Diterbitkan pada 29 September 2025, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa bagi pelajar sekolah menengah telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Laman Eksplorasi Minda, SMK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya. Program yang berlangsung selama dua jam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui DBP Wilayah Tengah, Bahagian Majalah dan Akademi DBP ini menyemarakkan program yang diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Dekad Bahasa Kebangsaan (DMK) 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

 

Aktiviti MDK Dewan Siswa yang dibimbing oleh Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, iaitu editor Majalah Dewan Siswa pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 50 orang pelajar daripada SMK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya.

Puan Siti Irni Yuslinda Mosman semasa memberikan penerangan berkenaan dengan aktiviti MDK kepada para pelajar.

Menerusi program tersebut, pelajar diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mereka di tempat menarik yang pernah dikunjungi dalam negara semasa sesi berkaitan dengan ruangan tempat menarik dalam majalah Dewan Siswa. Terdapat dua ruangan dalam majalah ini yang dibincangkan, iaitu “Tanah Airku” yang memfokuskan lokasi menarik dalam negara dan “Rakaman Pengembara” yang mempersembahkan destinasi menarik di luar negara.

 

Aktiviti membuat karangan pendek juga dijalankan bagi menggalakkan pelajar untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka dalam penulisan karya berbahasa Melayu menerusi ruangan “Minda Remaja”, “Puisi Siswa” dan “Cerpen Siswa”. Di samping itu, aktiviti secara berkumpulan turut dijalankan sepanjang program tersebut, iaitu aktiviti kuiz menara belon.

Pelajar menunjukkan kesungguhan mereka membina menara belon dalam aktiviti berkumpulan.

Menurut Hannani Mohd Firdaus dan Dania Qalesya Mohd Fu’ad, iaitu pelajar dari SMK Putrajaya Presint 9 (2);

Program MDK amat menarik kerana kami sebagai pelajar diberi peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam diri kami dalam bidang penulisan. Selain itu, aktiviti ini juga memberikan keyakinan kepada kami untuk bercakap di hadapan khalayak.

Program ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang penulisan, malah membina jati diri, kemahiran berkomunikasi, daya kreativiti, semangat berpasukan, kepekaan terhadap isu semasa, serta keberanian menyalurkan idea secara bertanggungjawab.

 

Pada masa yang sama, pengisian Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan 10 orang guru sekolah sekitar Putrajaya turut memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada mereka mengenai penggunaan majalah DBP sebagai medium pembelajaran di dalam bilik darjah. Penceramah bagi bengkel ini ialah YBrs. Encik Abdul Ghani Abu, iaitu Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, DBP.

Pembimbing dan para pelajar program MDK bergambar kenang-kenangan.
Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi