, baik dari segi cita rasa mahupun cara hidangannya. Malah, pada penghujung bulan Ogos yang lalu, makanan Malaysia telah diundi sebagai yang paling lazat di Ekspo tersebut, menurut satu tinjauan khas yang dijalankan oleh Yomiuri TV Jepun. Hal tersebut turut didedahkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Utama Haji Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia yang berkongsi perkara tersebut di laman Facebook beliau.

Menurut TasteAtlas, sebuah platform berkaitan dengan kulinari global, roti canai telah dinobatkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia pada tahun 2022. Roti canai, merupakan makanan ruji yang sangat digemari dalam masakan tempatan khususnya ketika sarapan pagi dan lewat malam.
Evolusi roti canai sehingga menjadi makanan kebanggaan rakyat Malaysia merupakan satu kisah menarik tentang percampuran budaya dan adaptasi. Walaupun berasal dari India, hidangan ini telah berkembang menjadi sajian yang sangat terkenal di Malaysia, hasil pengaruh pendatang Tamil yang tiba di Malaysia pada zaman penjajahan. Dikenali sebagai Muslim India atau Mamak, imigran ini bukan sahaja membawa tradisi kulinari mereka, tetapi juga gabungan unik rempah, rasa, dan teknik memasak. Nama roti canai sendiri mencerminkan warisan India, dengan “roti” bermaksud roti dalam bahasa Sanskrit, manakala “canai” mungkin berasal dari perkataan Tamil “channa,” merujuk kepada hidangan India Utara yang dibuat daripada kacang kuda rebus.
Walau bagaimanapun, Kamus Bahasa Inggeris Oxford mencadangkan bahawa “canai” mungkin berasal dari perkataan Melayu “canai,” yang bermaksud “mengguling (doh) nipis,” yang berkemungkinan besar hasil inspirasi dari bandar Chennai di India. Kesohoran hidangan ini melangkaui sempadan Malaysia dan menjadi kegemaran bukan sahaja dari rakyat Malaysia dengan pelbagai latar belakang, bahkan peminat makanan di pelbagai negara di seluruh dunia, sekali gus membuktikan keenakan rasanya.
Keunikan roti canai terletak pada cara penyediaannya. Dohnya diuli menggunakan minyak sapi yang menghasilkan tekstur yang lembut dan kenyal. Doh tersebut kemudiannya diratakan, dilipat dan digoreng sehingga rangup di luar tetapi lembut serta berlapis-lapis di dalam. Roti canai biasanya dihidangkan bersama pelbagai jenis kari, menjadikannya hidangan sarapan atau snek yang sangat popular di Malaysia. Roti canai telah dianugerahkan sebagai roti terbaik di dunia oleh Tastealtas pada September 2023, manakala pada bulan Julai tahun yang sama dinobatkan sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia oleh laman sesawang antarabangsa berkenaan. Walaupun versi tradisional dihidangkan bersama dal atau kuah kari, terdapat pelbagai variasi dan inovasi yang mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia. Roti canai telah mengalami evolusi dari roti canai biasa yang klasik sehingga roti telur (dimasak bersama telur), roti pisang (dengan hirisan pisang), roti keju (berinti keju), dan banyak lagi.
Roti canai juga popular sebagai makanan sarapan pagi yang memeriahkan suasana budaya bersarapan di Malaysia. Sarapan di Malaysia bukan sekadar rutin harian, tetapi cerminan kepelbagaian budaya dan warisan kulinari di negara ini. Dalam masyarakat berbilang kaum, amalan bersarapan merupakan gabungan unik rasa dan tradisi yang mempamerkan perpaduan melalui makanan. Setiap kaum di Malaysia mempunyai hidangan sarapan tersendiri. Umpamanya, Nasi Lemak dan Lontong amat sinonim dengan kaum Melayu, Dim Sum dari kaum Cina, Roti Canai dan Tose amat terkenal dalam kalangan masyarakat India, dan Laksa Sarawak serta Mi Kolok di Sarawak.
Sarapan pagi khususnya dalam menikmati keenakan roti canai dapat dilihat di kedai makan, warung mahupun gerai jalanan, di mana semua kaum berkongsi meja sambil menikmati sarapan masing-masing. Hidangan seperti nasi lemak dan roti canai ini telah lama menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Disebabkan keunikan ini yang diwarisi dari generasi ke generasi, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf budaya sarapan di Malaysia sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada tahun 2024. Warisan budaya tidak ketara merujuk kepada pelbagai bentuk ekspresi budaya seperti tradisi lisan, seni persembahan, adat istiadat, pengetahuan tradisional dan kemahiran khusus termasuklah alat, benda, artifak serta ruang budaya berkaitan yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai aset berharga bagi identiti budaya sesuatu komuniti atau wilayah.
Selain itu, makanan warisan Malaysia seperti roti canai sering menjadi tumpuan pelancong asing yang datang ke negara ini untuk merasai kelazatannya yang unik dan menyelerakan. Roti canai, dengan teksturnya yang garing di luar tetapi lembut di dalam, sering dipuji oleh pengembara dan pempengaruh makanan yang berkongsi pengalaman mereka menerusi laman sesawang peribadi mahupun platform seperti Youtube. Ada yang menyatakan bahawa kunjungan ke Malaysia tidak lengkap sekiranya tidak mencuba roti canai. Hal ini seterusnya dapat menarik perhatian dunia terhadap keunikan dan kelazatan roti canai sebagai salah satu hidangan ikonik Malaysia yang wajib dinikmati.
Walau bagaimanapun, roti canai yang dimakan secara berlebihan boleh membahayakan kesihatan kerana kandungan kalorinya yang tinggi. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekeping roti canai sahaja mengandungi kira-kira 250kcal, dan jika dimakan lebih daripada satu atau dua keping, ia boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan serta risiko masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, dan penyakit jantung. Selain itu, roti canai biasanya dimakan bersama kuah kari atau dal yang juga tinggi lemak dan kalori, menjadikan hidangan ini kurang sesuai untuk pengambilan harian. Oleh itu, adalah lebih baik menikmati roti canai secara sederhana dan menyeimbangkannya dengan latihan fizikal bagi membakar kalori serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Roti canai bukan sekadar hidangan ikonik Malaysia, tetapi juga lambang perpaduan dan kepelbagaian budaya yang dinikmati oleh semua kaum. Popularitinya telah melangkaui sempadan negara, diiktiraf oleh laman kulinari antarabangsa sebagai salah satu makanan terbaik di dunia, seiring dengan budaya bersarapan Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO. Namun begitu, sebagai makanan yang lazimnya tinggi karbohidrat dan lemak, pengambilannya perlulah sederhana. Dengan rasanya yang enak dan nilai budayanya yang mendalam, roti canai terus memartabatkan keunikan Malaysia di persada global.
Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).